Jeonbuk Hyundai intai Arif Aiman 

Jeonbuk Hyundai intai Arif Aiman 

ARIF AIMAN HANAPI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nama bintang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi terus menjadi tumpuan di pentas bola sepak Asia apabila diintai Jeonbuk Hyundai Motors.

Prestasi cemerlangnya dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menyaksikan pemain berusia 23 tahun itu dikatakan berada dalam radar kelab gergasi Korea Selatan itu.

Spekulasi itu tercetus susulan Markaj News menerusi laman X yang mendakwa juara sembilan kali Liga 1 Korea itu sedang memantau persembahan Arif Aiman.

Tonggak Harimau Malaya itu bukan kali pertama dikaitkan dengan pasukan luar negara kerana sebelum ini dia juga dikatakan mendapat tawaran lumayan daripada kelab Iran.

Malah, laman penyokong iaitu Rangers Journal juga mengiktiraf bakat dan kualiti yang dimiliki Arif Aiman, sehingga mereka mencadangkan supaya gergasi Scotland itu membawa masuk bintang JDT itu.

Jika benar dakwaan Arif Aiman menarik minat Jeonbuk, ia salah satu pencapaian terbesar dalam kariernya namun persoalan adakah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia itu bersedia meninggalkan JDT.

Melihat kepada situasi semasa, ia seakan sukar untuk perkara itu menjadi kenyataan berdasarkan beberapa faktor terutama kedudukan JDT yang berada di atas Jeonbuk.

Meskipun pernah memenangi Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2006 dan 2016, namun prestasi tidak menentu menghantui Jeonbuk dalam beberapa musim kebelakangan ini termasuk menamatkan saingan liga musim lalu di tangga ke-10.

Menerusi temubual bersama Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), the-AFC.com, sebelum ini, Arif Aiman juga sudah memberi bayangan bahawa dia mahu kekal beraksi bersama JDT untuk jangka panjang.

“Matlamat jangka panjang saya adalah untuk terus meningkat sebagai pemain dan terus beraksi pada tahap tertinggi untuk JDT. Saya perlu terus bekerja keras untuk berada di tempat saya hari ini.

“Saya berasa tahap saya masih belum cukup, jadi saya akan terus berusaha dan menumpukan kepada matlamat yang tinggi,” katanya.

Arif Aiman menjadi antara watak penting dalam membawa JDT ke pusingan 16 terakhir ACLE.

Dia juga mengumpul lima gol setakat ini, dengan hanya satu gol di belakang bintang Al Nassr, Cristiano Ronaldo yang berada di kedudukan kedua carta penjaring. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN