Tiada jalan singkat untuk mencapai kejayaan

Tiada jalan singkat untuk mencapai kejayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEPERIKSAAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 baru sahaja berlalu. Setelah berusaha sebaik mungkin, kini keputusan peperiksaan pasti ditunggu dengan penuh debaran. Masing-masing pasti memanjatkan doa agar beroleh keputusan yang cemerlang dan seterusnya berjaya mengikuti kursus yang mereka idamkan di institut pengajian tinggi (IPT) pilihan.

Bagi yang berhasrat mahu menyambung pelajaran ke institut pengajian tinggi Awam (IPTA), permohonan melalui Unit Pusat Universiti (UPU) Online sudah pun dibuka. Kita harus bersikap rasional dalam menyusun pilihan kursus dan IPTA bagi mengelakkan masalah yang mungkin berbangkit akibat pilihan yang kurang tepat.

Kursus yang dipilih mestilah bersesuaian dengan minat serta kebolehan diri, bukannya kita memilih kursus tertentu untuk mengejar status yang tinggi serta pendapatan lumayan ataupun kerana mahu belajar bersama teman-teman yang kita sayangi. Jika tersilap langkah, kita mungkin terperangkap dalam keadaan yang rumit dan membebankan. Akibatnya, kita tidak dapat menikmati proses pendidikan dengan sepenuhnya.

Setiap insan sangatlah istimewa, setiap daripada kita dianugerahkan minat, bakat serta kebolehan tersendiri. Justeru, amatlah penting bagi kita untuk mengenali dan memahami kelebihan serta kekurangan diri sendiri secara jujur dan ikhlas agar dapat mempertingkatkan kemampuan diri kepada tahap yang paling tinggi.

Kita harus belajar membebaskan diri daripada kaedah belajar berasaskan sudut yang kecil, hanya dengan banyak menghafal tanpa memahami konsepnya dan lebih terarah kepada kaedah menyuap semata-mata. 

Di universiti, kaedah pengajian adalah lebih terbuka dan bersifat lebih intelektual. Perbincangan serta pengalaman di luar dewan kuliah amatlah penting dalam menerapkan teori yang dipelajari agar kita dapat memahami subjek yang diajar secara lebih mendalam dan mampu mencetuskan percambahan idea segar dan bernas.

Untuk itu, kita harus banyak membaca, rajin mencari bahan rujukan, membuat kajian tambahan serta mengikuti pembentangan ilmiah oleh pakar dalam bidang berkenaan bagi membuka minda serta memantapkan pemahaman kita.

Mempelajari subjek yang diminati sememangnya amat menyeronokkan. Biarpun subjek tersebut dikira lebih sukar atau mempunyai beban kerja yang lebih banyak, namun disebabkan minat, keadaan yang berat sekali pun akan terasa begitu ringan. Hasilnya, kita sentiasa bersemangat ketika belajar.

Selain memilih kursus yang tepat, pemilihan universiti sesuai juga amat penting kerana pengaruh persekitaran amat besar kesannya kepada diri kita. Suasana pembelajaran yang kondusif dan dinamik akan membantu kita belajar dengan lebih baik dan memberi kesan yang positif kepada perkembangan emosi para pelajar.

Setiap IPT mempunyai falsafah, nilai serta misi dan visi yang berbeza-beza. Semua faktor ini diterjemahkan ke dalam polisi IPT masing-masing dan akan mencorakkan suasana kehidupan harian warganya. Kurikulum sesebuah kursus yang ditawarkan di sesebuah universiti adalah berbeza kerana ia dirangka oleh IPT berkenaan dengan mengambil kira aspirasi intitusi tersebut. Oleh itu, hal-hal ini mesti diambil kira agar pilihan yang buat itu benar-benar tepat supaya tidak merugikan kita.

Dari aspek kehidupan sosial pula, oleh kerana kita tidak lagi dikawal oleh undang-undang yang ketat seperti di sekolah, maka kita harus pandai mendisiplinkan diri agar mematuhi undang-undang negara dan agama. Di sebalik kebebasan yang kita nikmati, terselit pelbagai perangkap yang akan menjerat kita jika kita tidak berhati-hati.

Lebih memburukkan keadaan, pelajar IPT sering dijadikan sasaran oleh pihak berpentingan yang mahu mencari keuntungan dan sokongan, baik dari sudut penyebaran ideologi sosial,  politik mahupun ekonomi.

Tiada jalan singkat untuk mencapai kejayaan. Yang bulat takkan datang bergolek, yang pipih takkan datang melayang. Kita harus mengenal pasti cabaran yang ada di hadapan supaya perjalanan menjadi lebih lancar. 

 

BERPEGANGLAH pada azam untuk menggenggam ilmu di menara gading walaupun berdepan pelbagai cabaran di institusi pengajian tinggi (IPT).

 

TIDAK SEMUDAH DISANGKA

Hakikatnya, hidup di IPT bukan semuanya mudah dan indah seperti apa yang mungkin dibayangkan oleh sebahagian daripada kita. Begitu banyak cabaran serta dugaan yang perlu kita hadapi, lebih-lebih lagi bagi kita yang terpaksa berjimat cermat sepanjang tempoh pengajian.

Namun, jika bijak menanganinya, setiap cabaran akan memberikan kekuatan serta pengalaman yang menjadikan kita lebih matang dan bijaksana. Akan tetapi, jika hanya membiarkan diri hanyut dibuai mimpi indah di siang hari, mudah melatah atau senang berputus asa, maka kita akan kecundang. Jangan cuma merungut, carilah jalan secara bijaksana.

Masa belajar mesti diatur dengan teliti supaya aktiviti di luar dewan kuliah tidak mengganggu prestasi pelajaran. Sebagai pelajar yang bergiat aktif dalam aktivisme pendidikan dan kemampanan, saya mempunyai jadual kerja yang begitu ketat. Kerana minat, saya mengambil masa kredit belajar melebihi daripada kadar disarankan oleh fakulti dan jabatan bagi kedua-dua program yang diikuti. Untuk berjaya, kita harus berkorban dan sanggup bekerja keras.

Paling penting, sebagai anak muda, jangan biarkan diri kita dirasuk ideologi anarkisme yang menentang autoriti. Laungan menuntut hak dan kebebasan memang mudah membakar darah muda mahasiswa, khasnya bagi mereka yang baru mengenali dunia luar. Kekerasan, sifat keakuan dan pemberontakan adalah bertentangan dengan nilai insani serta tatasusila yang terpuji.

Malah sifat sebegini sering menjadi pencetus konflik dan perpecahan, baik dalam institusi  keluarga, masyarakat mahupun negara. Apa gunanya jika menang sorak tetapi kampung tergadai? Ibarat anjing dengan bayang-bayang, akhirnya yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran.

Bulatkan hati, teguhkan tekad dan berusahalah sekuat mungkin untuk mencapai cita-cita. Berpeganglah kepada azam dan janji yang tersemat di hati ketika kita berdoa dengan penuh harapan agar mendapat tempat di universiti. Ingatlah sentiasa yang kelihatan indah bergemerlapan itu belum tentu permata yang berharga.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN