Wajah baharu Perpustakaan Negara Malaysia

Wajah baharu Perpustakaan Negara Malaysia

EDY IRWAN ZULKAFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERPUSTAKAAN Negara Malaysia (PNM) kini berwajah baharu apabila kemudahan dan ruang perkhidmatan di Anjung Bestari dibuka semula kepada orang awam mulai 2 Januari 2025.  Majlis perasmian juga telah berlangsung pada 22 Januari 2025 yang dirasmikan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Timbalan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, EDY IRWAN ZULKAFLI berkongsi mengenai pembaharuan yang dilakukan, perancangan bagi tahun 2025, cabaran perpustakaan di zaman digital dan langkah-langkah yang diambil bagi menarik lebih ramai pengguna terutama generasi baharu untuk berkunjung ke perpustakaan.

Ikuti temubual wartawan Utusan Malaysia, OMAR ZIN dan jurufoto M. FIRDAUS M. JOHARI baru-baru ini.

 

PEMBAHARUAN

Anjung Bestari kini mempunyai wajah baharu yang lebih moden dan mesra pengguna. Kami telah melakukan penambahbaikan dari segi reka bentuk ruang, peralatan teknologi dan kemudahan yang disediakan. 

Penambahan beberapa ruang yang menarik untuk memenuhi pelbagai keperluan pengunjung, seperti ruang pembelajaran interaktif, ruang bacaan santai dan juga ruang untuk program-program komuniti yang bertujuan memberikan pengalaman yang lebih selesa serta produktif kepada pengunjung.

Di Galeri u-Pustaka, pengguna boleh merasai pengalaman menggunakan permainan realiti maya (VR) selain melayari kandungan digital u-Pustaka melalui skrin sentuh yang disediakan. Galeri ini juga menyediakan kemudahan interaktif smart projector, dan semua ini disediakan secara percuma kepada pengunjung. 

Zon Siber yang terletak di Aras 2, Anjung Bestari, PNM menyediakan akses kepada komputer dan internet. Ini membantu pengguna yang tidak mempunyai kemudahan tersebut di rumah untuk melayari internet, membuat penyelidikan atau akses kepada perpustakaan digital u-Pustaka dan membolehkan pengguna mengakses pelbagai sumber pangkalan data seperti jurnal elektronik, bahan rujukan serta bahan pembelajaran lain dalam talian. 

Sebanyak 48 buah komputer disediakan dan zon ini membantu meningkatkan literasi digital masyarakat, selari dengan perkembangan dunia digital dengan perkhidmatan ruang perbincangan idea, kreatif serta studio fotografi untuk kegunaan fotografi imejan asas di media sosial dan kegunaan peribadi pengguna.

Perkhidmatan Rujukan Luar Negara merupakan perkhidmatan perujukan yang menawarkan kemudahan akses kepada penerbitan antarabangsa. Sebanyak 224,245 bahan rujukan terdiri daripada koleksi monograf dari pelbagai negara dan dalam pelbagai bahasa untuk memastikan kepelbagaian bahan bacaan antarabangsa. Koleksi monograf merangkumi pelbagai subjek termasuk sejarah, politik, sastera, sains, teknologi, seni dan banyak lagi.

Koleksi Terbitan Bersiri Luar Negara adalah koleksi penerbitan yang diterbitkan secara berkala iaitu secara harian, mingguan, bulanan dan tahunan dalam pelbagai bidang. Terdapat dalam koleksi ini adalah majalah, jurnal dan surat khabar. Lokasi koleksi ini ialah di Aras 3 Timur, Anjung Bestari, PNM. Terdapat 29 judul majalah dan jurnal terbitan luar negara yang dilanggan untuk bacaan pengguna. Majalah dan jurnal yang disediakan ini merangkumi pelbagai bidang perkara. 

Zon Hipermedia Dewasa yang berada di Aras 4, Anjung Bestari, PNM menyediakan pelbagai bahan multimedia seperti video, audio, dan sumber interaktif. Dengan adanya teknologi sumber media dan kandungan multimedia, zon ini menawarkan pengalaman rujukan yang lebih interaktif, sesuai untuk pelbagai gaya rujukan dan pembelajaran visual dan audiovisual. Zon ini menyediakan bahan yang relevan untuk pelbagai peringkat umur dan latar belakang, menjadikannya platform untuk pembelajaran sepanjang hayat.

Zon Hipermedia Dewasa ini juga menyediakan rujukan bahan dalam format bahan tidak bercetak bagi penggunaan para pengguna. Sehingga kini, terdapat kira-kira 43,290 koleksi bahan sumber elektronik yang telah tersenarai di PNM.

Zon ini menjadi lokasi pemangkin bagi proses pembelajaran di mana adanya bilik latihan yang boleh menampung 30 orang pengguna dalam satu masa. Pengguna juga boleh menikmati dokumentari, pendidikan, filem atau muzik dalam suasana yang selesa. Bagi menyokong tujuan ini, Perkhidmatan Video On Demand (VOD) turut disediakan untuk menarik minat pengguna menggunakan bahan rujukan audiovisual secara lebih berkesan dan efektif. Pengguna boleh mencuba ruang baharu seperti Pawagam Mini dan Zon Santai.

