TAHUN 2024 telah melabuhkan tirai. Yang tinggal hanyalah himpunan kenangan pahit dan manis yang kini menjadi sebahagian daripada catatan sejarah kehidupan. Kalau baik buat teladan, kalau tidak baik buat sempadan. Jangan pula sampai kita bercermin di air keruh.
Laut mana yang tidak berombak, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Tangis dan tawa ialah sebahagian daripada asam garam kehidupan. Di sebalik keringat dan air mata, apabila tiba masanya nanti sudah pasti akan terukir senyuman penuh kesyukuran yang memancarkan sinar kebahagiaan.
Tiada jalan pintas untuk berjaya. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Lumrah hidup di dunia ini, kita tidak boleh lari daripada menempuh pelbagai dugaan serta cabaran, yang mana akan menjadikan kejayaan yang capai lebih manis dan bermakna.
Mungkin sahaja masih banyak di antara azam yang mahu dicapai sepanjang tahun lalu masih belum terlaksana walaupun 2024 telah pergi meninggalkan kita. Di mana silapnya, hanya kita yang tahu. Maka, kita harus bermuhasabah dan berusaha memperbaiki kelemahan diri.
Jangan kita meniru resmi Mat Jenin, berangan setinggi langit tetapi tidak pula berusaha kuat untuk berjaya. Dalam keghairahan menggapai bintang-bintang bergemerlapan di angkasa, pastikan kaki sentiasa terpasak di bumi nyata. Lebih elok belajar berjalan terlebih dahulu sebelum mula berlari agar tidak jatuh tersepak batu.
Kini kita sudah berada di tahun baharu, 2025. Setiap kali datangnya tahun baharu, akan ada juga seribu satu harapan baharu yang kita doakan agar menjadi kenyataan. Kita tentu mengharapkan kehidupan lebih baik dan kejayaan lebih besar dalam apa sahaja perkara yang diusahakan.
Ada juga yang mahu menyelesaikan hutang azam lama yang masih belum tercapai, tetapi ada juga yang memasang impian baharu yang berbeza sama sekali daripada tahun lalu.
Meninggalkan sesuatu azam bukan semestinya bermakna telah berputus asa, tetapi kadangkala kerana kita sudah lebih dewasa dan memahami tinggi rendah langit bumi.
Sehebat mana pun azam kita, jika pengayuh sayang dibasahkan, sampan tidak akan tiba di seberang. Asyik memangku tangan, mati dalam angan-angan. Azam bukan sahaja harus disertakan usaha keras dan ikhlas tetapi juga harus melalui jalan yang betul agar tidak menyebabkan masalah sampingan. Jangan terhegeh-hegeh ingin mencapai satu niat, lantas terus menjejaskan segala yang lain kerana berasa tidak sabar.
Pada kala saya masih kanak-kanak, memasang azam tahun baharu membawa makna yang sangat besar pada diri. Lebih-lebih lagi, setiap tahun berlalu menandakan umur bertambah, justeru membolehkan saya melakukan perkara-perkara baharu yang dahulunya tidak boleh dilakukan.
Bersungguh-sungguhlah difikirkan akan apa yang mahu dicapai, lalu disenaraikan mengikut turutan mana yang lebih utama. Saya ingin melakukan bermacam-macam perkara hebat seperti apa yang dilakukan oleh kakak-kakak saya.
Masa berlalu tambah mendewasakan kita. Bagi saya kini, tahun baharu sekadar menjadi satu titik semakan. Seperti mana sebuah pertubuhan melalui audit dan perancangan besar setiap tahun, begitulah saya ‘menggunakan’ tahun baharu bagi mengimbau kembali apa yang telah dilakukan tahun sebelumnya, lalu mencerap masa kelak demi merancang perjalanan diri.
Saya lebih selesa mensyukuri apa yang dicapai lalu memanjatkan doa agar kedatangan tahun baharu membawa bersama rezeki dan peluang lebih luas, serta kekuatan untuk berusaha lebih keras.
2024 amat bermakna bagi saya. Walaupun berhadapan banyak dugaan, namun saya bersyukur dengan segala limpahan rahmat kurniaan Allah. Paling istimewa adalah apabila projek saya berjaya merangkul Anugerah Gaun Hijau Antarabangsa, diikuti kejayaan memenangi Anugerah Pusat Kepakaran Serantau (RCE) di bawah institut Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU), dua bulan selepasnya.
Tidak pernah saya bayangkan bahawa akan berjaya memenangi dua anugerah antarabangsa yang berprestij ini. Kejayaan ini amat besar ertinya, lebih-lebih lagi memandangkan saya bertanding di pentas yang terlalu tinggi sebagai seorang mahasiswa.
Saya juga bersyukur kerana berpeluang menyampaikan pembentangan di Persidangan Wikimania 2024 yang berlangsung di Katowice, Poland pada Ogos tahun lalu dan seterusnya mewakili Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam lawatan ke Universiti Jagiellon ketika bermesyuarat bersama Dr. Marek Frankowicz.
Mendapat jemputan mengajar tulisan Jawi di Singapura ialah sebuah lagi kenangan manis. Bengkel WikiKata Jawi yang diadakan di Perpustakaan Negara Singapura itu ialah sebahagian daripada program yang dianjurkan oleh negara tersebut bersempena sambutan Bulan Bahasa 2024 di Singapura.

TANGGUNGJAWAB BAHARU
Kedatangan 2025 membawa sebuah tanggungjawab baharu yang lebih besar apabila saya dilantik sebagai Penyelaras Belia Serantau RCE bagi kawasan Asia-Pasifik oleh Institut Pengajian Kemampanan Termaju UNU. Walaupun tanggungjawabnya berat, namun lantikan ini akan membuka peluang lebih luas untuk saya belajar mencari pengalaman dalam menjalankan tugas di peringkat antarabangsa.
Sebagai rakyat Malaysia, saya mengharapkan keamanan dan kemakmuran yang berterusan di bumi bertuah ini.
Negara tidak akan stabil jika kita saling bersengketa dan terus-menerus mencetuskan pelbagai provokasi dalam kalangan rakyat, baik secara sengaja mahupun akibat kealpaan kita.
Para pemimpin negara harus bijak mengemudi keadaan serta bekerja lebih kuat bagi memastikan kesejahteraan dan kemajuan negara. Semoga tahun baharu ini akan membawa lebih banyak kejayaan dan kita semua dijauhkan daripada segala malapetaka. Selamat menyambut tahun baharu 2025.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










