DALAM era digital yang serba canggih ini, media sosial menjadi sebahagian integral daripada kehidupan seharian rakyat Malaysia. Platform seperti X, Facebook, WhatsApp, Telegram, TikTok dan Instagram memudahkan komunikasi, perkongsian maklumat dan penyebaran idea tanpa sempadan.
Namun, dengan kemudahan yang ditawarkan, timbul juga ancaman seperti penipuan dalam talian dan penyebaran berita palsu yang semakin berleluasa.
Dalam usaha menangani cabaran ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mencadangkan pelaksanaan perlesenan platform media sosial. Langkah ini yang dibentangkan di peringkat Parlimen mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat.
Cadangan ini bertujuan untuk mengawal selia kandungan dan memastikan keselamatan pengguna. Fahmi berkata, langkah ini tidak melibatkan pengguna individu tetapi ditujukan kepada penyedia platform seperti Meta, syarikat induk Facebook dan Instagram, serta penyedia aplikasi popular lain. Objektif utamanya untuk memastikan platform ini mematuhi undang-undang tempatan, bertanggungjawab terhadap kandungan yang disiarkan dan mengambil tindakan proaktif terhadap penyebaran kandungan yang berbahaya.
Namun, kebimbangan juga wujud ekoran boleh membawa kepada penyekatan kebebasan bersuara. Ada pihak melihatnya sebagai langkah yang berpotensi menapis kandungan kritikal atau tidak selari dengan pandangan tertentu. Bagi kerajaan, matlamat utamanya adalah untuk melindungi rakyat daripada ancaman dalam talian seperti penipuan dan berita palsu yang boleh menggugat keselamatan awam dan keharmonian negara.
STATISTIK YANG MEMBIMBANGKAN
Statistik terkini menunjukkan peningkatan ketara dalam kes penipuan dalam talian di Malaysia. Pada 2023 sahaja, sebanyak 34,497 kes penipuan dilaporkan dengan kerugian melebihi RM1.2 bilion. Secara purata, scammer berjaya mengaut lebih daripada RM6 juta sehari. Antara modus operandi yang sering digunakan adalah penipuan e-dagang, tawaran pekerjaan palsu dan panggilan scam.
BERITA PALSU
Penyebaran berita palsu juga menjadi isu utama yang memerlukan perhatian segera. Pada Januari 2023 sahaja, sebanyak 35 kes berita palsu direkodkan, peningkatan yang ketara berbanding tahun sebelumnya. Penyebaran berita palsu sering berlaku melalui aplikasi pemesejan seperti WhatsApp, apabila maklumat yang tidak disahkan mudah disebarkan pengguna tanpa rasa tanggungjawab.
Contohnya, tersebar berita palsu mengenai kononnya vaksin Covid-19 mengandungi bahan haram sehingga menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam dan menjejaskan usaha kerajaan mencapai kadar vaksinasi yang tinggi. Situasi seperti ini bukan sahaja menyesatkan orang ramai, tetapi juga boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat, terutama apabila melibatkan isu agama, bangsa atau politik.
TEKNOLOGI DEEPFAKE
Teknologi deepfake menjadi alat baharu yang digunakan penjenayah siber untuk tujuan yang lebih licik. Melalui teknologi ini, video atau gambar palsu yang kelihatan amat meyakinkan boleh dihasilkan untuk memperdaya mangsa atau menyebarkan maklumat palsu. Baru-baru ini, terdapat kes seorang individu menggunakan deepfake untuk mencipta video palsu seorang pegawai bank yang menggalakkan orang ramai melabur dalam skim cepat kaya. Akibatnya, ramai menjadi mangsa dan kehilangan wang simpanan mereka.
Teknologi ini menambah cabaran besar kepada pihak berkuasa dalam membanteras jenayah siber, kerana ia memerlukan kemahiran teknikal yang tinggi untuk mengenal pasti kandungan palsu tersebut. Tanpa kawalan yang mencukupi, teknologi ini boleh digunakan untuk menyemarakkan lagi penyebaran berita palsu, penipuan atau bahkan agenda politik yang memecahbelahkan.
KERANGKA KAWAL SELIA
Cadangan perlesenan platform media sosial adalah langkah pertama ke arah membina kerangka kawal selia yang lebih kukuh. Di bawah kerangka ini, platform media sosial perlu memenuhi beberapa syarat utama, termasuk melaporkan kandungan berbahaya, menyediakan laporan ketelusan berkala dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan kerajaan.
Walaupun demikian, pelaksanaan perlesenan ini memerlukan pendekatan yang seimbang. Jika terlalu ketat, ia boleh menyekat kebebasan bersuara dan kreativiti dalam kalangan pengguna. Sebaliknya, jika terlalu longgar, matlamat untuk mengawal selia kandungan berbahaya mungkin tidak tercapai. Oleh itu, penting bagi kerajaan untuk melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk organisasi hak asasi manusia, pengamal media dan pengguna media sosial dalam merangka dasar yang inklusif.
PENDIDIKAN DIGITAL
Masyarakat perlu dilatih untuk menjadi lebih celik digital, termasuk mengenal pasti berita palsu, memahami ancaman siber dan mengamalkan etika dalam penggunaan media sosial. Kempen kesedaran awam yang berterusan boleh membantu mengubah sikap dan tingkah laku pengguna ke arah yang lebih positif.
Sebagai contoh, program pendidikan digital di Korea Selatan menunjukkan kejayaan dalam mengurangkan kes penyebaran berita palsu di negara tersebut. Malaysia boleh mencontohi pendekatan ini dengan melibatkan sektor pendidikan, syarikat teknologi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha membina masyarakat digital yang bertanggungjawab.
KERJASAMA ANTARABANGSA
Langkah Malaysia dalam memperkenalkan perlesenan media sosial juga menarik perhatian antarabangsa. Negara-negara seperti United Kingdom (UK) dan Singapura menunjukkan minat untuk mempelajari pendekatan ini dalam usaha mengawal selia media sosial di negara masing-masing. Kerjasama antarabangsa boleh memperkukuhkan usaha Malaysia dalam menangani jenayah siber yang bersifat rentas sempadan.
Melalui perkongsian maklumat, teknologi dan pengalaman, negara-negara yang berdepan dengan cabaran sama boleh berganding bahu memastikan keselamatan siber global yang lebih baik. Malaysia berpotensi menjadi contoh kepada negara lain dalam menetapkan standard kawal selia media sosial yang seimbang dan berkesan.
MENCARI KESEIMBANGAN
Walau bagaimanapun, pelaksanaan ini perlu dilakukan dengan teliti agar tidak menjejaskan kebebasan bersuara dan hak asasi rakyat. Pendidikan digital, kerjasama antarabangsa dan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan adalah kunci dalam memastikan keberkesanan langkah ini.
Dalam usaha membina ekosistem digital yang selamat dan harmoni, baik kerajaan, penyedia platform mahupun masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing. Hanya dengan kerjasama dan kesedaran bersama, Malaysia boleh melangkah ke hadapan sebagai negara yang selamat, progresif, dan inovatif dalam era digital ini.-UTUSAN
DR. Azian Muhamad Adzmi ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Multimedia Teknologi dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM).










