Rakyat, pemimpin wajib setia pada negara

Rakyat, pemimpin wajib setia pada negara

WARGANEGARA yang memiliki kesetiaan yang tinggi akan sentiasa cinta dan menyayangi negaranya dalam apa keadaan sekali pun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA biasa menyebut perkataan ‘setia’ untuk beberapa perkara dan dalam situasi tertentu seperti setia pada pasangan, pemimpin, organisasi dan sebagainya. Namun, adakah kita benar-benar memahami apakah maksud perkataan itu?

Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (Edisi Pelajar) mendefinisikannya sebagai tidak berlaku curang, jujur, amanah serta teguh hati dalam hubungan, (berpegang) teguh pada janji dan lain-lain; taat dan patuh kepada pemerintah.

Ini bermakna kesetiaan merupakan satu ikatan psikologi yang sangat tinggi nilainya dalam kehidupan manusia.

Dalam Islam sendiri amat ditekankan nilai tersebut dan kesetiaan yang paling tinggi ialah kesetiaan kepada akidah yang benar, iaitu kesetiaan kepada Allah tanpa mensyirikkannya dengan sesuatu.

Justeru, undang-undang Islam meletakkan hukuman yang berat ke atas mereka yang murtad. Orang yang murtad adalah orang yang tidak setia pada agamanya (Islam).

Dalam konteks negara, kesetiaan kepada negara adalah manifestasi dari rasa cinta dan sayang terhadap tanah air. Sifat ini mesti ada pada setiap warganegera Malaysia yang lahir di negara ini dan juga mereka yang telah diberi kerakyatan.

Kesetiaan menjadi satu bentuk ikatan sosiopsikologi yang akan melahirkan rasa sayang dan cintanya kepada negara. Ia secara fitrahnya dimiliki manusia terutamanya bagi mereka yang ‘tumpah darahnya’ (kelahirannya) di negara ini serta merasakan inilah satu-satunya tanah airnya untuk diberikan kesetiaan sepenuhnya.

Warganegara yang setia akan secara psikologi merasakan dirinya terikat atau terhubung kuat dengan tanah airnya yang sekali gus akan menyerah jiwa raganya dengan penuh keikhlasan kepada negara.

Kesetiaan mempunyai kesan kepada diri, bila seseorang itu benar-benar setia kepada negara maka sudah tentu ia akan bersikap jujur dan amanah dalam menjalankan tugasnya. Segala tonggak-tonggak kenegaraan akan diikuti, dipelihara dan dihormati.

Kesetiaan yang mendalam melibatkan aspek moral sosial dengan pengertian warganegara yang benar-benar jujur terhadap pembangunan ekonomi, kewangan, kedaulatan dan undang-undang, terutamanya bagi mereka yang memegang posisi-posisi penting dalam pemerintahan dan pentadbiran negara.

Melalui kesetiaan dan perasaan cintakan negara itulah yang akan dapat menimbulkan pelbagai perasaan seperti gembira, sedih, kesal, marah dan bersemangat. Oleh itu, seseorang yang setia kepada negaranya akan berasa gembira tinggal di tanah air dan akan berasa sedih atau marah bila negaranya dihina musuh sehingga membangkitkan semangat patriotismenya untuk berkorban, melindungi mahupun mempertahankan tanah air yang dicintainya.

Di sisi yang lain. kesetiaan akan mendorong seseorang untuk bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh memajukan negaranya. Ia menunaikan tanggungjawabnya dengan penuh komitmen yang dapat mengikat diri untuk terus menyumbang dan berkorban demi pembangunan dan kemajuan negara.

RUKUN NEGARA
Jika kita rujuk kepada Rukun Negara, prinsip kesetiaan ini terkandung dalam prinsip kedua, iaitu Kesetiaan kepada raja dan negara. Prinsip ini menegaskan setiap warganegara Malaysia mestilah menumpukan sepenuh taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) selaku Ketua Negara dan ia seharusnya diberikan secara ikhlas. jujur dan sepenuh jiwa raga.

Bahkan baginda juga perlu setia kepada negara. Ini dapat difahami dalam Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki baginda mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan yang dinyatakan dalam Bahagian 1, Jadual Keempat di hadapan Majlis Raja-Raja dengan kehadiran Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan.

Dalam sumpah tersebut baginda berikrar akan taat setia dalam menjalankan tugas dengan adil dengan mengikut undang-undang dan Perlembagaan.

Demikian juga mereka yang dilantik sebagai menteri dikehendaki mengangkat dan menandatangani di hadapan YDPA sumpah jawatan, sumpah setia serta sumpah simpan rahsia. Ikrar taat setia menteri ini dapat dirujuk pada Perkara 43 (6) Perlembagaan Persekutuan.

Bagi mereka yang memegang jawatan-jawatan tinggi negara dalam perkhidmatan awam, termasuk badan-badan berkanun juga mestilah memiliki kesetiaan yang tinggi terhadap negara.

Sumpah setia ini juga mesti dibuat oleh mereka yang memegang jawatan tertinggi negara seperti Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan yang dikehendaki mengangkat dan menandatangani sumpah setia di hadapan YDPA seperti di bawah Perkara 124 Perlembagaan Persekutuan.

Demikian juga anggota mana-mana suruhanjaya dikehendaki mengangkat dan menandatangani sumpah setia seperti dikehendaki di bawah Perkara 142 (6) Perlembagaan Persekutuan. Bagi penjawat awam, pengakuan kesetiaan diungkapkan melalui aku janji. Kewajipan menandatangani surat aku janji itu dinyatakan dengan jelas dalam Peraturan 19 (1) (b), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2005.

Peraturan 4 (1) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 menghendaki seseorang penjawat awam itu pada setiap masa memberikan taat setianya kepada YDPA, negara dan kerajaan.

Semua bentuk-bentuk aku janji ‘kesetiaan’ itu jika dipegang dengan kukuh akan membangkitkan komitmen yang tinggi untuk berlaku jujur dalam menjalankan tugas.

Yang pasti, warganegara yang memiliki kesetiaan yang tinggi akan sentiasa cinta dan menyayangi negaranya dalam apa keadaan sekali pun. Sebaliknya, warganegara yang memiliki kecintaan yang rendah akan mudah belot atau cenderung bersikap khianat, memperlekeh dan menghina negara sendiri termasuk simbol-simbol kedaulatan negara.

Jika wujud agenda peribadi, mereka atau parti mungkin bersekongkol dengan musuh luar untuk khianat terhadap negara. Justeru, dalam Perlembagaan dan undang-undang negara terdapatnya perkara-perkara berkaitan dengan kuasa-kuasa khas menentang perbuatan subversif atau keganasan terancang yang membahayakan kedudukan negara sebagai sebuah negara yang berdaulat sepenuhnya.

Perbuatan-perbuatan tersebut menggambarkan ketidaksetiaan pelakunya terhadap negara dan ia perlu dihapuskan supaya rakyat terus hidup secara aman sebagai warganegara yang memiliki hak-hak dan tanggungjawab yang sama.

Oleh itu, kesetiaan kepada negara yang didasari pada perasaan yang positif akan mendorong kepada tingkah laku positif seperti mencintai, menyayangi, menghormati, menghargai, keterikatan, kepercayaan, kesetiaan dan pengorbanan terhadap negara.

Kesetiaan rakyat kepada negara dengan penuh komitmen amat berharga untuk mengangkat serta menjulang kedaulatan negara supaya terus utuh dan dihormati di persada antarabangsa.-UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×