Perkhidmatan Perpustakaan Bestari pula membantu pengguna untuk akses kepada bahan digital u-Pustaka melalui penyediaan tablet pintar dan komputer. Pengguna boleh akses terus kepada pangkalan data dengan 45 tablet pintar dan 10 komputer yang terdapat di u-Pustaka di ruangan ini. Perkhidmatan Perpustakaan Bestari ini boleh dirujuk di Aras 1, Anjung Bestari.

 

PENAMBAHBAIKAN 

PNM telah merancang beberapa inisiatif antaranya pembangunan ruang pembelajaran interaktif dan imersif di perpustakaan kanak-kanak, pemerkasaan kandungan digital melalui pendigitan dan konsolidasi kandungan secara efektif, pembangunan platform u-Pustaka 2.0, menaiktaraf fasiliti auditorium, bilik serbaguna, bilik syarahan dan studio PNM dan menaik taraf perpustakaan kanak-kanak.

PNM sentiasa cuba menambahbaik perkhidmatan digital kami melalui portal u-Pustaka dan memastikan ia sentiasa dapat memenuhi keperluan maklumat rakyat Malaysia serta seiring dengan teknologi semasa.  

Melalui u-Pustaka, PNM menyediakan pelbagai maklumat yang sesuai untuk semua peringkat umur dan dalam pelbagai subjek dan boleh diakses di mana-mana sahaja oleh rakyat Malaysia.  Diharap perkhidmatan ini akan menjadi satu perkhidmatan yang dapat menyokong hasrat ini dan mengubah sosio ekonomi rakyat Malaysia.   

PNM juga dari semasa ke semasa sentiasa cuba memperbanyakkan bahan bacaan digital untuk diakses oleh rakyat Malaysia serta mengadakan pelbagai aktiviti keilmuan dan didik hibur melalui penggunaan teknologi terkini.  Selain itu, pendaftaran keahlian, pertanyaan rujukan penyelidikan, tempahan dan pinjaman bahan bacaan yang dijalankan secara dalam talian turut menambah baik perkhidmatan perpustakaan pada masa kini.

PNM juga mengadakan program-program galakan membaca bersama komuniti setempat tanpa mengira latar belakang peserta seperti kelas literasi maklumat, bengkel membaca untuk warga emas atau kelas bahasa yang bersesuaian. Ini akan menjadikan PNM sebagai pusat maklumat yang berdaya saing dengan keperluan semasa masyarakat sekali gus mempromosikan pembelajaran sepanjang hayat melalui galakan membaca.

 

TARIK GENERASI BAHARU KE PERPUSTAKAAN

Suasana dan reka bentuk perpustakaan yang lebih moden, menarik dan interaktif dapat menarik generasi muda datang ke PNM. Dengan kemudahan Wi-Fi percuma, serta kemudahan teknologi seperti komputer, tablet dan akses kepada sumber-sumber digital menjadikan perpustakaan lebih relevan dengan minat golongan muda yang terbiasa dengan peranti digital.

Sebagai penggerak dan peneraju program galakan membaca kebangsaan, PNM komited menyelaras dan melaksanakan program dan aktiviti galakan membaca secara berterusan, agresif, kreatif dan bersepadu. PNM memperkasakan program galakan membaca kepada semua lapisan masyarakat di seluruh negara tanpa mengira kaum mengikut tahap usia dan kelompok institusi termasuk golongan berkeperluan khas.

 

PERANCANGAN 2025

Untuk tahun 2025, PNM merancang lebih 70 program yang lebih menarik dan berimpak tinggi.  22 program utama antaranya Program Penebusan Baucar Buku Semarak Membaca 2025 (Februari – November 2025), Jom Baca Bersama 10 Minit 2025 (23 April 2025), Singgah Santai @PNM 2025 #Relakslahdulu (31 Mei 2025), Sentuhan Kasih@Rakan Muda (5 Jun 2025), pelantikan Ikon Pembaca Kebangsaan (26 Jun 2025), Program Kembara Ilmu Sempena Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan (Julai 2025), Festival Kaligrafi Perpaduan (14-16 Ogos 2025).

Begitu juga Seminar Literasi Maklumat Kebangsaan 2025 (9-10 September 2025), Karnival Baca Perdana (1 – 31 Oktober 2025), Program Pementasan Teater Koleksi Peribadi Sasterawan Negara PNM (3 Oktober 2025), Festival Sastera Kanak-Kanak 2025 (8-11 Oktober 2025), Program Sehari Bersama Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan (15 Oktober 2025) dan Anugerah Buku PNM 2025 (23 Oktober 2025).

