Mahukah kita dilabel sebagai pengeksport dadah antarabangsa?

Mahukah kita dilabel sebagai pengeksport dadah antarabangsa?

KEMASUKAN dadah ke Malaysia sebagai negara pengguna dan transit di sempadan negara sukar dikawal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAN hari kita sering mendengar mengenai rakyat Malaysia ditangkap melakukan kesalahan berkaitan dadah dan pelbagai jenayah di luar negara.

Terkini beberapa selebriti turut ditahan di negara asing berkaitan penyalahgunaan dadah dan jenayah. Seorang selebriti bersama lima rakyat Malaysia ditahan di Thailand. Mereka terlibat dalam penggunaan dan berkaitan dadah. Mereka dikatakan memiliki 6,000 pil kuda (Yaba) di sebuah bilik hotel di Sungai Golok, Thailand selain tuduhan memasuki Thailand secara haram.

Pada 6 November 2024, reputasi Malaysia sekali lagi tercalar apabila seorang rakyat negara ini ditahan Polis Persekutuan Australia (AFP) atas dakwaan terlibat komplot penyeludupan 100 kilogram (kg) methamphetamine ke Australia yang disembunyikan dalam peralatan elektronik. Dadah ini ditemui daripada pesawat penghantaran kargo udara daripada Malaysia pada Oktober tahun sama.

Keterlibatan rakyat Malaysia dalam penyalahgunaan dadah dan jenayah di luar negara sekali lagi dikejutkan dengan penahanan artis dan pelawak popular di Lapangan Terbang Jeddah Arab Saudi. Lebih memalukan tertuduh dilaporkan ditahan pada Oktober 2024 ketika dalam perjalanan menunaikan ibadah umrah pada 31 Disember 2024 atas tuduhan memiliki dadah jenis ganja.

Pada 28 Disember 2023, seorang lelaki digelar ‘Raja Dadah’ warga Malaysia ditahan di Vientiane, Laos sudah diekstradisi ke Thailand bagi menghadapi tuduhan berkaitan dadah. Lelaki dari Parit Buntar, Perak itu dikaitkan dengan kegiatan mengeksport 40 peratus methamphetamine kristal ke Australia, Taiwan dan Malaysia.

Individu itu terbabit 11 kes di Thailand, Taiwan dan Malaysia sejak 2018 selain disyaki mendalangi operasi dadah di Segi Tiga Emas. Turut dirampas ialah dua kondominium di Trat, sebidang tanah dengan bangunan di Bangkok, tiga kapal layar di Chiang Rai, dua buah kereta, tiga motosikal, senjata api, wang tunai, wang simpanan di 10 buah bank dan barangan berharga lain di Chon Buri dengan nilai keseluruhan melebihi 85 juta baht (RM11.27 juta).

Suspek juga dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian dadah di Malaysia, mengedar sejak 2006, beroperasi di seluruh Thailand, Malaysia, China, Singapura dan Laos, malah bekerja dengan pelbagai rangkaian dadah lain.

Mengikut data pada 2011 sahaja, sejumlah 80 orang rakyat Malaysia ditahan di Indonesia (31), China (16), New Zealand (10) dan lain-lain (23).

Malah pada tahun sama seramai 47 rakyat negara dijatuhkan hukuman gantung sampai mati di Indonesia dan China kerana terlibat penyelundupan dadah.

Pada 9 Disember 2020, Timbalan Menteri Luar (ketika itu), Datuk Kamarudin Jaaffar menjelaskan dalam sidang Parlimen terdapat seramai 2,742 rakyat Malaysia ditahan di luar negara atas kesalahan melanggar undang-undang ditetapkan oleh negara yang diduduki.

Daripada jumlah tersebut, seramai 1,434 orang ditahan atas kesalahan dadah, penipuan (406) dan kad kredit palsu (132).

