KEADAAN dunia yang sentiasa bergolak amat meresahkan kita semua. Keganasan berlaku di mana-mana. Peperangan menyebabkan ramai mangsa yang menderita. Kanak-kanak yang tidak berdosa terpaksa hidup dalam ketakutan, kelaparan dan tanpa kemudahan asas yang sepatutnya mereka nikmati.
Ke manakah perginya nilai-nilai kemanusiaan dan ketamadunan yang sepatutnya diangkat setiap anggota masyarakat dunia? Ke mana pula hilangnya perasaan belas kasihan dan kasih sayang sesama insan? Namun, ironinya nilai-nilai mulia inilah yang didakwa sebagai matlamat perjuangan mereka yang bersengketa. Ini semua dicanang bagi menghalalkan segala kerosakan dan kesengsaraan yang dialami mangsa akibat kerakusan mereka yang mengejar kuasa.
Bertamadunkah kita jika tidak mampu menyelesaikan konflik yang melanda secara berhemah dan konstruktif melalui saluran diplomatik serta berpandukan undang-undang? Lebih parah lagi apabila ada pihak yang dengan sengaja berusaha mencetuskan konflik demi konflik, semata-mata untuk mencapai hasrat mereka tanpa mempedulikan kesan buruk yang bakal melanda orang lain. Sehinggakan ada yang berpendapat matlamat boleh menghalalkan cara, selagi mana apa yang mahu dicapai itu menguntungkan mereka.
Mengamalkan konsep politik matlamat menghalalkan cara ini akan merosakkan nilai hidup yang baik dan menjadikan manusia rakus serta tidak berintegriti. Namun malangnya, masih ada yang menyokong cara ini. Konsep tidak matang sebegini bukan setakat dianggap berkesan, malah dianggap wajib diamalkan pada zaman mencabar ini.
Penipuan dan fitnah pula dilihat sebagai senjata ampuh untuk berjaya. Jangan kita biarkan ikan seekor rosakkan ikan setajau. Penularan aliran pemikiran sebegini akhirnya akan merosakkan pemikiran, nilai hidup dan seterusnya meruntuhkan ketamadunan manusia.
Pendidikan seharusnya menjadikan kita semua insan yang baik serta bertanggungjawab, bukannya robot yang mudah dikawal dan dipergunakan. Kita harus boleh berfikir secara waras dan bersikap teliti sebelum membuat sesuatu keputusan.
Ilmu di dada seharusnya menjadi benteng yang akan menyelamatkan kita daripada mudah termakan hasutan.
Dunia akan lebih aman dan sejahtera jika seluruh umat manusia menghormati hak orang lain. Bukan hanya menuntut orang lain menghormati hak kita. Kita harus mematuhi undang-undang yang ada dan bukannya mengamalkan konsep undang-undang rimba yang membolehkan kita bertindak sesuka hati.
Tiada kebebasan mutlak dalam hidup kita sebagai insan yang beragama. Hidup pada setiap waktu hendaklah dibatasi undang-undang agama dan negara. Maka, walaupun kita bebas membuat pilihan, namun pilihan kita mestilah tidak bertentangan dengan batasan undang-undang.

KEBEBASAN BERSUARA
Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 10 memberikan kita hak kebebasan untuk bersuara. Namun, kebebasan yang diperuntukkan oleh undang-undang tertinggi negara itu tertakluk juga kepada syarat-syarat yang termaktub dalam Fasal (2), (3) dan (4). Had yang ditetapkan itu amatlah penting demi kebaikan dan kesejahteraan bersama serta keamanan negara. Jika semua orang bebas untuk memperkatakan apa sahaja yang mereka inginkan maka porak-perandalah kehidupan kita.
Justeru, apabila undang-undang tertinggi negara sendiri telah menggariskan bahawa terdapat had yang membatasi kebebasan, maka kita selaku rakyat yang menjunjung keluhuran Perlembagaan harus akur dan tidak bertindak biadab mencabar perkara itu.
Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali. Cukuplah sekali negara kita dilanda detik hitam rusuhan berbaur perkauman dalam tragedi berdarah 13 Mei 1969 yang berpunca daripada tindakan segelintir rakyat yang tidak menghormati Perlembagaan, lantas menghasut rakyat ke arah kebencian. Akibatnya, banyak nyawa menjadi taruhan serta mengakibatkan kesan buruk kepada perpaduan kaum.
Kita harus belajar daripada kesilapan lampau dan tidak mengulanginya demi kebaikan bersama. Peruntukan undang-undang seperti Akta Hasutan dikuatkuasakan bagi tujuan menjaga keamanan negara dengan rakyat dilarang menghasut atau mengganggu-gugat ketenteraman awam. Hal ini penting bagi mengelakkan persengketaan, ketegangan dan perbalahan dalam kalangan rakyat.
Walaupun begitu, ada sahaja pihak-pihak yang tidak berpuas hati dan mahukan Akta Hasutan dimansuh. Mereka ini mahukan kebebasan mutlak untuk bercakap apa sahaja, walaupun berhubung isu yang menyentuh sensitiviti pihak lain dan mengakibatkan perbalahan. Alasan mereka ialah ‘ini hak saya’. Namun mereka harus sedar akan tanggungjawab menghormati hak orang lain seperti mana mahukan hak mereka dihormati.
Bukankah mencegah itu lebih baik daripada mengubati? Majoriti rakyat tidak mahu memperjudikan kestabilan dan keamanan negara yang menjadi kunci kepada kemakmuran dan kesejahteraan hidup rakyat. Jika keadaan negara berada dalam keadaan terumbang-ambing, sektor ekonomi negara akan terjejas dan pelabur luar tidak akan melabur di negara ini. Kerajaan pula tidak akan dapat fokus kepada usaha membangunkan serta meningkatkan ekonomi negara.
BERSATU TEGUH, BERCERAI ROBOH
Semangat perpaduan dalam kalangan rakyat harus sentiasa diperteguhkan agar negara menjadi lebih makmur dan harmoni. Kita harus berpegang teguh kepada undang-undang dan menghindari kata-kata dan tindakan yang bersifat menghasut. Itulah sebabnya terdapat arahan melarang ‘permainan’ terhadap isu 3R (raja, agama dan bangsa).
Memainkan sentimen agama dan bangsa ialah perbuatan tidak bertanggungjawab. Lazim sekali ia dilakukan hanya bagi mencetuskan konflik dalam kalangan rakyat. Kunci kepada keharmonian rakyat ialah menjunjung tinggi keluhuran Perlembagaan serta mematuhi undang-undang negara.
Tindakan yang menjurus ke arah menghakis kesetiaan dan rasa hormat rakyat kepada institusi diraja amatlah tidak bermaruah. Begitu juga melalui perbuatan dan perkataan yang bukan hanya tidak menghormati kemuliaan raja-raja Melayu, malah bersifat menghina secara terang-terangan tanpa rasa malu dan segan.
Negara kita mengamalkan sistem raja berperlembagaan dengan raja-raja Melayu mempunyai kuasa prerogatif tertentu. Ia bukan sekadar bersifat istiadat semata-mata seperti yang disalah anggap oleh mereka yang sama ada tidak faham akan peruntukan Perlembagaan atau pun sengaja berpura-pura tidak faham.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










