RAMADAN yang penuh rahmat dan berkat semakin hampir meninggalkan kita. Berakhirnya Ramadan, menjelma pula bulan Syawal dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Hari anugerah Allah ini dinanti-nantikan dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Sudah menjadi tradisi, yang berada di perantauan pulang ke kampung halaman untuk merayakan hari mulia itu bersama keluarga tersayang. Itulah hari yang penuh makna untuk bertemu ibu bapa, kaum kerabat dan sahabat handai yang lama ditinggalkan.
Bermula semalam, hampir semua lebuh raya di seluruh negara penuh sesak dengan kenderaan menandakan berpusu-pusunya orang kita balik ke kampung untuk menyambut hari lebaran.
Namun,di sebalik kegembiraaan pulang ke kampung halaman dengan memandu kenderaan sambil mendengar lagu-lagu raya yang menggamit pelbagai kenangan, jangan sama sekali mengabaikan aspek keselamatan di jalan raya.
Ketertiban, disiplin dan kesabaran mesti menjadi amalan ketika memandu. Oleh itu, kesedaran mengenai aspek keselamatan di jalan raya penting untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.
Pastinya kita tidak mahu melihat hari yang penuh bahagia dan kegembiraan bertukar menjadi hari berduka disebabkan kemalangan. Sayugia difahami bahawa menjaga nyawa dan harta benda (kenderaan) itu adalah sebahagian daripada maqasid syariah yang mesti diberi perhatian oleh umat Islam.
Ingatlah orang yang tersayang dan usah tukar kegembiraan dengan nestapa atau kesedihan. Justeru, bagi mereka yang balik kampung, pastikan kenderaan berada dalam keadaan cukup baik dan selamat.
Pemeriksaan atau selenggara kenderaan mestilah dilakukan terlebih dahulu sebelum meluncurkannya di jalan raya untuk menemui insan-insan tersayang.
Ketika memandu, sikap mematuhi peraturan jalan raya perlu dititikberatkan. Ikutlah arahan anggota polis trafik yang terpaksa bekerja keras bagi memastikan pengguna jalan raya berada dalam pemanduan yang selamat dengan mematuhi peraturan jalan raya.
Hormati dan hargai mereka kerana di musim perayaan inilah anggota polis trafik terpaksa menumpukan tugas mengawal keadaan lalu lintas selain mencegah sebarang bentuk jenayah berlaku.
Pematuhan kepada aspek keselamatan jalan raya amat bergantung kepada sifat kesabaran dan disiplin diri ketika memandu. Sikap bertolak ansur ketika berada di jalan raya juga penting dan mesti menjadi amalan bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini. Bukankah ibadah puasa mendidik kita dengan sifat-sifat tersebut? Sewajarnya roh ibadah mengajar kita menjadi insan yang lebih bertanggungjawab, berdisiplin dan berperikemanusian.
Sayugia difahami juga bahawa dalam konsep ‘takdir Mu’allaq’, ia boleh tetap dan berubah bergantung kepada ikhtiar yang dilaksanakan manusia. Justeru, kemalangan jalan raya boleh dielakkan sekiranya manusia (pemandu) itu sendiri mengambil langkah-langkah bagi mengelak berlakunya kemalangan.
Justeru, untuk mengelak takdir buruk berlaku ke atas kita dan keluarga maka penting untuk mematuhi undang-undang atau peraturan jalan raya.
IKUT PERATURAN
Antara yang penting ialah jangan sama sekali melanggar lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memotong di kawasan bahaya dan memotong atau menggunakan lorong kecemasan. Selain itu, jangan mengekori kenderaan di hadapan terlalu rapat, jangan menghimpit kenderaan lain untuk memotong dan mematuhi had laju yang ditetapkan serta sentiasa berwaspada ketika pejalan kaki menyeberang jalan raya.
Jangan kita lupa memandu dalam keadaan mengantuk juga bahaya kerana boleh mengundang berlakunya micro sleep yang boleh membawa bencana kemalangan.
Berhentilah di kawasan rehat atau di tempat yang selamat untuk berehat atau tidur sebentar bagi menghilangkan rasa mengantuk.
Sambut dan rayakanlah Aidilfitri dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Elakkan sebarang kemalangan di jalan raya dengan mematuhi peraturan jalan raya.
Justeru, perancangan untuk balik ke kampung halaman dengan membawa kenderaan sendiri mestilah dilakukan dengan penuh berhemah dengan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga.
Ingat, usaha memelihara nyawa dan harta benda itu adalah sebahagian daripada maqasid syariah yang telah digariskan dalam Islam.
Sematkan di jiwa, “Pandu Cermat Jiwa Selamat”, pastinya insan-insan tersayang di kampung akan menunggu di muka pintu untuk menyambut kedatangan kita dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran.-UTUSAN
Penulis ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










