Larangan bersuara babitkan Agong, raja-raja bukan baharu

Larangan bersuara babitkan Agong, raja-raja bukan baharu

PERINTAH larangan bersuara dalam kes melibatkan Najib Tun Razak tepat kerana melibatkan kedududukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara dan boleh mengganggu ketenteraman awam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, mengumumkan pada 13 Januari lalu bahawa pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan permohonan untuk mahkamah mengeluarkan perintah larangan bersuara (gag order) pada 20 Januari depan bagi melarang mana-mana pihak membincangkan isu berkaitan kes Titah Adendum yang mula disebut di Mahkamah Tinggi, berbagai-bagai pandangan berbeza diberikan ke atasnya.

Ramai juga yang membantah permohonan ini. Mereka termasuklah Naib Presiden MCA, Datuk Lawrence Low, yang dilaporkan berkata langkah kerajaan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan perintah larangan bersuara adalah satu langkah kebelakang dalam perjuangan kebebasan hak bersuara.

Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Datuk Abu Bakar Katar, dalam kes Permohonan Semakan Jenayah antara Pendakwa Raya Lwn. Badrul Hisham Shaharin pada 23 Julai 2024 sebenarnya pernah memutuskan perkara sebegini.

Dalam kes ini Badrul Hisham Shaharin, juga dikenali sebagai Che’gu Bard dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, kerana didapati menerbitkan penerbitan menghasut dalam satu hantaran. Che’gu Bard menyatakan perdana menteri bertemu Pengasas Berjaya Corp, Tan Sri Vincent Tan dan Timbalan Pengerusi dan Ketua Eksekutif Genting Group, Tan Sri Lim Kok Thay bagi tujuan membuka kasino di Forest City, Johor, dengan turut mengaitkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru menolak permohonan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk perintah larangan bersuara dikeluarkan ke atas Che’gu Bard. Permohonan semakan dibuat oleh TPR di Mahkamah Tinggi Johor Bahru dengan peguam Che’gu Bard berhujah bahawa jika perintah larangan dibenarkan, ia menyekat hak dan kebebasan Che’gu Bard termasuk warga Malaysia untuk menyuarakan pandangan atau pendapatnya dalam sesuatu isu atau perkara.

Abu Bakar bagaimanapun membenarkan perintah larangan bersuara dikeluarkan ke atas Che’gu Bard. Dalam penghakimannya, Abu Bakar berkata prasyarat untuk perintah larangan bersuara diputuskan Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri Najib Tun Razak lwn. PP (2019).

Berpandukan prasyarat yang digariskan di atas, Abu Bakar berpendapat Hakim Mahkamah Sesyen gagal menimbangkan keseluruhan senario kes membabitkan Che’gu Bard yang telah pun dituduh atas dua kesalahan yang berasingan di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur, membabitkan kes hasutan dan fitnah terhadap YDPA. Abu Bakar berkata, sekiranya perintah larangan bersuara tidak diberikan kerana kedududukan YDPA sebagai ketua negara tidak wajar untuk mencemar duli bagi menjawab isu-isu yang ditimbulkan dalam media sosial.

Abu Bakar juga, dengan merujuk kes Madhavan Nair & Anor lwn. Public Prosecutor (1975) dan kes Public Prosecutor lwn. Ooi Kee Saik & Ors (1971), berkata hak bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan bukannya suatu hak yang mutlak. Che’gu Bard boleh sahaja menyuarakan pandangannya namun begitu tidak boleh menyebabkan hasutan atau membabitkan orang awam dalam kegusaran dan rasa benci terhadap YDPA.

Dalam satu kes lain, semakan jenayah antara pendakwa raya, pemohon dan Muhammad Azri Wan Deris, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Noorin Badaruddin, pada 2 Ogos 2024, juga membuat keputusan mengenai permohonan semakan oleh pendakwa raya/pemohon berkaitan penolakan perintah larangan bersuara oleh hakim mahkamah sesyen terhadap Wan Muhammad Azri yang telah dipohon oleh pendakwa raya/pemohon.

Noorin kemudiannya membenarkan permohonan pendakwa raya/pemohon dan perintah larang suara dikeluarkan terhadap Wan Muhammad Azri yang telah dituduh dengan kesalahan menerbitkan satu penerbitan menghasut melibatkan YDPA.

Dalam penghakimannya, Noorin berkata: “(11) Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan, kedudukan YDPA sebagai ketua negara wajar dilindungi daripada kekurangan maklumat (ill-informed comments) dan ulasan yang negatif. Mahkamah ini bersetuju dengan pihak pendakwa raya/pemohon bahawa sebarang komen yang dibuat oleh Wan Muhammad Azri terutamanya melalui platform media sosial akan mengganggu kelancaran perjalanan perbicaraan kerana komen-komen terutamanya yang kekurangan maklumat akan mengundang salah tafsiran daripada pelbagai lapisan warga maya yang boleh menyebabkan kesalahan-kesalahan lain.”

Noorin juga berkata: “(14) Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran raja berperlembagaan, kedudukan YDPA sebagai ketua negara wajar dilindungi daripada sebarang komen yang dapat mengundang provokasi sesama orang awam dan juga terhadap YDPA. Mahkamah ini seterusnya bersetuju dengan pihak pendakwa raya bahawa YDPA mempunyai kedudukan yang tinggi melangkaui sempadan politik dan kaum dan tidak wajar untuk YDPA diheret dalam kancah kebencian dan permainan sentimen yang boleh memecah-belahkan rakyat. Ini akan mengakibatkan kacau ganggu terhadap ketenteraman awam dalam negara. Oleh hal yang demikian, perintah larang suara adalah perlu.”

Noorin seterusnya berkata: “(16) Adalah dapatan mahkamah ini bahawa perintah larangan bersuara ini tidak menjejaskan atau mencabuli hak dan kebebasan bersuara Wan Muhammad Azri sebagaimana yang diperuntukkan di Bahagian II Perlembagaan Persekutuan. Kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan bukanlah sesuatu yang mutlak.”

Setelah meneliti kes-kes ini maka dapat dirumuskan permohonan mahkamah mengeluarkan perintah larangan bersuara dalam isu yang melibatkan YDPA dan raja-raja Melayu bukanlah satu perkara baharu. Ini menunjukkan bahawa tindakan AGC memfailkan permohonan perintah larangan bersuara dalam kes Titah Adendum adalah wajar.-UTUSAN

PENULIS ialah peguam kanan dan Ketua Sekretariat Kor AKWAM 181, Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia (PSGSM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN