DI bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan terus memperlihatkan komitmen jitu terhadap pengukuhan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Usaha ini adalah sebahagian daripada visi strategik untuk melahirkan modal insan berkualiti tinggi yang mampu bersaing dalam landskap ekonomi global serta mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan ekonomi masa hadapan.
Ini dapat dilihat bila Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024, pada 13 Oktober 2023 lagi sudah mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas STEM rentas kementerian antaranya bagi menetapkan sasaran serta langkah bagi meningkatkan penyertaan dalam bidang STEM dalam kalangan pelajar sekolah menengah.
Sebagai langkah awal, kerajaan memperuntukkan RM100 juta untuk menaik taraf makmal komputer dan memperoleh peralatan baharu bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran STEM. Malah, sektor industri turut dilibatkan sebagai rakan strategik dengan menyediakan tenaga pengajar serta peralatan terkini.
Ketika menjawab pertanyaan Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail (Perikatan Nasional (PN)-Kubang Pasu) pada 26 Mac lalu, Anwar mengakui minat pelajar di negara ini dalam bidang STEM semakin merosot. Untuk itu, Kementerian Pendidikan (KPM) diarah memperkenalkan pendekatan yang lebih holistik.
Anwar juga menekankan kepentingan penglibatan industri. Dalam semua perjumpaan dengan syarikat asing, beliau tekankan soal yang sama iaitu mesti ada pusat kecemerlangan di Malaysia, mesti ada penyediaan latihan secara langsung kepada tenaga kerja tempatan di sini. Anwar berkata, pihaknya menetapkan agar latihan segera dibuat oleh syarikat yang melabur di negara ini umpamanya seperti NVIDIA.
Sekali lagi ketika berucap merasmikan Program Malaysia Kecerdasan Buatan (Al) Nexus 2024 pada 10 Mei, Anwar berkata, semua pihak perlu memainkan peranan dalam memikirkan pendekatan sesuai bagi meningkatkan minat kepada mata pelajaran STEM.
“Kita boleh bicara tentang AI, tetapi persiapan dari akar umbi dan meningkat ke peringkat tinggi tidak ada,” katanya.
Menyedari keperluan untuk memupuk minat sejak peringkat awal, Anwar pada 17 Julai pula mengarahkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang, untuk melancarkan inisiatif melibatkan saintis bioteknologi dalam sesi perkongsian ilmu di sekolah-sekolah menengah dengan segera menyenaraikan 100 saintis bioteknologi untuk dihantar ke 100 sekolah menengah untuk program menarik minat pelajar. Inisiatif ini bertujuan untuk memberikan pendedahan awal kepada pelajar tentang prospek menarik dalam STEM, sekali gus menginspirasi mereka untuk memilih bidang tersebut sebagai pilihan kerjaya.
“Apabila pelajar mendengar pencerahan daripada saintis terkemuka atau syarikat berjaya seperti Bionexus, minat mereka terhadap bidang ini akan melonjak secara semula jadi,” ujar Anwar.
Beliau juga mencadangkan agar syarikat bioteknologi dan agensi kerajaan melaksanakan program sebulan sekali di sekolah menengah bagi memupuk aspirasi ini.
Langkah ini disokong oleh KPM, yang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan MOSTI untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas STEM yang memberi fokus khusus kepada hala tuju bermula dari peringkat sekolah sehingga ke pendidikan tinggi. Pelbagai inisiatif pembudayaan, aktiviti dan program pembangunan STEM giat dilaksanakan merentas kementerian dan agensi serta dengan kerjasama rakan strategik korporat dan komuniti.
Lih Kang turut menegaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia semakin kukuh, namun tenaga kerja tempatan perlu segera dilengkapkan dengan kemahiran STEM untuk memastikan daya saing negara di peringkat global. Untuk itu, program seperti Minggu Sains Negara (MSN) dan Malaysia Techlympics terus dianjurkan sebagai platform pembudayaan STEM dalam kalangan generasi muda.
Dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan pada 18 Oktober, Anwar mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta khusus untuk pelajar STEM di institut pengajian tinggi awam (IPTA). Langkah ini sejajar dengan usaha kerajaan untuk melahirkan graduan yang berdaya saing dan bersesuaian dengan kehendak industri.
Dalam kunjungan ke luar negara juga Anwar tidak melupakan perihal kepentingan STEM. Semasa menyampaikan syarahan di Universiti Al-Azhar pada 10 November umpamanya, Anwar mengingatkan dunia Islam bahawa pelaburan besar dalam STEM adalah prasyarat untuk bersaing di peringkat global.
Beliau menekankan kepentingan pendidikan STEM sejak peringkat awal serta peningkatan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) khususnya dalam bidang transformatif seperti bioteknologi, sains kimia dan teknologi maklumat.
Pada 11 Disember, ketika menghadiri Majlis Perasmian Kumpulan Visi Strategik: Rusia-Dunia Islam pula, Anwar menyeru kerjasama strategik antara Malaysia dan Rusia dalam bidang STEM. Kepakaran Rusia dalam STEM dilihat sebagai peluang besar untuk Malaysia meningkatkan kapasiti teknologi melalui pertukaran ilmu dan pengalaman.
KOMITMEN
Komitmen kerajaan untuk memperkukuh pendidikan STEM membuka jalan ke arah pembangunan ekonomi berasaskan teknologi dan inovasi. Sektor-sektor kritikal seperti AI, teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui bergantung kepada tenaga kerja mahir dalam STEM.
Dengan penekanan yang diberikan kepada STEM, Malaysia bukan sahaja akan mampu menarik lebih banyak pelaburan asing, malah akan dapat menyelesaikan isu ketidaksepadanan kemahiran dalam pasaran kerja.
Langkah ini juga akan mencetuskan lebih banyak inovasi tempatan dalam bidang teknologi dan sains, yang penting untuk pembangunan negara secara mampan. Fokus kepada STEM dijangka memastikan Malaysia mencapai aspirasi menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Pendidikan STEM bukan sekadar agenda pendidikan, tetapi asas kepada transformasi ekonomi dan sosial Malaysia. Dengan sokongan menyeluruh dari kerajaan, industri dan masyarakat, Malaysia berada di landasan kukuh untuk menjadi hab teknologi global.-UTUSAN
DR. Suharmili Rosle ialah Felo Pasca Doktoral, Fakulti Komputer, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).










