‘Pelajar pondok jangan hanya kuasai ilmu agama’

‘Pelajar pondok jangan hanya kuasai ilmu agama’

ANWAR Ibrahim berucap pada Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan 2026 di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya, semalam. – MINGGUAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersedia membantu meningkatkan martabat dan sistem pendidikan sekolah pondok termasuk menyediakan kemudahan serta peruntukan, selain menggalakkan penerapan disiplin baharu seperti kecerdasan buatan (AI).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha memperkukuh institusi pondok bagaimanapun perlu disertai penyesuaian terhadap perkembangan semasa tanpa menjejaskan asas ilmu dan pendidikan agama yang menjadi terasnya.

Beliau berkata, AI kini menjadi antara teknologi penting yang boleh dimanfaatkan dalam dakwah dan usaha membangkitkan kesedaran Islam, namun penggunaannya perlu disertai sistem etika dan akhlak yang kukuh.

“AI tanpa sistem etika dan akhlak boleh menjadi masalah dan musuh utama yang akan menikam kita,” katanya berucap pada Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata, disiplin baharu seperti AI perlu dikuasai sama seperti perkembangan komputer dan telefon yang memberikan banyak manfaat kepada masyarakat.

“Sehubungan itu, pelajar di sekolah pondok juga perlu diberikan pendedahan terhadap AI supaya mereka tidak hanya menguasai ilmu agama, tetapi turut memahami perkembangan teknologi dan cabaran semasa.

“Kerajaan bersedia menyediakan bantuan bagi memper­kukuh institusi pondok, ter­masuk mengambil kira ke­per­luan penambahbaikan dan penyesuaian kurikulum yang bersesuaian.

“Kalau kita katakan semua pondok ini harus lahirkan semua anak-anak (pandai agama sahaja), itu tak boleh juga. Sebahagiannya nak pergi kejuruteraan, nak jadi jututerbang dan nak masuk dalam bidang TVET. Saya tak ada masalah, sekiranya dia ada asas ilmu agama yang cukup,” katanya.

Anwar berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan institusi pondok terus relevan dalam menghadapi perubahan zaman, di samping mengekalkan kekuatan tradisi ilmu dan pendidikan Islam.

Pada masa sama, katanya, usaha berkenaan turut memerlukan pandangan ulama serta mereka yang mempunyai pengalaman dalam bidang pendidikan bagi menentukan bentuk penambahbaikan yang sesuai.

Beliau berkata, penerapan disiplin baharu termasuk AI perlu dilakukan secara berhati-hati kerana teknologi berke­naan mempunyai manfaat besar, pada masa sama membawa risiko yang tidak boleh dipandang ringan.

Sementara itu, Anwar berkata, sistem pendidikan pondok perlu mempunyai hubungan dengan institusi pengajian tinggi dan sistem pendidikan awam bagi mengelak wujudnya jurang antara aliran tradisional dengan pendidikan moden.

Beliau berkata, usaha memperkukuh sistem pondok tidak bermaksud pelajarnya perlu kekal dalam jurusan tradisional semata-mata. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×