Selain itu, PNM akan meneruskan program rutin yang dilaksanakan secara berkala menerusi dalam talian iaitu program Uji Jawi, Kata Hikmah Jawi, Cakna Jawi,Eksplorasi Digital@u-Pustaka (setiap bulan mulai Januari hingga Disember 2025), aktiviti Riang Ria Cuti Sekolah dan lain-lain untuk menarik minat masyarakat untuk terus minat membaca.

PNM akan terus komited dalam usaha memperkukuhkan budaya membaca di Malaysia melalui pelbagai inisiatif dan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak. Kami percaya bahawa budaya membaca yang kukuh adalah asas penting untuk membentuk masyarakat yang berilmu dan berdaya saing sesuai dengan slogan ‘Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya’.

Membaca bukan sahaja tertumpu kepada pembacaan bahan berbentuk buku bahan fizikal semata-mata, bahkan pilihan tersedia dalam pelbagai jenis bahan digital.  PNM terus komited mengadaptasi teknologi digital dalam menarik minat membaca dalam kalangan generasi muda.

PNM akan melantik Ikon Pembaca Kebangsaan mengikut pelbagai kategori yang terdiri dalam kalangan pempengaruh untuk memberi sumber inspirasi kepada masyarakat terutama golongan muda dalam membudayakan membaca dan dijadikan rutin harian bagi meningkatkan ilmu pengetahuan serta sebagai agenda pembangunan intelektual masyarakat Malaysia setanding dengan luar negara. 

Melalui pelbagai pendekatan baharu yang menjadi trend terkini anak muda, program galakan membaca juga turut mengetengahkan konsep aktiviti galakan membaca baharu seperti squid game, info hunt dan pintar jawi interaktif. PNM juga aktif menggunakan platform media sosial dalam mempromosikan aktiviti galakan membaca.

 

HARAPAN

PNM berhasrat dapat menjadi sebuah pusat inter-kebudayaan yang akan menyatukan masyarakat berbilang bangsa, agama dan budaya tetapi juga mencipta ekosistem yang menyuburkan perpaduan negara dan kecemerlangan intelektual.

Perpustakaan negara juga berharap dapat terus berkembang sebagai pusat pengetahuan digital yang relevan dan mampu memenuhi keperluan masyarakat dalam era digital. Dengan kemajuan teknologi, PNM ingin memastikan perpustakaan menyediakan akses mudah kepada sumber maklumat dalam bentuk digital, seperti e-buku, jurnal dalam talian dan pangkalan data. Ini akan memastikan semua golongan masyarakat dapat mengakses ilmu tanpa halangan geografi.

 Pada masa sama, kami berharap dapat menjalin lebih banyak kerjasama dengan pelbagai institusi, sektor awam dan swasta, serta masyarakat untuk mengembangkan ekosistem perpustakaan negara. Kolaborasi ini dapat memperkaya koleksi, mengembangkan program-program pendidikan, dan menyediakan peluang bagi inovasi dalam perkhidmatan perpustakaan.

 

PERPUSTAKAAN MASIH RELEVAN

 

Perpustakaan akan terus kekal relevan meskipun apabila teknologi digital menguasai sepenuhnya.  Perpustakaan masih lagi menjadi tempat pelajar untuk belajar secara berkumpulan, mengadakan perbincangan dan menggunakan perkhidmatan di dalam perpustakaan secara percuma tanpa dikenakan bayaran.  Malah masih ada masyarakat yang sememangnya gemar datang ke perpustakaan dan menjadikan perpustakaan sebagai rumah kedua, mereka menjadikan perpustakaan sebagai tempat riadah untuk membaca surat khabar, mencari pelbagai maklumat, membaca pelbagai jenis bahan bacaan dan bersosial secara santai.

Perpustakaan akan terus relevan apabila segala keperluan dan kehendak masyarakat kita tangani sebaiknya. Dalam hal ini misalnya, kita melihat dunia digital yang kita alami hari ini merupakan satu trend yang terus berkembang di seluruh dunia dan tidak terkecuali melibatkan sektor perpustakaan. Sebenarnya ini juga menjadi peluang kepada perpustakaan untuk ‘hidup bersama’ atau berasimilasi dengan dunia digital dengan merekonstruksi perkhidmatan perpustakaan seiring dengan perkembangan digital.  

Kewujudan perpustakaan akan terus dihargai dan diperlukan sebagai gedung ilmu dan khazanah intelektual kebangsaan serta ketamadunan bangsa.  Tanpa perpustakaan, masyarakat berilmu dan berbudaya membaca sukar dibentuk kerana amalan membaca menjadi asas penilaian kadar literasi masyarakat sesebuah negara. Sebagai rekod, Malaysia merekodkan 95 peratus kadar literasi dan merupakan antara yang tertinggi di Asia Tenggara. 

Kewujudan perpustakaan tidak akan dinafikan apabila digital berfungsi sepenuhnya jika kemudahan dan perkhidmatan perpustakaan disediakan kepada masyarakat seiring teknologi semasa.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×