78 peratus peruntukan perubatan libat perolehan ubat generik

78 peratus peruntukan perubatan libat perolehan ubat generik

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan memperuntukan kira-kira 78 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan ubat-ubatan bagi tahun lepas bagi perolehan ubat generik.

 

Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan berkata, ini sekaligus menolak laporan analisis Pharmaniaga Berhad yang mendakwa kerajaan membelanjakan lebih banyak perolehan ubat inovator berbanding ubat generik pada tahun 2025.

 

Katanya, rekod rasmi kementerian menunjukkan sebanyak RM3.86 bilion dibelanjakan bagi perolehan ubat-ubatan pada tahun lalu menerusi tiga kaedah perolehan kerajaan termasuk Konsesi Perkhidmatan Logistik Bekalan Perubatan Kementerian Kesihatan, Kontrak Pusat dan pembelian terus oleh fasiliti kesihatan di seluruh negara.

 

“Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM3.01 bilion atau 77.88 peratus melibatkan ubat generik, manakala RM850 juta atau 22.12 peratus merupakan ubat inovator.

 

“Data bernilai RM3.495 bilion yang dilaporkan Pharmaniaga secara amnya merujuk kepada dua sumber data iaitu pangkalan data komersial IQVIA yang menyediakan maklumat serta analisis pasaran farmaseutikal dan analisis dalaman syarikat itu sendiri,” katanya hari ini. 

 

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan analisis syarikat konsesi farmaseutikal kerajaan menunjukkan daripada keseluruhan perbelanjaan farmaseutikal kerajaan berjumlah RM3.5 bilion pada 2025, ubat inovator menyumbang RM2.06 bilion atau 59 peratus daripada jumlah tersebut, berbanding RM1.44 bilion yang dibelanjakan bagi ubat generik.

 

Ubat import pula merangkumi kira-kira dua pertiga daripada keseluruhan perbelanjaan farmaseutikal, terdiri daripada ubat inovator berpaten (RM1.52 bilion), ubat originator yang patennya telah tamat tempoh (RM541 juta) serta ubat generik import (RM244 juta).

 

Sementara itu, ubat generik yang dihasilkan dalam negara mencatatkan perolehan RM1.21 bilion, bersamaan kira-kira 34 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan.

 

Kementerian Kesihatan menjelaskan, penggunaan ubat generik terus menjadi komponen utama dalam perbelanjaan ubat kementerian melibatkan 3,170 daripada 3,982 jenis ubat yang diperoleh sepanjang tahun lalu.

 

Menurutnya, peratusan nilai perolehan ubat generik turut menunjukkan peningkatan ketara daripada 54.22 peratus pada 2021 kepada 77.88 peratus pada 2025, selaras dengan Dasar Ubat Nasional (DUNas) yang mengutamakan penggunaan ubat generik.

 

Pada masa sama, Kementerian Kesihatan akan menyokong pembangunan industri farmaseutikal tempatan apabila nilai perolehan ubat generik buatan tempatan meningkat daripada RM1.14 bilion (44.21 peratus) pada 2023 kepada RM1.49 bilion (49.57 peratus) pada 2025.

 

Sehubungan itu, kementerian mengingatkan semua pihak supaya memastikan ketepatan data, sumber maklumat dan skop analisis disemak terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan atau rumusan kepada umum bagi mengelakkan kekeliruan berkaitan perolehan ubat-ubatan Kementerian Kesihatan

 

“Kementerian akan terus mengutamakan perolehan ubat yang berkualiti, selamat dan berkesan, di samping memastikan pengurusan sumber awam dilaksanakan secara berhemah serta mampan.

 

“Kementerian  juga akan terus memperkukuh dasar perolehan ubat berasaskan keperluan klinikal dan jaminan kesinambungan bekalan, demi memastikan akses yang saksama kepada ubat-ubatan berkualiti untuk seluruh rakyat Malaysia,” jelasnya. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN