PETALING JAYA: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengakui keputusan beregu lelaki negara di Kejohanan Badminton Seluruh England 2025 kurang memuaskan.
Dalam kejohanan berprestij itu, tiada wakil beregu lelaki di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berjaya mara ke pusingan kedua sekali gus, satu situasi yang mengecewakan buat kem badminton negara.
Beliau turut menjelaskan bahawa faktor perubahan program latihan di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Herry Iman Pierngadi mungkin menjadi penyebab kepada kegagalan pemain untuk mempamerkan aksi terbaik di Birmingham.
“Memang satu keputusan yang kurang bagus untuk beregu lelaki kita. Ia (prestasi) akan dinilai bersama Herry dan (Muhammad) Miftakh yang berperanan sebagai jurulatih skuad beregu lelaki negara.
“Keadaan ini mungkin juga disebabkan ada perubahan dari segi program, jadi pemahaman daripada pemain masih belum sepenuhnya. Oleh itu, ia tidak dapat diaplikasikan sepenuhnya,” kata Rexy.
Aaron Chia-Soh Wooi Yik turun selaku sandaran utama negara, gagal melepasi halangan pertama selepas akur kepada kepada beregu Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Soogard, manakala beregu meningkat naik, Arif Junaidi-Yap Roy King turut menemui jalan keluar selepas tewas kepada pasangan China, Huang Di-Liu Yang.
Harapan terakhir tertumpu kepada Man Wei Chong-Tee Kai Wun selaku beregu terakhir di bawah naungan BAM, namun semalam, mereka turut menemui jalan pulang selepas tewas kepada pilihan keenam dari China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu, 15-21, 8-21.
Sementara itu, Rexy enggan meletakkan harapan tinggi kepada pemain yang mampu membawa kepada tekanan yang lebih tinggi selepas pelantikan Herry yang mana membawa reputasi besar membangunkan beregu Indonesia terbaik dunia sebelum ini.
“Herry masih baharu mengendali skuad beregu lelaki negara, jadi masih terlalu awal untuk meletakkan harapan tinggi kepada pemain kerana ia mampu menambah tekanan,” katanya. – UTUSAN










