MANCHESTER: Manchester United melengkapkan musim malangnya apabila tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tewas 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Fulham dalam saingan pusingan kelima hari ini.
Juara bertahan itu ketinggalan 0-1 dalam babak pertama di Old Trafford hasil jaringan Calvin Bassey sebelum Bruno Fernandes menyamakan kedudukan 1-1.
Dalam perlawanan itu, penjaga gol Fulham, Bernd Leno menjadi hero pasukannya kerana berjaya menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi beberapa percubaan tuan rumah terutama serangan daripada Victor Lindelof dan Joshua Zirkzee.
Aksi lemah United turut dikecam peminat dalam stadium ditambah pula rasa tidak puas hati mereka terhadap kedudukan pasukan itu di tangga 14 liga.
Juara 13 kali Piala FA itu mara ke perlawanan akhir sejak dua musim lalu dan mereka menewaskan Manchester City pada final tahun lepas untuk menjulang trofi.
Ini bermakna tiada aksi di Wembley buat United selepas ini dan mereka kini hanya mempunyai peluang dalam Liga Europa.
“Keadaan sekarang sukar. Kami mempunyai peluang dalam perlawanan itu tetapi di akhirnya, sepakan penalti boleh mengubah keadaan dan hari ini kami tidak bernasib baik,” kata pengendali United, Ruben Amorim. – AFP/UTUSAN










