Pemimpin pelaksana amanah Tuhan, hamba kepada rakyat

Pemimpin pelaksana amanah Tuhan, hamba kepada rakyat

PEMIMPIN perlu menyempurnakan atau menunaikan kepercayaan rakyat yang telah memilih mereka dalam pilihan raya umum (PRU).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDUDUK dalam sesuatu wilayah memerlukan ‘kepemimpinan politik’ bagi mengurus kehidupan bermasyarakat dan bernegara berdasarkan peraturan dan undang-undang yang ditetapkan. Selain itu, nilai normatif yang diterima pakai dalam sesuatu masyarakat itu juga menjadi landasan kehidupan bernegara.

Peraturan, undang-undang serta nilai normatif bertujuan memelihara dan menjaga kerukunan mahupun keharmonian hidup bermasyarakat. Semuanya itu adalah bentuk kontrak sosial yang mesti dipatuhi oleh masyarakat (rakyat). 

Apabila datang orang luar (imigran) ke wilayah (negara) yang telah tertegak sistem kehidupan bernegaranya maka mereka juga mestilah mengikut peraturan atau undang-undang yang dilaksana dan diguna pakai dalam negara berkenaan.

Dalam sesebuah negara, kerajaan yang mempunyai keabsahan memerintah dari segi Perlembagaan negara itulah yang bertanggungjawab memelihara kedaulatan dalam sebuah konsep negara-bangsa yang berdaulat dan merdeka.

Kerajaan itulah yang memerintah, mentadbir dan mengurus kehidupan bernegara dan bermasyarakat. Semua warganegara atau penduduk, termasuk imigran yang menumpang di negara berkenaan mestilah menghormati kepemimpinan yang ada itu.

Sebarang pertukaran kerajaan mestilah mengikut kerangka Perlembagaan dan undang-undang di negara berkenaan. Maknanya, naik atau turunnya kerajaan dan pemimpin negara itu mestilah mengikut kaedah-kaedah yang telah diperundangkan dalam negara berkenaan.

Hakikatnya, kepemimpinan dalam sesebuah negara itu amat perlu dan penting bagi memastikan kemakmuran, kesejahteraan, kebahagian, keharmonian, keselamatan, kemajuan serta pembangunan sosioekonomi negara mahupun rakyatnya.

Sarjana-sarjana (ulama-ulama) Islam telah membahaskan betapa pentingnya peranan dan tanggungjawab pemimpin yang mengemudi negara atau kerajaan. Antaranya Syeikul Islam Ibn Taymiyyah (1263-1328 M) yang melihat perlu ada pemerintahan agar manusia mampu meraih kebahagian baik di dunia mahupun di akhirat.

Syeikkul Islam melihat kelompok manusia dalam sesebuah masyarakat perlu bergabung dan terikat dengan satu kesepakatan yang dapat mewujudkan keperluan untuk bekerjasama, tolong-menolong serta bersepakat bagi meraih manfaat bersama selain dapat menolak sebarang ancaman, mudarat ataupun bahaya. 

Beliau menegaskan  pemimpin itu pada dasarnya memikul amanah (sebagai utusan) dari Tuhan dan sebagai wakil pada hamba (rakyat).

Tanggungjawab besar ini meletakkan pemimpin negara memiliki status berganda iaitu sebagai utusan Tuhan dan sebagai wakil pada hamba (rakyat). 

Sebagai utusan Tuhan maka mereka mestilah bertanggungjawab kepada Tuhannya, manakala sebagai wakil rakyat pula, menyebabkan mereka perlu menyempurnakan atau menunaikan kepercayaan rakyat yang telah memilihnya atau menyetujuinya sebagai pemimpin. 

Kedua-dua tanggungjawab ini disebut sebagai al-Wulat al-nuwwab Allah ala Ibadihi wa wukala al-ibad ala nufusihim.

Menurut Ibn Taymiyyah dalam kedudukan pemimpin memikul tanggungjawab berganda maka ia tidak boleh mengkhianati amanat yang dipikulnya itu. Dalam konteks inilah kepemimpinan negara harus berupaya mengatur masyarakat dengan pelbagai aturan serta organisasi dalam lingkungan dan rangkaian sistem sosial yang utuh demi menyempurnakan amanahnya itu.

Masyarakat atau rakyat pula harus mematuhinya serta menghormati pemimpin yang diangkat bagi mencapai hasrat bersama. Harus difahami rasionaliti Ibn Taymiyyah dalam soal kepemimpinan ini didukung dengan keyakinan agama. 

Menurutnya, menegakkan negara adalah satu tugas dan tanggungjawab suci yang dituntut agama dan menjadi jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Bagaimanapun Ibn Taymiyyah menegaskan negara Islam tidak memerlukan pemahaman konsep negara teokrasi secara ‘de facto’ tetapi cukup sebagai sebuah negara yang tunduk kepada pemahaman umum yang ada dalam al-Quran dan hadis.

Bagi Ibn Taymiyyah, bentuk atau sistem pemerintahan teokrasi seperti sistem kekahalifahan atau Imamiyyah tidak penting tetapi mengutamakan pelaksanaan syariat sebagai keutamaan.

Beliau lebih menekankan pemerintahan yang menitikberatkan pada asas konstitusi, kerjasama, keadilan dan perjanjian melalui kontrak sosial. Beliau juga tidak mengemukakan teori kedaulatan rakyat (demokrasi). Namun, beliau mengakui adanya bai’ah (perjanjian untuk memberi ketaatan) tetapi ia bukan sebagai proses pemberiaan legitimasi dari rakyat tetapi lebih merupakan proses pengukuhan selepas pengangkatan seseorang pemimpin itu sebagaimana yang diamalkan dalam Khalifah ar-Rasyidin.

 

UNSUR FUNDAMENTAL

Apa pun, dalam menegak dan melaksanakan pemerintahan, Ibn Taymiyyah menekankan pemimpin hendaklah menekankan unsur-unsur fundamental dalam mengurus negara seperti keadilan, kehakiman, pengagihan harta, persaudaraan (ukhuwah), perdamaian, musyawarah, kebebasan bersuara, toleransi beragama menjadi instrumen asas dalam siasah (politik) bagi menegakkan negara.

Demikian juga hal-hal berkaitan memelihara agama. Lembaga atau atau institusi keagamaan perlu ditegakkan untuk mengurus dan mengagihkan zakat, menghukum perlakuan jenayah, melaksana kewajipan berjihad dan sebagainya. 

Ibn Taymiyyah melihat pemimpin negara mestilah menjadikan politik sebagai jalan menegakkan agama dengan tujuan menegakkan keadilan, melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar dan mempersiap negara mengabdi kepada Allah dalam kerangka akidah tauhid.-UTUSAN

 

PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×