Bahasa ibunda tidak ancambahasa kebangsaan

Bahasa ibunda tidak ancam bahasa kebangsaan

PENGANJURAN festival kebudayaan yang melibatkan pelbagai kaum di Malaysia dapat memberi pemahaman yang lebih mendalam tentang budaya, adat, pemikiran dan kepercayaan sesebuah komuniti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI Bahasa Ibunda Antarabangsa yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 1999 disambut pada 21 Februari setiap tahun bagi menghargai dan mengiktiraf keunikan serta kepelbagaian budaya dan linguistik di seluruh dunia.

Menurut data Ethnologue (2022), ada lebih 700 bahasa ibunda di Indonesia, diikuti lebih 170 di Filipina. Di Malaysia pula ada lebih daripada 110 bahasa ibunda yang digunakan masyarakat pelbagai kaum, etnik, keturunan dan suku.

Bahasa dan dialek Hokkien, Kantonis, Tamil, Punjabi, Telugu, Malayalam, Iban, Kadazan, Bugis, Jawa, Temiar, Batek, Kensiu dan Temoq merupakan contoh yang menunjukkan kepelbagaian bahasa ibunda di negara kita.

Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan menetapkan kedudukan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Namun, dinyatakan juga “tiada sesiapa pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi) atau daripada mengajarkan atau belajar apa-apa bahasa lain”.

Maka, jelaslah tiada sebarang sekatan untuk mempelajari, mengamalkan dan memperkasakan bahasa ibunda masing-masing.

Saya melihat bahasa ibunda sebagai jendela kepada pemahaman yang lebih mendalam tentang budaya, adat, pemikiran dan kepercayaan sesebuah komuniti.

Setiap bahasa memiliki sejarah yang panjang, tradisi dan nilai-nilai luhur yang menjadi asas kepada cara hidup sesuatu etnik. Contohnya, bahasa-bahasa ibunda di Sarawak dan Sabah menjadi ‘alat’ untuk berkongsi sejarah lisan dan budaya tradisi dari generasi ke generasi.

Selain itu, bahasa ibunda juga memainkan peranan penting dalam pembentukan identiti dan jati diri. Bagi individu yang meminggirkan bahasa ibunda, kehilangan bahasa itu akan turut menyebabkan hilangnya rasa kepunyaan dan identiti budaya.

Dalam hal ini, kita tidak semestinya menjadi pakar dalam bahasa ibunda. Sekadar contoh, bahasa Malayalam dan Bengali tidak diajar secara formal. Maka, timbul situasi orang Malayali dan Bengali kurang menguasai penulisan dan pembacaan bahasa-bahasa itu.

Namun, sekurang-kurangnya boleh terus memelihara bahasa ibunda dalam pertuturan atau memahami filem bahasa berkenaan.

Bahasa ibunda memberi ruang untuk berbicara tentang sejarah peribadi, keluarga dan tempat asal. Dalam masyarakat pelbagai kaum dan etnik seperti Malaysia, bahasa ibunda menghubungkan generasi lama dengan generasi muda, membolehkan mereka berkongsi cerita, mitos, hikayat dan legenda yang membentuk pemahaman tentang dunia.

Melalui bahasa ibunda, seseorang boleh merasakan dirinya lebih dekat dengan akar budaya. Hal ini penting kerana tanpa bahasa, banyak tradisi dan nilai budaya mungkin hilang ditelan zaman.

Dalam situasi ini, saya amat bangga dengan usaha Persatuan Telugu Malaysia (TAM) yang ada 30 cawangan di seluruh negara. TAM mengambil inisiatif mengendalikan kelas bahasa Telugu di beberapa negeri.

Persatuan Kebangsaan Malayalee Malaysia (AMMA) pula mengendalikan kelas bahasa Malayalam di beberapa tempat.

Kita faham sudah tiada sekolah Telugu dan Malayalam di Malaysia. Maka, usaha TAM dan AMMA amat wajar dan selaras Perkara 152 Perlembagaan.

PENGARUH BAHASA INGGERIS
Namun, dalam dunia yang semakin global ini, bahasa ibunda berhadapan pelbagai cabaran yang mengancam kelangsungannya. Salah satu cabaran utama adalah pengaruh kuat bahasa Inggeris yang semakin mendominasi komunikasi dalam keluarga dan komuniti.

Selain itu, proses urbanisasi yang pesat turut menyebabkan ramai penduduk kampung dan luar bandar berhijrah ke bandar-bandar besar, di mana mereka lebih kerap bergaul dengan masyarakat majmuk dan cenderung menggunakan bahasa kebangsaan atau bahasa Inggeris.

Dalam konteks ini, bahasa ibunda sering kali dianggap sebagai bahasa yang ketinggalan zaman dan kurang relevan untuk digunakan dalam urusan harian, pekerjaan atau pendidikan. Oleh itu, ramai anak muda mula melupakan bahasa ibunda kerana terpengaruh oleh norma sosial dan budaya persekitaran.

Untuk memastikan kelestarian bahasa ibunda dalam masyarakat Malaysia, beberapa langkah strategik boleh diambil. Di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) misalnya, selain murid keturunan Tamil, ada juga murid Malayali, Telugu, Orang Asli dan sebagainya.

Sekurang-kurangnya semasa acara sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa di sekolah, galakkan murid-murid turut menyampaikan lagu, puisi, cerita dan sebagainya dalam bahasa ibunda masing-masing.

Begitu juga di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), yang mana Mandarin dijadikan bahasa pengantar. Murid-murid masih boleh digalakkan berkongsi lagu dan cerita dalam bahasa ibunda seperti Hokkien, Kantonis, Hakka dan Teochew.

Peranan ibu bapa dalam mempertahankan bahasa ibunda sangat penting. Mereka harus memberi contoh yang baik dengan menggunakan bahasa ibunda dalam komunikasi harian di rumah.

Ibu bapa, datuk dan nenek juga boleh mendorong anak-anak dan cucu-cicit membaca buku atau mendengar lagu tradisional dalam bahasa ibunda. Tunjukkan kepada generasi muda bahawa bahasa ibunda adalah suatu khazanah untuk dibanggakan.

Di samping itu, masyarakat setempat boleh mengadakan majlis-majlis budaya, seperti sambutan perayaan agama dan adat istiadat yang melibatkan penggunaan bahasa ibunda. Tambahan pula jika majlis itu anjuran persatuan komuniti seperti Telugu, Malayali, Bengali, Hokkien, Hakka, Jawa dan sebagainya.

Dengan cara ini, generasi muda dapat melihat dan merasai kepentingan bahasa ibunda dalam kehidupan mereka. Walaupun tidak dipelajari dan diamalkan dalam situasi formal, peluang wajar diwujudkan dalam situasi tidak formal.

Banyak bahasa ibunda yang berakar umbi dalam tradisi seni dan budaya. Oleh itu, penganjuran acara seni tradisional seperti tarian, muzik dan teater dalam bahasa ibunda boleh menjadi platform yang berkesan untuk memartabatkan bahasa tersebut.

Misalnya, penganjuran festival kebudayaan yang melibatkan pelbagai kaum di Malaysia, yang mana bahasa ibunda digunakan dalam pertunjukan dan pameran.

Usaha seperti ini akan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya mempertahankan bahasa ibunda sebagai identiti dan jati diri kaum atau etnik masing-masing.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN