PETALING JAYA: Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) hanya mensasarkan dua pingat emas pada Sukan SEA Thailand yang akan berlangsung pada 9 hingga 20 Disember 2025 ekoran tindakan tuan rumah mengurangkan empat acara menjadikan 10 acara keseluruhan.
Timbalan Presiden MGF, Kau Git Kaur berkata, pihaknya telah menyatakan bantahan terhadap tindakan tuan rumah itu malah turut mendapat sokongan daripada negara lain memandangkan tindakan tersebut disifatkan sebagai membunuh karier atlet.
“Minggu lalu, saya mesyuarat di Bangkok dan saya pun ada bangkitkan perkara ini. Sebenarnya perkara ini tidak betul kerana setiap pingat dikurangkan bermaksud kita nak bunuh satu atlet sebab saya sangat tahu kepentingan satu pingat emas.
“Satu pingat emas (pengurangan) mungkin akan mengubah kehidupan atlet secara keseluruhan. Sepatutnya ada 14 acara namun untuk Sukan SEA Bangkok cuma ada 10 acara jadi hampir 30 peratus pingat emas dikurangkan.
“Semasa mesyuarat saya ada cuba (kemukakan rayuan) tetapi mereka tidak layan kerana mereka sudah buat keputusan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.
Empat acara yang tidak dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu adalah individu all around lelaki dan wanita serta all around berpasukan lelaki dan wanita.
Dua sandaran emas MGF di temasya dwitahunan itu diletakkan kepada Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam, Chun Chen Ng dan Rachel Yeoh.
Dalam pada itu, Git Kaur turut memaklumkan badan induk itu akan menghantar atlet mereka berlatih di Korea Selatan selama tiga minggu sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Gimnastik Asia.
“Termasuk jurulatih dan atlet, lebih daripada 20 orang kita akan hantar berlatih di Korea Selatan sebagai persiapan mereka menyertai Kejohanan Gimnastik Asia yang juga diadakan di sana,” katanya. – UTUSAN










