PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad hoki remaja negara, I. Vikneswaran menjadikan waktu rehat sehari sebagai persiapan terbaik pasukan untuk menghadapi India dalam aksi separuh akhir Piala Remaja Asia di Stadium Hoki Oman, Muscat, hari ini.
Bertemu juara bertahan, India pastinya memerlukan perancangan rapi daripada Young Tigers malah Vikneswaran turut mahu mencari ramuan terbaik buat pasukannya bagi menghadapi satu lagi perlawanan selepas itu.
“Di sini (hari tanpa perlawanan) banyak perkara yang perlu dilakukan dan pastinya pemulihan pemain. Mereka perlu bersedia untuk dua perlawanan seterusnya, separuh akhir dan aksi selepas itu.
“Kami akan banyak melakukan sesi analisis (rakaman video) sebagai persiapan menghadapi India dan ini antara perkara yang kita akan lakukan dan pastinya dalam aksi separuh akhir menentang India kita sudah ada rencana yang mahu dilakukan,” katanya.
Malaysia menempah laluan sukar bertemu India selepas Young Tigers tewas 4-1 kepada Pakistan sekali gus muncul naib juara Kumpulan B. Pakistan dijadual menentang Jepun dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Mengulas lanjut mengenai pertemuan menentang Pakistan, Vikneswaran mengakui anak-anak buahnya gagal menyempurnakan beberapa peluang terbaik untuk menembusi gawang lawan walaupun mereka menguasai permainan.
“Seawal minit kedua kita diberikan pukulan sudut penalti tetapi sayang tak dapat jaringkan gol. Kemudian, Pakistan dapat gol pendahuluan sebelum kita menyamakan kedudukan.
“Bagaimanapun, dalam aksi itu kita dapat banyak pukulan sudut penalti, peluang untuk menjaringkan gol dan penguasaan bola cuma sayangnya kita tidak menyempurnakan semua peluang tersebut. Apa pun saya berbangga dengan corak dan mutu permainan pasukan,” katanya. – UTUSAN










