PETALING JAYA: Atlet menembak negara, Johnathan Wong berharap sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini akan membawa tuah buat diri untuk menampilkan prestasi lebih cemerlang.
Biarpun tanpa kejohanan besar tahun ini, dia giat berlatih bagi meningkatkan prestasi bagi memastikan tembakan ’emas’ dapat dijelmakan Sukan Sea Thailand pada Disember depan.
“Saya harap tahun ini adalah tahun yang baik untuk saya dan seluruh pasukan saya juga kerana tahun ini kita ada Sukan SEA. Oleh itu, saya harap kita boleh menunjukkan prestasi terbaik untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Ditanya tentang sambutan perayaan kali ini, dia akan menyambut bersama keluarga di Melaka terlebih dahulu sebelum kembali semula ke Kuala Lumpur untuk bersama saudara-mara dari Singapura.
Pada perkembangan sama, Johnathan masih menaruh harapan tinggi dan dirinya tetap optimis mampu beraksi sekali lagi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Bagi Johnathan, dengan beberapa keputusan cemerlang yang diperoleh pada Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) di Taiwan baru-baru ini, dirinya yakin mampu mengekalkan prestasi itu sehingga kejohanan terbesar dunia itu berlangsung.
“Kalau kita tengok pada rekod kebangsaan (acara 10 meter (m) air pistol lelaki) yang baharu itu, ia memberi inspirasi untuk saya. Sewaktu di Paris 2024, saya ada bincang dengan jurulatih untuk layak ke final tapi masa itu, keputusan kurang baik.
“Bila saya tengok keputusan yang saya dapat di (SEASA), dia memberi keyakinan kepada saya bahawa benda itu saya boleh dilakukan dan saya berharap boleh capai lagi lebih tinggi. Jadi kita buat macam-macam perbincangan serta perancangan dan jurulatih rasa benda itu boleh dibaiki.
“Jadi, setakat ini untuk saya ya (untuk layak dan beraksi di LA28),” katanya.
Pada SEASA, atlet berusia 33 tahun itu berjaya mengutip 586 mata keseluruhan sekali gus memadam rekod lama, 585 mata yang dilakukannya dalam Kejohanan Menembak Trofi Tun Hanif di Lapang Sasar Subang pada 2015. – UTUSAN










