PETALING JAYA: Malaysia perlu memikirkan sekarang bagaimana cara untuk menumpaskan Vietnam pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 yang akan berlangsung, Mac ini.
Ini kerana Vietnam yang masih segar dengan gelaran ‘Raja ASEAN’ selepas muncul juara Piala ASEAN 2024 adalah lawan terkuat Harimau Malaya di peringkat kelayakan itu.
Malaysia dan Vietnam diundi dalam Kumpulan F yang turut dianggotai Nepal dan Laos dengan hanya juara kumpulan layak secara automatik ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Revolusi Harimau Malaya yang sudah bermula juga memberi harapan kepada peminat untuk melihat perubahan yang bakal diterjemahkan pengendali baharu, Peter Cklamovski.
Selain Cklamovski, revolusi Harimau Malaya turut ditunjangi Rob Friend (Ketua Pegawai Eksekutif) dan Dr. Craig Duncan sebagai Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan.
Bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, persiapan awal perlu dilakukan bagi memastikan slot ke Piala Asia 2027 menjadi milik Malaysia.
“Saya percaya revolusi baharu Harimau Malaya akan menampilkan kelainan dengan Cklamovski pastinya membawa idea-idea baharu untuk pasukan kebangsaan.
“Pastinya mereka ada perancangan jangka pendek dan panjang untuk memastikan Harimau Malaya ‘mengaum’. Tetapi, untuk persediaan menjelang aksi kelayakan, semestinya persiapan rapi diperlukan.
“Perlawanan persahabatan juga perlu diadakan untuk menguji taktikal juga keserasian pemain. Vietnam adalah lawan terkuat dan kita perlu kalahkan mereka untuk ke Piala Asia 2027,” katanya kepada Utusan Malaysia
Sementara itu, Legenda bola sepak Malaysia, Datuk Hassan Sani berkata, selain Vietnam, Harimau Malaya juga perlu berwaspada dengan cabaran daripada Nepal dan Laos.
“Kita harap pasukan baharu Harimau Malaya dapat memberi aksi yang terbaik dan kita perlu layak ke Piala Asia. Jika tewaskan Vietnam, kita berpeluang layak ke Piala Asia. Jadi, kita perlu bersedia awal untuk menghadapi mereka.
“Dalam masa yang sama, kita tidak boleh pandang mudah saingan Nepal dan Laos kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku. Contohnya ketika Malaysia berdepan Timor Leste dalam Piala ASEAN baru-baru ini,” katanya. – UTUSAN










