“KEGUNAAN harta tidak dimungkiri tetapi ingatlah yang lebih tinggi adalah cita-cita yang mulia.” – Buya Hamka.
Minggu lalu media melaporkan bagaimana pasukan polis berjaya membongkar pusat panggilan penipuan di tengah ibu kota Kuala Lumpur. Polis turut mendedahkan dalang sindiket tersebut, yang merupakan warga China, memulakan operasi berkenaan dengan membeli lapan unit kondominium bernilai RM16 juta bagi tujuan kegiatan jenayah mereka.
Lebih menggemparkan lagi apabila polis menyatakan pembelian hartanah tersebut dibuat secara bayaran tunai. Malah, dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas wang tunai dalam pelbagai bentuk mata wang termasuklah hampir RM5 juta dalam ringgit Malaysia.
Agak pelik mengapa kejayaan polis menyerbu dan menahan dalang sindiket ini tidak dilaporkan dan diwacanakan dengan lebih meluaskan. Sedangkan kejayaan sebegini bukan sahaja perlu dipuji, malah dijadikan pengajaran agar warga asing lebih berhati-hati sebelum berfikir mereka mampu membuat onar di bumi Malaysia.
Dalam masa sama, pembongkaran ini membangkitkan seribu satu persoalan dan kebimbangan. Antara kebimbangan paling utama adalah bagaimana kegiatan jenayah sebegini mampu mengakibatkan ketidakstabilan di dalam negara dalam skala yang jauh lebih besar.
Jika Malaysia berterusan dianggap sebagai wilayah yang ‘selesa’ bagi penjenayah antarabangsa untuk dijadikan sebagai pangkalan kegiatan mereka, bukan sahaja kerangka perundangan dan kehakiman akan mengalami kesan langsung tetapi lebih utama lagi, penjualan hartanah mewah di dalam negara kepada warga asing secara tidak langsung mampu menyahstabilkan ekonomi negara. Isu ini perlu didalami dengan mengambil kira urusan jual beli hartanah yang berlaku daripada sumber wang haram.
Saya sudah kerap membangkitkan isu yang dilihat timbul daripada program dan polisi kerajaan yang melonggarkan pelbagai sekatan kepada kemasukan warga asing ‘bernilai tinggi’. Biarpun tidak dinafikan program sebegini mempunyai manfaat tersendiri dalam menarik masuk pelaburan asing, namun kerajaan harus memastikan program-program ini tidak disalahgunakan untuk menarik minat dan kecenderungan daripada penjenayah yang menunggu ruang serta kesempatan memanipulasi dasar kerajaan.
Amat disesali hanya dengan imbuhan RM16 juta, hartanah negara ‘lepas’ ke tangan penjenayah yang tidak ada hati nurani. Mustahil insiden sebegini boleh dilihat terpencil dan tidak akan berulang dalam program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang dirombak secara khusus bagi menarik minat warga asing untuk memilih Malaysia sebagai rumah kedua mereka.
Dengan kelonggaran syarat yang telah diberikan dan ketetapan harga minima hartanah dilihat tidak akan menjadi penghalang kepada sindiket jenayah antarabangsa untuk menggunakan dasar terbuka sebegini sebagai pintu masuk ke dalam negara.
Sebagai contoh, peserta MM2H dibenarkan membeli hartanah bernilai lebih RM1 juta di Kuala Lumpur, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Melaka dan Pulau Pinang. Manakala di Selangor, Perlis, Kelantan dan Sabah pula dengan nilai minima hartanah haruslah RM500,000, sedangkan di Perak, harga minima lebih rendah ditetapkan dengan hanya RM350,000.
Bagi sindiket penipuan yang meraih keuntungan ribuan ringgit dalam operasi sehari, nilai hartanah sebegini dilihat bukan sahaja murah malah menarik minat.
AMBIL IKTIBAR
Pemilikan ekuiti yang tinggi oleh warga asing dalam pasaran hartanah di dalam negara bukan sahaja suatu yang membimbangkan, malah bermasalah.
Ambil sahaja iktibar dalam krisis ekonomi Korea Selatan sekitar lewat tahun 1990-an. Pelbagai kajian lampau mengakui pelabur asing telah menggugat kestabilan pasaran saham di Asia Timur bermula 1997 yang akhirnya melihat kegawatan ekonomi serantau.
Meskipun diakui urusan dalam pasaran hartanah tidak semudah pasaran saham, namun perlu sentiasa berwaspada bagi memastikan kehadiran pelabur asing tidak menyahstabilkan ekonomi tempatan.
Nyahstabil ekonomi berlaku apabila tindakan sesuatu entiti kehilangan pegangan kuasa atau kawalan dengan menyebabkan perubahan ketara dalam tempoh yang pendek.
Isu nyahstabil ekonomi sudah dibahaskan ahli ekonomi sejak pertengahan 1990-an lagi namun dengan pelbagai amaran yang diberikan, percambahan ekonomi yang berlaku pantas kesan daripada perkembangan teknologi tidak dapat dibendung sehinggalah terjadinya Krisis Ekonomi Asia.
Di samping itu, kemampuan ekonomi atau kuasa membeli bagi warga asing yang dilihat lebih utuh berbanding kuasa membeli warga tempatan bukan sahaja memangsakan kedudukan ekonomi anak watan. Gentrifikasi sebegini juga mampu mewujudkan pelbagai masalah sosial termasuklah merendahkan kadar kesihatan penduduk khususnya dari komuniti rentan ekonomi.
Kerana itulah, sebarang ketidakpatuhan pendaftaran hartanah di peringkat pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam memantau dan menyelia proses ini perlulah dibanteras keras. Ini dengan mengambil kira betapa besar kesan yang dirasai komuniti.
Harga yang perlu dibayar dalam menarik pelaburan asing perlu mempertimbangkan kos-kos tersembunyi yang harus dibayar dengan peluh, darah dan air mata warga tempatan.
Tidak guna jika ekonomi negara terus maju sedangkan taraf kehidupan rakyat menjadi taruhan.-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










