PENJAWAT awam sekali lagi menjadi sasaran utama sindiket perunding kewangan dengan modus operandi yang semakin licik. Terbaharu, kes penipuan melibatkan sebuah syarikat perunding kewangan yang kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Sky membongkar ribuan penjawat awam diperdaya melalui skim pinjaman peribadi palsu dan melibatkan beberapa selebriti terkemuka tanah air sebagai duta utama bagi menarik minat ramai mangsa.
Siasatan awal mendapati syarikat terbabit menawarkan bantuan untuk mendapatkan pinjaman dengan janji menyelesaikan hutang lapuk. Bagaimanapun, pinjaman tersebut dibuat atas dokumen yang dipalsukan, malah dalam banyak kes, pemohon tidak menerima jumlah wang seperti yang dijanjikan. Lebih memburukkan keadaan, individu yang terjebak akhirnya terpaksa menanggung beban hutang melampau tanpa mendapat manfaat sebenar.
Menurut sumber SPRM, seramai 21 individu ditahan dalam siasatan ini termasuk pegawai bank yang dipercayai menerima suapan bagi meluluskan pinjaman yang tidak sah.
Selain itu, lebih 70 akaun bank dengan nilai mencecah RM16.2 juta dibekukan, berserta rampasan aset mewah yang dipercayai hasil daripada kegiatan haram ini.
Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), purata nisbah hutang kepada pendapatan rakyat adalah 146 peratus dan antara tertinggi di rantau Asia Tenggara manakala menurut Kajian Literasi Kewangan Malaysia 2021, hanya 38 peratus rakyat mempunyai tahap literasi kewangan yang baik sekali gus menunjukkan ramai yang berbelanja lebih daripada pendapatan mereka.
Penjawat awam pula sering menjadi sasaran utama penipuan kewangan kerana mereka dianggap sebagai golongan yang mempunyai pendapatan tetap. Namun, hakikatnya, ramai dalam kalangan mereka bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi, terutamanya di bandar-bandar besar.
Keperluan untuk membayar hutang perumahan, kereta dan perbelanjaan harian menyebabkan mereka mencari pinjaman tambahan, yang akhirnya menjadikan golongan ini mangsa kepada syarikat pinjaman tidak beretika.
TINDAKAN NEGARA LAIN
Beberapa negara lain mengambil langkah proaktif dan inovatif untuk menangani isu penipuan kewangan dan melindungi warganegara, termasuk penjawat awam, daripada terjerumus ke dalam hutang yang melampau. Berikut adalah beberapa contoh tindakan yang diambil oleh negara-negara lain yang boleh dijadikan rujukan Malaysia.
United Kingdom (UK) melalui Biro Perisikan Penipuan Kebangsaan (NFIB) mengumpulkan maklumat penipuan dan memperketat undang-undang terhadap institusi kewangan yang gagal melindungi pelanggan.
Pusat Antiscam Singapura pula membolehkan pihak berkuasa membekukan akaun dalam 24 jam selepas laporan dibuat. Aplikasi ScamShield membantu menapis mesej dan panggilan mencurigakan.
Australia mempraktikkan larangan transaksi tertentu dikenakan terhadap institusi kewangan yang tidak patuh, sementara Minggu Kesedaran Scam meningkatkan kesedaran awam.
Ada juga negara yang memperkenalkan Sistem Amaran Awal (EWS) mengesan transaksi luar biasa dan memerlukan tempoh bertenang 24 jam sebelum transaksi besar diluluskan.
TINDAKAN TEGAS KERAJAAN
Kerajaan juga perlu menambah baik kaedah pengisytiharan harta dan pendapatan sampingan dalam kalangan penjawat awam. Langkah ini akan membantu meningkatkan ketelusan dan mengurangkan risiko mereka terlibat pinjaman tidak sah atau terperangkap dalam skim kewangan yang mencurigakan.
Dengan sistem pemantauan yang lebih ketat, penjawat awam boleh mengelak daripada berdepan beban hutang yang tidak terkawal.
Selain itu, pegawai atasan yang cuai dalam pemantauan sehingga membuka ruang kepada pihak luar atau scammer untuk menggunakan fasiliti tempat kerja bagi memasarkan produk mereka juga perlu dipertanggungjawabkan. Ketidakcekapan dalam pengawasan boleh mengakibatkan lebih ramai penjawat awam menjadi mangsa dan tindakan tegas termasuk siasatan dalaman serta penalti perlu dikenakan kepada pihak yang lalai dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
Antara langkah lain yang boleh dilakukan adalah memperketat kawal selia terhadap institusi kewangan yang menawarkan pinjaman kepada penjawat awam.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga perlu memainkan peranan dalam menyediakan latihan berkaitan pengurusan kewangan dan pendedahan terhadap modus operandi penipuan kewangan yang semakin canggih.
Selain itu, penjawat awam dinasihatkan untuk hanya berurusan dengan institusi kewangan yang sah dan berdaftar bagi mendapatkan pinjaman. Kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk memperkenalkan mekanisme pemantauan lebih ketat bagi mengesan pinjaman yang mencurigakan dan mengambil tindakan awal sebelum penjawat awam menjadi mangsa.
KAWAL HUTANG
Dalam jangka masa panjang, kerajaan perlu menggubal dasar lebih ketat dalam memastikan penjawat awam tidak terbeban dengan hutang berlebihan. Program pendidikan kewangan perlu diperluaskan untuk membantu mereka mengurus kewangan dengan lebih bijak dan mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) juga perlu diperkasakan bagi memberikan perlindungan yang lebih baik kepada rakyat, termasuk penjawat awam. Langkah seperti penyediaan saluran aduan yang lebih mudah dan tindakan pantas dalam mengesan aktiviti mencurigakan boleh membantu mengurangkan risiko lebih ramai menjadi mangsa penipuan.
Data terkini menunjukkan isu penipuan kewangan dan bebanan hutang dalam kalangan penjawat awam di Malaysia adalah serius dan memerlukan tindakan segera. Dengan menggabungkan langkah-langkah yang telah berjaya dilaksanakan oleh negara-negara lain, Malaysia dapat membangunkan satu rangka kerja yang komprehensif untuk melindungi penjawat awam dan rakyat umum daripada penipuan kewangan serta memastikan kestabilan kewangan jangka panjang.
Penjawat awam yang bebas daripada bebanan hutang akan dapat memberikan perkhidmatan lebih baik kepada negara dan ini adalah matlamat yang perlu dicapai bersama.-UTUSAN
DR. Mohamed Rashid Ab. Razak ialah Timbalan Pengarah Pusat Islamisasi (CENTRIS) dan Pensyarah Kanan Jabatan Undang-undang Islam Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