Sementara menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan pada 17 Oktober 2024, terdapat seramai 74 orang rakyat Malaysia (sehingga Oktober 2024) dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan penyeludupan dadah di Brunei, China, Indonesia, Laos, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Bekas Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot pada 2010 menjelaskan antara tahun 1991 hingga 2010, terdapat 1,560 kes rakyat Malaysia ditangkap di luar negara yang berkaitan dengan dadah dan 50.4 peratus adalah berkaitan dengan keldai dadah.

Mengikut laporan pada 2013 sehingga 2018, terdapat 425 rakyat Malaysia ditahan sebagai keldai dadah di 19 buah negara. Antara tahanan keldai dadah yang besar direkodkan sehingga Oktober 2023 adalah Singapura berjumlah 175 orang, Indonesia (85), Thailand (49), Australia (34), Jepun (21) orang selain Argentina, Brazil, Peru dan sebagainya.

Mereka terlibat sebagai keldai dadah kerana mudah terperdaya dengan kaedah yang digunakan rakyat asing untuk merekrut. Mereka ditawarkan antara RM5,000 dan RM10,000, pelancongan ke negara asing, perkahwinan, visa pelajar dan sebagainya.

Taktik yang digunakan untuk menyeludup ialah melalui bagasi dan kelengkapan, memasukan ke dalam badan dan body packed (bahan dadah dilekatkan di anggota badan).

Antara kes membabitkan penyeludupan dadah yang besar oleh rakyat Malaysia di luar negara apabila seorang lelaki ditahan pihak berkuasa Australia bersama tiga lelaki lain berkaitan rampasan kargo laut dari Malaysia mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat 622 kg, dengan anggaran bernilai AS$560 juta (RM1.7 billion) di Melbourne pada 11 Oktober 2023.

KEDUDUKAN STRATEGIK MALAYSIA
Senario ini menunjukan Malaysia menjadi sasaran sebagai negara pengguna, merekrut keldai dadah dan sebagai transit dadah antarabangsa. Persoalanya bagaimana Malaysia boleh menjadi sasaran transit penyeludupan dadah antarabangsa?

Negara lain seperti Thailand, Myanmar dan Laos yang dikenali ‘Segitiga Tiga Emas’ memiliki kesukaran untuk memasarkan dadah kerana terkenal dan mudah dikesan pihak berkuasa. Justeru, untuk membolehkan dadah dipasarkan, pengedar dan penyelundup dadah perlu mencari negara yang masih ‘bersih’ sebagai pusat transit ke negara pembeli.

Dengan kedudukan strategik Malaysia di rantau Asia Pasifik yang menjadi penghubung di antara timur dan barat mempengaruhi penyeludup menjadikan negara ini pilihan utama pusat transit dadah antarabangsa.

Kemasukan dadah ke Malaysia sebagai negara pengguna dan ‘negara transit’ di sempadan negara sukar dikawal. Malah dengan kekangan geografi, anggota, kemudahan dan taktik yang licik membolehkan penyeludup masuk melalui laluan tikus di sepanjang laluan sempadan negara dan menggunakan pelbagai kaedah licik.

Senario ini memberikan impak negatif kepada negara dan sekiranya tiada pendekatan yang lebih berkesan, berkemungkinan negara bakal dilihat sebagai negara pengeksport dadah antarabangsa.

Justeru, pihak kerajaan perlu meneliti senario pengawalan sempadan negara, kaedah menangani serta kempen kesedaran bagi membanteras dadah di Malaysia dan antarabangsa.

Antara cadangan yang boleh dipertimbangkan adalah penjenamaan semula kempen Dadah Musuh Negara yang diperkenalkan pada 1983. Kempen ini perlu dijenamakan semula agar ia sesuai dengan perubahan teknologi, peredaran zaman, pemikiran, penggunaan dan keberkesanaan kaedah pencegahan. Malah ia perlu dijadikan sebagai salah satu agenda utama negara demi generasi yang sihat, agama, bangsa dan negara dipelihara.-UTUSAN

 

PROFESOR Madya Dr. Mohamad Faisol Keling ialah Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN