DAMSYIK: Syria mempergiat usaha mengembalikan kira-kira dua juta kanak-kanak yang tercicir daripada persekolahan ke sistem pendidikan menerusi program penilaian, langkah menangani keciciran pembelajaran dan rancangan memperluas akses kepada pendidikan.
Sebagai sebahagian usaha itu, Kementerian Pendidikan pada Ahad memaklumkan penilaian pengetahuan dijalankan terhadap kanak-kanak yang tidak bersekolah di wilayah Hasakah bagi menentukan tahap pendidikan serta mengenal pasti keperluan pembelajaran mereka.
Penilaian berkenaan turut bertujuan mengenal pasti tahap pembelajaran yang tercicir dan menempatkan kanak-kanak terbabit dalam darjah serta tahap pendidikan yang bersesuaian dengan kemampuan mereka.
Langkah itu dijangka membantu mereka kembali ke sekolah selain mengikuti semula pembelajaran yang tertinggal.
Menteri Pendidikan, Mohammed Abdul Rahman Turko, memberitahu sidang pendengaran Dewan Rakyat pada 14 September bahawa kira-kira dua juta pelajar dianggarkan tercicir daripada sistem pendidikan.
Menurutnya, keciciran itu berpunca daripada pelbagai faktor termasuk keadaan ekonomi dan sosial serta ketiadaan sekolah di sesetengah kawasan.
Turko berkata, jumlah pelajar dijangka mencecah enam juta pada tahun akademik semasa, sekali gus memberi cabaran kepada kementerian untuk menampung pertambahan jumlah pendaftaran.
Menurutnya, pelajar yang pulang dari luar negara turut berdepan pelbagai kesukaran, termasuk ketiadaan dokumen, halangan bahasa serta perbezaan antara kurikulum yang pernah mereka ikuti dengan kurikulum pendidikan Syria.
Turko berkata, kementerian sedang melaksanakan pelan kecemasan dan strategik bagi menjamin hak mendapat pendidikan serta memperkukuh sistem pendidikan, dengan matlamat beralih daripada menangani jurang sedia ada kepada membina sistem yang lebih kukuh dan saksama.
Usaha di Hasakah dimulakan awal tahun ini menerusi beberapa langkah bagi memberi peluang kepada pelajar yang pendidikan mereka terhenti untuk menyambung semula persekolahan.
Pada 2 April, Direktorat Pendidikan Hasakah menjalankan ujian penilaian terhadap pelajar Tingkatan Dua dan Lima di bandar Hasakah dan Qamishli, selain beberapa kompleks pendidikan di kawasan luar bandar.
Pengarah Pendidikan Hasakah, Adnan Al-Bari, berkata ujian berkenaan bertujuan memberi peluang kepada pelajar yang terpaksa menghentikan persekolahan akibat keadaan di wilayah itu untuk menduduki peperiksaan Sijil Pendidikan Asas dan Sijil Menengah Am, selain meneruskan pendidikan mereka.
Kementerian Pendidikan turut menegaskan usaha menangani keciciran persekolahan memerlukan kerjasama bersepadu yang melangkaui sektor pendidikan.- AGENSI











