Pas patut lebih matang,bukan ‘main’ isu politik kecil

Pas patut lebih matang, bukan ‘main’ isu politik kecil

PAS perlu berubah dengan mengetengahkan isu global yang dikatakan boleh mengancam kedudukan umat Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DARI segi politik, Pas merupakan pembangkang terkuat di Parlimen berdasarkan bilangan kerusi. Sokongan rakyat kepada parti Islam itu meningkat 140 peratus berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), sekali gus mencatatkan bilangan kerusi tertinggi dalam sejarah 71 tahun penubuhannya.

Sebanyak 18 kerusi diperoleh ketika PRU14, manakala 43 kerusi Parlimen dimenangi pada PRU15 melalui kerjasamanya dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Pas merupakan parti politik, memiliki sejarah kukuh dan melahirkan tokoh-tokoh politik yang masih menjadi sanjungan dan sebutan walaupun kebanyakannya telah pergi meninggalkan kita.

Kemenangan pada PRU15, selain dari pada faktor kerjasama dalam gabungan PN, ia juga berkait rapat imej pejuang-pejuang masa lalu. Apabila menyentuh tentang parti ini, tidak salah jika kita meneliti sedikit sejarah politik Pas agar dapat difahami oleh generasi baharu.

Pas pada dasarnya lahir daripada ‘perut’ UMNO sama seperti PKR. Pada awalnya Pas dikenali sebagai Persatuan Ulama Se-Malaya yang wujud dalam UMNO. Tetapi persatuan ini mendapati cita-cita Islam tidak boleh digunakan dalam UMNO kerana itu satu parti Islam perlu dilahirkan untuk menyatukan golongan yang mahukan Islam.

Parti ini ditubuhkan kerana pemimpin-pemimpin Pas perlu kembali kepada asas dan akar umbi penubuhan parti. Menurut Ahmad Lutfi Othman, perjuangan Pas ialah untuk mengubah waqi’ atau realiti masyarakat yang terkongkong dalam jahiliyah, menuju ke arah peradaban Islam atau hadarah rabbaniyah, dengan keupayaan iman, fikrah, ilmu, amal, akhlak dan tanzim yang menyeluruh.

Hadarah rabbaniyah bermaksud tamadun ketuhanan yang merangkumi asas-asas pembentukan tamadun Islam terdiri daripada akidah, syariah dan akhlak. Usaha-usaha ini boleh dikatakan tidak disuarakan dengan jelas dalam Parlimen dan menjadi kegusaran untuk melihat Pas yang lebih progresif.

Ingin saya katakan isu seperti Rang Undang-Undang (RUU) 355 perlu dibahaskan untuk meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah yang terhad, iaitu denda RM5,000 sahaja atau tiga tahun penjara atau/dan sebat enam kali kepada bidang kuasa yang lebih luas mengikut syariah kecuali hukuman bunuh. Malangnya isu ini tidak diperdebatkan secara menyeluruh dan mengakibatkan Pas dipandang enteng oleh pihak lawan.

Pas perlu menjelaskan kepada masyarakat awam tujuan RUU 355. Pas juga perlu menjelaskan apa signifikannya mengadakan hukuman sebat di khalayak ramai di Terengganu berkaitan kes khalwat misalnya. Kerana hukuman tersebut dikritik pihak lawan.

Sebenarnya banyak isu moral yang Pas boleh ketengahkan seperti isu lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ) yang sesuai dengan peradaban manusia. Ini kerana amalan berkenaan tidak sesuai dengan budaya kita sementara isu rasuah, jualan minuman keras kepada orang-orang Islam, kedudukan rokok dalam masyarakat Islam, kes penyalahgunaan dadah, penambahan bilangan pesakit AIDS, banyak kes rasuah tidak ‘menyangkut’ misalnya, ini boleh dipersoalkan di Parlimen.

Pas bukanlah parti yang baru wujud semalam. Pas wujud sejak 1951 di bawah pimpinan Ahmad Fuad Hassan yang cuba membawa ahli-ahli UMNO menyokong Pas. Ahmad Fuad dikatakan gagal membawa maksud tersebut lalu meletakkan jawatan dan digantikan dengan Abbas Alias.
Peristiwa ini berlaku sekitar 1954. Pas kemudian berubah haluan daripada kegiatan berteraskan keagamaan kepada kegiatan politik pula. Pas kemudian lahir sebagai parti politik yang berdaftar sehari sebelum penamaan calon pada 1955.

Bermula dari situ, Pas tidak ketandusan tokoh-tokoh politik antaranya Ahmad Tuan Hussein, Dr. Burhanuddin Al-Hilmy, Datuk Mohd. Asri Muda, Tan Sri Nik Aziz Nik Mat, Fadzil Mohd. Noor, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Prof. Madya Datuk Dr. Syeikh Abdul Aziz Hanafi dan beberapa nama lain yang memang gah ketokohannya.

Pas pada hari ini masih bergantung kepada kekuatan nama Abdul Hadi. Nama- nama baharu yang boleh dikatakan mempunyai ketokohan seperti Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Yang lain agak tenggelam, ia diburukkan lagi dengan kenyataan tidak berfakta oleh ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad yang mengaitkan Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok dengan mendiang pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng serta bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memutuskan apa yang dikatakan Mastura merupakan fitnah dan dibuat dengan niat jahat. Pembelaannya atas dasar komen adil, keistimewaan bersyarat dan penyebaran tanpa niat jahat tidak dapat dibuktikan. Hakim memberikan ganti rugi global sebanyak RM300,000 kepada Kit Siang, RM250,000 kepada Guan Eng dan RM200,000 kepada Teresa serta faedah lima peratus dikenakan ke atas jumlah tersebut dari tarikh keputusan sehingga tarikh pembayaran.

Mastura diarahkan membayar RM25,000 kepada setiap plaintif kerana ketiga-tiga saman itu didengar bersama, sekali gus menjimatkan kos.

Belum reda isu tersebut, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria mengaku salah kerana mendakwa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebagai ‘anak’ YTL kerana syarikat itu diasaskan Yeoh Tiong Lay. Hannah bagaimanapun menjawab “bukan semua Yeoh ada pertalian keluarga”. Isu-isu ini tidak memperlihatkan Pas memainkan peranan semak dan imbang.

PERLU BERUBAH
Pas sebagai parti politik lama sepatutnya memperjuangkan isu lebih matang melibatkan bangsa dan agama yang menjadi asas perjuangannya, bukan bermain politik kecil dan tidak dinamik seperti ini. Pas perlu mengetengahkan isu global yang dikatakan boleh mengancam kedudukan umat Islam. Isu-isu seperti perundangan Islam yang perlu diseragamkan antara negeri juga wajar diketengahkan.

Banyak sebenarnya isu yang boleh Pas mainkan untuk kembali menjadi parti politik yang disegani. Saya walaupun bukan penyokong, tetapi mahu melihat Pas kembali sebagai parti politik yang dapat menggegarkan kembali Parlimen dengan isu yang segar dan global.-UTUSAN

PENULIS ialah bekas Peguam Syarie yang bertugas di Brunei Darussalam selama 24 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×