Hukuman doping 'pilih bulu'

Hukuman doping ‘pilih bulu’ 

NOVAK DJOKOVIC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Novak Djokovic menggesa pihak berkuasa tenis untuk mengkaji semula sistem antidoping yang dianggap tidak konsisten melibatkan pemain bertaraf bintang seperti Jannik Sinner dan Iga Swiatek berbanding pemain di ranking bawah. 

Sinner selaku pemain nombor satu dunia dilaporkan bersetuju dengan hukuman penggantungan selama tiga bulan selepas mengambil tanggungjawab atas kesilapan pasukan menyebabkan dia diuji positif clostebol sebanyak dua kali.

Sinner sebenarnya berdepan hukuman penggantungan dua tahun selapas Agensi Anti Doping Dunia (WADA) merayu kepada Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) supaya mengkaji semula keputusan pembebasan awal yang dikeluarkan oleh Agensi Integriti Tenis Antarabangsa (ITIA), Ogos lalu.

Namun, WADA sebaliknya menarik balik rayuannya yang difailkan sebelum ini dan bersetuju dengan hukuman untuk tempoh tiga bulan.

Dalam satu lagi kes berprofil tinggi, juara liga kali Grand Slam, Swiatek turut bersetuju dengan tempoh sebulan penggantungan selepas diuji positif dengan penggunaan dadah trimetazidine yang lazimnya digunakan untuk jantung.

“Majoriti pemain yang pernah bercakap dengan saya di bilik persalinan mengakui mereka tidak bersetuju dengan cara pengendalian kes melibatkan dadah.

“Mereka merasakan tindakan itu tidak adil dan mementingkan kepentingan seseorang. Ia seolah-olah ada pengecualian jika anda pemain menghuni ranking atas dan mempunyai hubungan istimewa dengan pihak atasan,” katanya.

Sebagai perbandingan, bekas pemain nombor satu dunia yang telahpun bersara, Simona Halep dikenakan hukuman gantung empat tahun oleh ITIA pada 2022 selepas didapati positif mengambil dadah perangsang darah roxadustat. 

Dalam pembelaannya, Halep berkata, ubat tersebut merupakan makanan tambahan dan akhirnya CAS  mengurangkan hukuman itu kepada sembilan bulan.

“Simona Halep dan pemain tenis Britain, Tara Moore dan ada beberapa lagi yang mungkin tidak dikenali terpaksa bergelut dengan kes masing-masing dan mengambil masa bertahun tahun dan menerima hukuman yang lama,” kata Djokovic.

Djokovic yang akan bertarung dalam Terbuka Qatar sejak pulih daripada kecederaan semasa bersaing dalam Terbuka Australia percaya perubahan perlu dilakukan. – AFP/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN