KUALA NERUS: Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali mengakui terkesan kehilangan dua tonggak utama, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid apabila mereka tidak dapat beraksi dalam perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi separuh akhir nanti.
Beliau berkata, kedua-dua pemain pinjaman JDT itu diakui banyak membantu skuad Sang Penyu dalam cabaran Liga Malaysia musim ini termasuk saingan Piala Malaysia ini.
Bagaimanapun, katanya, kekosongan dua pemain itu bakal diisi pemain muda seperti Nik Shafik Mohd. Lazim dan Engku Shakir Engku Yaacob serta pemain import, Ismahil Akinade.
“Kita percaya sesiapa sahaja pemain yang menggantikan Safawi dan Akhyar dapat mempamerkan aksi hebat untuk membantu kemenangan pasukan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Safawi dan Akhyar tidak dapat beraksi kerana terikat dengan perjanjian bersama JDT sebagai pemain pinjaman daripada kelab itu.
Keadaan itu menyebabkan mereka tidak boleh beraksi apabila kedua-dua pasukan itu bertemu dalam perlawanan separuh akhir Piala Malaysia pada 17 Januari dan 1 Februari depan.
Sang Penyu layak beraksi di peringkat separuh akhir setelah menewaskan Negeri Sembilan FC pada perlawanan suku akhir dengan agregat kemenangan 6-2.
Badrul Afzan berkata, beliau percaya anak-anak buahnya telah bersedia sepenuhnya untuk bertarung dengan JDT walaupun bakal berdepan cabaran sengit. – UTUSAN










