Perkhidmatan awam cemerlang jika transformasi digital semakin mantap

Perkhidmatan awam cemerlang jika transformasi digital semakin mantap

MASYARAKAT lebih yakin dengan penggunaan perkhidmatan digital dalam sektor kerajaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TRANSFORMASI digital menjadi agenda utama bagi memajukan sektor awam di pelbagai negara, termasuk Malaysia. Ketika perkembangan teknologi yang semakin pesat, pemantapan transformasi digital dilihat menjadi elemen penting dalam usaha memastikan perkhidmatan awam terus relevan, cekap serta dapat memenuhi kehendak rakyat.

Transformasi digital bukan sahaja menawarkan peluang untuk memperbaiki perkhidmatan, tetapi juga memperkukuh kepercayaan awam terhadap institusi kerajaan.

Transformasi digital merujuk kepada penggunaan teknologi digital untuk mengubah cara perkhidmatan disampaikan, data diuruskan dan keputusan dibuat.

Dalam konteks perkhidmatan awam, ia melibatkan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), analitik data besar, internet kebendaan (IoT) dan teknologi awan untuk mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan.

Antara faedah yang bakal diperoleh daripada pelaksanaan transformasi digital dalam perkhidmatan awam adalah dengan peningkatan kecekapan dan produktiviti, kemudahan akses kepada perkhidmatan yang ditawarkan, peningkatan transparansi dan akauntabiliti serta pengurusan sumber manusia yang lebih baik.

Dalam pada itu, transformasi digital membolehkan proses dalam perkhidmatan awam menjadi lebih efisien melalui automasi dan digitalisasi tugas-tugas rutin.

Contohnya, penggunaan sistem e-pembayaran, sistem pengurusan dokumen elektronik dan aplikasi berasaskan awan (cloud computing) mengurangkan masa yang diperlukan untuk menyelesaikan kerja serta mengurangkan kemungkinan berlakunya kesilapan manusia.

Ini akan membolehkan agensi kerajaan memberikan perkhidmatan yang lebih cepat dan tepat kepada rakyat. Transformasi digital ini juga membolehkan perkhidmatan awam diakses dengan lebih mudah oleh rakyat, tanpa perlu beratur atau mengunjungi pejabat kerajaan secara fizikal.

Sementara itu, sistem perkhidmatan dalam talian seperti pendaftaran perniagaan, permohonan lesen dan bayaran cukai juga dapat dilaksanakan dengan lebih cepat melalui platform digital sekali gus menjadikan urusan dengan kerajaan lebih mudah dan efisien.

Salah satu faedah utama transformasi digital adalah peningkatan tahap ketelusan dalam sektor awam. Dengan penggunaan teknologi, data dan maklumat boleh diakses dengan mudah oleh orang ramai, memastikan ketelusan dalam pengurusan sumber dan keputusan yang dibuat.

Sistem yang berasaskan data juga membolehkan pihak berkuasa untuk mengesan dan mengurangkan risiko rasuah serta penyelewengan dalam agensi kerajaan. Dalam transformasi digital, tumpuan diberikan kepada keperluan rakyat.

Teknologi juga membolehkan kerajaan menyediakan perkhidmatan yang lebih terkini dan relevan dengan kehendak masyarakat. Sebagai contoh, penggunaan aplikasi mudah alih (mobile apps) atau portal perkhidmatan awam yang mesra pengguna membolehkan rakyat mendapatkan maklumat dengan lebih cepat dan membuat permohonan mahupun aduan tanpa halangan.

Melalui penggunaan teknologi digital dalam pengurusan sumber manusia (seperti sistem pengurusan kakitangan dan latihan dalam talian), sektor awam dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Selain itu, latihan dan pembangunan kemahiran digital untuk pegawai kerajaan juga sangat penting dalam memastikan mereka dapat menggunakan teknologi dengan efektif untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan.

Justeru, dengan adanya teknologi data raya, kerajaan dapat membuat keputusan yang lebih tepat dan berasaskan fakta.

Data yang dikumpulkan dari pelbagai sumber membolehkan pihak berkuasa menganalisis trend, memahami keperluan masyarakat dan merancang dasar yang lebih berkesan.

Teknologi ini bukan sahaja membantu dalam memperbaiki perkhidmatan tetapi juga meminimumkan pembaziran sumber.

Seiring dengan perkembangan transformasi digital, perlindungan data dan keselamatan siber menjadi semakin penting. Kerajaan perlu memastikan sistem perkhidmatan digital yang digunakan selamat, dapat melindungi maklumat peribadi rakyat dan mengelakkan ancaman siber.

RAKYAT SEMAKIN YAKIN
Pembangunan sistem yang lebih kuat dalam hal ini akan mewujudkan keyakinan masyarakat terhadap penggunaan perkhidmatan digital kerajaan.

Transformasi digital bukan hanya mengubah cara perkhidmatan awam berfungsi, tetapi juga dapat mendorong pembangunan ekonomi.

Dengan mempermudah urusan perniagaan, kerajaan dapat menggalakkan lebih banyak pelaburan, meningkatkan keusahawanan digital dan membuka peluang pekerjaan baharu dalam sektor teknologi. Ini, seterusnya, dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Dengan memanfaatkan teknologi, kerajaan dapat meningkatkan keberkesanan, kecekapan serta kualiti perkhidmatan yang diberika. Dalam masa sama dapat memastikan kemajuan negara dapat dicapai dengan lebih pantas dan berkesan.

Namun, kejayaan ini memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak termasuk kerajaan, sektor swasta dan masyarakat untuk mengatasi cabaran-cabaran dan memanfaatkan peluang yang ada.

Kesimpulannya, pemantapan transformasi digital dalam perkhidmatan awam merupakan langkah penting dalam memastikan sektor awam dapat memenuhi kehendak dan harapan rakyat.-UTUSAN

DR. Rohaizan Daud ialah Perunding Latihan Kanan, Pusat Pengajian Komunikasi dan Bahasa, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN