GENCATAN senjata fasa pertama antara Hamas dan Israel bermula 19 Januari, telah masuk ke minggu ketiga. Dalam tempoh tersebut, kita melihat proses pertukaran tawanan yang berlaku sebanyak dua kali di antara kedua-dua pihak.
Gimik yang dibuat pejuang pembebasan Gaza sangat dramatik, sehinggakan tiada naratif palsu yang kuat dari Israel mampu melawan hakikat perjuangan rakyat Palestin sebagai ‘tuan tanah’ kepada bumi anbiya dan syuhada.
Mesej yang disampaikan juga jelas, perjuangan pembebasan Palestin ini bukan untuk melawan Yahudi, tetapi Israel persis Nazi yang mengakar dalam sebilangan rakyat Israel dan sekutu mereka.
Namun, dalam kegembiraan terhadap gencatan senjata yang berlaku, Israel mula mengalihkan serangan mereka di Tebing Barat yang menempatkan Baitulmaqdis dan juga kiblat pertama umat Islam iaitu Masjid al-Aqsa selepas kekalahan yang memalukan di Gaza.
Penting untuk kita faham bahawa Israel dan sekutu kuatnya, Amerika Syarikat (AS), tidak pernah mengalihkan mata mereka terhadap Masjid al-Aqsa. Pejuang Palestin juga sebenarnya sedia maklum apabila mereka mula menamakan operasi mereka seperti Saif al-Quds dan Taufan al-Aqsa, menunjukkan penentangan mereka adalah untuk melindungi pusat barakah dunia ini.
Serangan di Tebing Barat ini penting buat Israel untu kmemastikan kemenangan di pihak mereka dengan menguasai Baitulmaqdis sepenuhnya dan menghapuskan pejuang.
Pengilhakan (annexation) Baitulmaqdis dibuat ketika Parti Likud menduduki tampuk pemerintahan Israel. Pada 31 Disember 2017, Jawatankuasa Pusat Parti Likud mengundi untuk menggesa ahli Knesset melakukan advokasi untuk mengilhakan Baitulmaqdis.
Benjamin Netanyahu sebagai Perdana Menteri Israel ketika itu, kononnya menentang usaha pengundian tersebut kerana risau cita-cita dan agenda parti terbongkar dan segala perancangan akan menjadi sia-sia.
Walau bagaimanapun, ketika berlakunya pemilihan dalam parti Likud pada September 2019, Netanyahu meluluskan pengilhakan Lembah Jordan dan utara Laut Mati, yang mana ini adalah kawasan yang merangkumi 23 peratus dari Tebing Barat. Namun, usaha ini tidak menjadi kenyataan apabila Donald Trump mengumumkan ‘Perjanjian Abad Ini’ pada 2020, kemudian kekalahan Trump pada November 2020 dalam pilihan raya AS.
Disebabkan ini juga terjadinya perang Saif al-Quds pada 2021 yang menggoyahkan pemerintahan Netanyahu di Israel.
Kegoyahan kepimpinan Netanyahu kembali kuat apabila beliau membentuk kerajaan gabungan bersama parti Ultranasionalis Zionis. Parti ini diwakili oleh dua orang kuatnya iaitu Bezalel Smotrich dan Itamar Ben-Gvir. Cita-cita parti ini memang mahu menjadikan Palestin sebagai sebuah negara untuk Yahudi sahaja dan menganggap bangsa lain sebagai tidak bertamadun.
Pada 2022, parti Religious Zionism menggunakan Pelan Penentu. Pelan ini pernah diusulkan oleh Smotrich untuk menyelesaikan konflik di Palestin dan menjajah Tebing Barat. Namun, pelan itu juga tidak dapat diteruskan selepas berlakunya Perang Taufan al-Aqsa selama hampir 15 bulan.
Menghampiri penghujung 2024, rakyat AS sekali lagi memilih Trump sebagai presiden mereka. Selepas kemenangan itu, beliau mengatakan wilayah Israel hari ini terlalu kecil dan perlu diperluaskan.
Kita tahu pada 2020, Trump menolak Perjanjian Oslo, sebarang proses perdamaian yang berlaku ketika itu dan penyelesaian dua negara sehinggakan beliau memindahkan Kedutaan AS ke Baitulmaqdis dan memperkenankan usaha penjajahan Israel di Bukit Golan yang dimiliki Syria.
Selepas kemenangan beliau pada 2024, Trump melantik Marco Rubio yang merupakan penyokong tegar Zionis sebagai Setiausaha Negara. Rubio antara individu yang lantang mengatakan kerajaan Joe Biden tidak menyalurkan bantuan secukupnya kepada Israel.
Trump juga melantik Mike Hukacbee sebagai Duta AS di Israel. Huckabee adalah seorang pemimpin Kristian Evangelis yang lantang bersuara tentang hak orang Yahudi ke atas Palestin dari sudut agama sehingga mengatakan mereka mempunyai hak ke atas Tebing Barat.
Bukan itu sahaja, bukti Trump sangat ‘mesra’ dengan kelompok Israel ini apabila beliau melantik juga Elise Stefanik sebagai Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang mana Stefanik pernah menyatakan secara terbuka bahawa Israel ada hak ke atas Palestin kerana mereka adalah pilihan Tuhan yang tidak boleh disangkal oleh mana-mana bangsa dan agama.
Tidak berhenti di sini, pendatang haram Israel di Tebing Barat menerima sokongan Trump apabila wakil daripada sebuah kumpulan pendatang haram iaitu Majlis Yesha dijemput ketika majlis pertabalan Trump sebagai presiden. Ini menunjukkan Trump juga sama seperti mana-mana presiden AS yang akan cenderung kepada Israel kerana kumpulan ini yang membantu mereka untuk memenangi pilihan raya.
IDAM MASJID AL-AQSA
Usaha-usaha yang dilakukan di Tebing Barat bukan sahaja untuk menebus kekalahan di Gaza, tetapi untuk fokus kembali kepada agenda utama iaitu pengyahudian (judaisation) Masjid al-Aqsa. Mereka sedar, selagi mana Masjid al-Aqsa ini berdiri kukuh, tuntutan mereka bahawa Palestin itu adalah sebuah negara Yahudi tidak akan tercapai.
Namun, pastinya usaha mereka ini akan menghadapi cabaran kerana dengan gencatan senjata yang berlaku di Gaza, moral pejuang berada di tahap yang signifikan dan Israel juga mengalami ‘kelelahan perang’ selepas kekalahan mereka dalam Taufan al-Aqsa. Cubaan untuk menjajah Masjid al-Aqsa akan menjentik api intifada yang lebih besar dari sebelum ini.
Perjuangan kita masih panjang. Kesepaduan usaha sangat diperlukan dan umat hari ini perlu jelas dengan objektif kita memperjuangkan Palestin. Perjuangan ini sepatutnya menyatukan, bukan lagi memecah-belahkan kita yang semakin sedia terpecah. Teruskan bercakap tentang Palestin.-UTUSAN
PENULIS ialah Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam) Cinta Gaza Malaysia.










