NSTITUSI raja di negara kita mempunyai kedudukan dan kedaulatan tersendiri sepertimana yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Institusi Raja Berperlembagaan mula dilaksanakan sejak negara merdeka dari penjajahan British pada 31 Ogos 1957. Perlembagaan dibentuk berdasarkan cadangan Jawatankuasa Lord Reid yang bertanggungjawab menyediakan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.
Perlembagaan tersebut memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara manakala raja-raja Melayu adalah ketua bagi negeri-negeri beraja. Justeru, taat setia kepada baginda menjadi unsur kenegaraan yang sangat penting.
Berdasarkan sejarah Kesultanan Melayu, kuasa raja ketika itu adalah bersifat mutlak (absolute monarchy), namun ia telah melalui proses ‘legal-rasional’ apabila Perlembagaan Negara dibentuk menjadikan ia sebagai Raja Berperlembagaan. Maknanya kedudukan dan kuasa institusi raja adalah seperti yang termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam perkara berkaitan kedudukan serta kuasa Agong dan raja-raja Melayu.
Warisan sosiopolitik Kesultanan Melayu inilah yang dapat membangkitkan ‘memori sentimental’ yang biasa diungkapkan sebagai raja dan rakyat berpisah tiada, sekali gus menggambarkan pertautan erat antara raja dan rakyat.
Berdasarkan Perlembagaan, Agong sebagai ketua negara berperanan sebagai ‘payung’ atau pelindung kepada seluruh rakyat Malaysia.
Kepentingan kedudukan baginda juga dapat dilihat daripada struktur Parlimen itu sendiri yang terdiri daripada tiga komponen iaitu Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Ini dinyatakan dengan jelas di bawah Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa hanya Agong mempunyai kuasa untuk memanggil, memberhenti dan menangguh persidangan Parlimen.
Baginda juga berperanan sebagai Ketua Tertinggi Angkatan Bersenjata bagi Malaysia. Peranan ini menunjukkan baginda sebagai ketua negara bertanggungjawab dalam persoalan mengenai keselamatan keseluruhan Persekutuan Malaysia.
Ada beberapa lagi kuasa penting Agong dan raja-raja Melayu seperti pelindung kedaulatan Islam dan hak-hak kaum bumiputera.
Selari dengan Perkara 3 (1), Islam sebagai agama Persekutuan, raja-raja adalah Ketua Agama Islam di negeri-negeri baginda, manakala bagi Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak, Agong menjadi ketua agama bagi negeri berkenaan. Baginda akan dirujuk dan apa-apa perkara berkaitan agama Islam serta baginda berhak untuk menegur dan membetulkan yang mana perlu serta memberikan cadangan mengenai apa- apa perkara berkaitan pelaksanaan Islam di negara ini.
Segala hak, keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dimiliki baginda sebagai ketua agama Islam tidak boleh dipersoal atau dipertikai. Perkara 122B menjelaskan kuasa melantik semua hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi adalah di tangan baginda atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Baginda juga bertanggungjawab mempertahankan kedudukan hak istimewa orang Melayu serta kedudukan kaum lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
Di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan meletakkan Agong yang memiliki kuasa untuk mengampun, menunda dan melegakan hukuman bagi kesalahan yang dibicarakan oleh mahkamah tentera dan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Raja atau yang dipertua negeri pula memiliki kuasa sama bagi kesalahan yang dilakukan di negeri yang dikepalinya. Hal ini dinyatakan dengan jelas di bawah Perkara 42 (2).
TIDAK BERSIFAT POLITIK
Apa-apa perkara berkaitan bidang kuasa baginda yang diperintah atau dititahkan tidak patut disembunyi, didiamkan, dipertikai dan dipolitikkan. Sayugia difahami bahawa institusi raja tidak bersifat politik. Rakyat serta pemimpin politik seharusnya taat setia kepada baginda.
Maruah dan kedudukan baginda sebagai ketua negara yang merentasi sempadan politik mesti dipelihara daripada usaha tidak bertanggungjawab untuk mencemarkannya.
Walaupun raja yang ada pada hari ini tertakluk kepada Perlembagaan, namun kuasa-kuasa yang ada pada baginda sangat relevan dan penting dalam sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen. Sungguhpun kuasa pentadbiran dilaksanakan oleh barisan Kabinet kerajaan yang diketuai perdana menteri, namun apa-apa yang berkaitan bidang kuasa baginda hendaklah dipelihara dan dihormati.
Begitu pentingnya institusi raja ini, maka satu badan yang dikenali Majlis Raja-Raja ditubuhkan yang bertanggungjawab memastikan institusi beraja di negara ini selari kedudukan mereka dengan Perlembagaan.
Antara fungsinya ialah memilih, melantik dan memecat Agong. Perlembagaan menghendaki ahli Majlis Raja-Raja diiringi penasihat yang terdiri daripada menteri besar dan ketua menteri.
Cuma dalam majlis membincangkan hal berhubung dengan institusi raja termasuk pemilihan Agong, maka penasihat terbabit tidak perlu hadir.
Kesimpulan, peranan institusi diraja di negara ini adalah bersifat fungsional, bukannya bersifat lambang atau boneka semata-mata. Justeru, sebarang cubaan untuk menghina atau mencemarkan, apatah lagi membangkitkan perasaan kebencian terhadap Agong adalah dianggap sebagai perbuatan menderhaka.
Jika ia bersifat memberontak atau melawan Agong, maka ia dianggap sebagai perbuatan subversif berdasarkan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.-UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










