KEMARAHAN seorang guru ekoran kekecewaannya terhadap pelajarnya yang tidak mengetahui bahasa Melayu langsung, bukan sahaja sekadar isu perkauman yang mahu dibesar-besarkan oleh pihak tertentu. Ia sesungguhnya isu kegagalan sebenar proses pembentukan negara bangsa yang perlu ditangani oleh kerajaan.
Sehubungan ini, masalah bahasa ini menjadi sangat parah apabila setelah 68 tahun tertubuhnya negara, didapati sebilangan yang agak besar juga dalam kalangan rakyat yang masih tidak dapat memahami bahasa Melayu langsung. Ini termasuklah bahasa Melayu ‘pasar’ yang sangat mudah dari segala sisi linguistiknya.
Setelah diselidiki kes begini, didapati kesemuanya adalah lepasan sekolah vernakular. Ini sebenarnya tidak menghairankan langsung. Ini kerana murid Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) rata-ratanya hanya berjaya menguasai bahasa Cina, walaupun turut diajar bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Cadangan kerajaan untuk menangani masalah bahasa ini tidak pernah mahu diterima sepenuhnya oleh etnik Cina. Ia merupakan penambahan waktu pendidikan mata pelajaran bahasa Melayu, selain penyeragaman sukatan pelajarannya dengan yang di Sekolah Kebangsaan (SK).
Walaupun masalah bahasa ini adalah permasalahan negara yang genting, ia tidak pernah pun mahu ditangani dengan serius, baik oleh kerajaan mahupun etnik Cina. Kerajaan memang tidak tegas dalam hal ini dan selalu mengalah kepada cara yang dikehendaki etnik Cina.
Dalam hal teguran oleh guru itu, etnik Cina mahu tindakan keras diambil terhadapnya kerana kononnya ia menyinggung perasaan mereka.
Dalam pada ini, langsung tidak ada apa-apa jua rasa kesal daripada etnik Cina tentang masalah bahasa itu. Antaranya pengakuan bersalah dan berjanji untuk memperbaiknya.
Dengan tiadanya rasa kesal ini, kelihatan etnik Cina tidak pun merasainya sebagai sesuatu yang tidak baik. Malah ada sesetengah daripada mereka memberi pelbagai helah untuk mewajarkan keadaan itu. Antaranya ialah negara ini bersifat majmuk yang mengamalkan kepelbagaian. Oleh itu, ia tidak semestinya selalu hanya tentang kehebatan bahasa Melayu. Ia boleh juga tentang pada bahasa Cina dan lain-lain.
Sebenarnya teguran guru itu dalam konteks imigresen dan migran itu ada kebenarannya. Walaupun sudah bergenerasi etnik Cina di negara ini setelah diberikan kerakyatan sewaktu kemerdekaan pada 1957, ramai daripada mereka didapati belum, malah tidak nasional langsung daripada pelbagai segi.
Salah satunya ialah kebolehan berbahasa Melayu. Ia yang langsung tidak diendahkan, sebenarnya hanya memerlukan pengetahuan munasabah yang setara dengan kedudukan sosial mereka sahaja.
SELESAIKAN
Sudah tiba masa yang sebenarnya setelah lama tertangguh untuk kerajaan dan etnik Cina mencari jalan menyelesaikan permasalahan negara yang serius ini. Ia sangat memalukan kerana tidak ada mana-mana negara berdaulat lain di muka bumi ini, yang rakyatnya tidak boleh langsung berbahasa negara.
Dalam hal ini, kerajaan dan etnik Cina tidak boleh hanya selalu berbincang tentang kemakmuran ekonomi sahaja, khususnya yang akan menguntungkan etnik Cina. Ia wajib juga diimbangi sekali-sekala dengan kemakmuran sosial.
Antaranya ialah jati diri kebangsaan oleh etnik Cina sebagai dukungan mereka kepada identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat.
Sehubungan ini, natijahnya ialah apa gunanya Malaysia makmur dari segi ekonomi, sedangkan rakyatnya walaupun segelintir sahaja, didapati sama sekali tidak relevan kepada negara dari segi sosiobudaya.
Dalam hal ini, etnik Cina digesa untuk segera meninggalkan sikap rakus untuk etnisiti sendiri sahaja. Ini yang dilakukan melalui amalan individualisme untuk hanya mementingkan diri dan etnik sendiri, wajib bertukar. Ia wajib kini menjadi kesediaan untuk bekerjasama dengan etnik lain, khususnya Melayu dalam hal penguasaan bahasa Melayu serta yang lain-lain.
Sehubungan ini, etnik Cina wajib mula menerima bahasa Melayu atas kepentingannya sebagai bahasa negara. Dalam konteks ini, bahasa Melayu wajib dilihat oleh mereka sebagai mempunyai nilai kenegaraan yang tinggi kimahnya.
Dengan ini, bahasa Melayu tidak boleh lagi sesekali dibanding-bandingkan dengan bahasa Cina khususnya dan bahasa Inggeris amnya. Sehubungan ini, tidak dinafikan nilai ekonomi bahasa Melayu adalah tidak setinggi yang ada pada kedua-dua bahasa itu.
Namun bahasa Melayu wajib ikut didakap rapat dan kemas oleh etnik Cina, bersama-sama dengan yang lain atas dasar martabatnya sebagai bahasa negara. Ini bukan sahaja amalan kolektivisme yang sangat diperlukan. Juga ia resam yang terpuji dalam konteks di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.
Dalam pada ini, etnik Cina wajib tidak lagi mempunyai sikap bersaing antara bahasa. Sehubungan ini, bahasa Melayu tidak boleh lagi dijadikan saingan kepada bahasa Cina. Inilah yang sebenarnya berlaku sebelum ini. Segala perbuatan yang membanding-bandingkan bahasa Melayu dengan kehebatan bahasa Cina, wajib dihentikan.
Tidak adil sama sekali untuk kita mengambil tindakan terhadap mereka yang mahu memartabatkan bahasa Melayu selaku bahasa negara. Walaupun cara mereka mungkin salah dalam keadaan amarah kerana kecewa, guru itu dan yang lain-lain sewajarnya dipuji.
Sebenarnya semua mereka ini adalah nasionalis yang wajib didendangkan.
Dalam pada ini, guru, pegawai imigresen, pegawai polis serta yang lain-lain yang pernah memarahi rakyat kita yang tiada pengetahuan langsung tentang bahasa Melayu, semasa menjalankan tugas masing-masing, wajib disanjung negara.
Sesungguhnya menjalankan tugas nasionalisme ini adalah rumit. Ia bersifat 3D (bahaya, sukar dan kotor). Ia berbahaya kerana boleh disiasat apabila adanya laporan yang mendakwa wujudnya unsur 3R (bangsa, agama dan raja). Ia rumit kerana tidak mudah untuk menyatakan hal jelik kepada pihak terbabit secara bersemuka. Ia kalut kerana adanya perbalahan antara pihak yang menyatakan sesuatu itu dengan pihak yang dinyatakan.
Namun tugas nasionalis wajib dilakukan untuk negara tercinta ini. Dalam hal ini, apabila ada yang sanggup melakukan kerja berisiko, sukar dan cabuh ini, jangan pula kita dengan cepat sekali mahu menghukum mereka.
Ini kerana perlakuan mereka itu sebenarnya ada kebenarannya yang absah sekali, iaitu absah seabsah-absahnya. Ia memang dirasai pedas bagi sesiapa yang makan cabai (cili).-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










