Enam hilang di Gunung Trans Gerah: Bapa khuatir bekalan makanan anak, cucu habis - Utusan Malaysia

Enam hilang di Gunung Trans Gerah: Bapa khuatir bekalan makanan anak, cucu habis

OPERASI SAR kini digerakkan dari darat, air dan udara di sekitar Pos Kemar, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bapa kepada Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, yang dilaporkan hilang bersama keluarganya di laluan Gunung Trans Gerah (Trans GBB) di Gua Musang, Kelantan menuju ke Kem Kemor, Perak khuatir bekalan makanan dibawa mereka telah habis berikutan sudah melepasi hari ke-10 pendakian.

Wan Zairudin Wan Ismail berkata, anaknya bersama menantu, Siti Zulaiha Norizan, 39, dan dua cucu, Diya Raisha, 13, serta Ahmad Raef, 9, hanya membawa makanan untuk enam atau tujuh hari sahaja.

Katanya, berkemungkinan ada di antara mereka yang tercedera termasuk dua malim gunung, Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, lantas menyebabkan gagal keluar dari hutan pada pukul 3 petang Khamis lalu.

“Saya bimbang ada yang cedera, mungkin itu punca anak, menantu dan dua cucu gagal keluar dari hutan pada pukul 3 petang Khamis lalu. Mereka juga sudah kehabisan makanan sebab bekalan dibawa hanya cukup untuk enam atau tujuh hari pendakian saja, tetapi kini sudah melepasi 10 hari,” katanya dari Shah Alam dekat sini.

Laporan kehilangan dibuat Wan Zairudin, 66, di Balai Polis Bukit Jelutong, kelmarin selepas keluarga anaknya tidak pulang pada Khamis lalu dan usaha menghubungi mereka gagal sehingga kini.

Wan Zairudin berkata, usaha mencari dan menyelamat (SAR) perlu dilakukan segera bagi mengelak kejadian tidak diingini terutama dua cucunya yang masih kecil.

“Anak saya adalah pengurus projek di Yong Peng, Johor manakala menantu bekerja di Simpang Renggam, memang kerap mendaki gunung bersama dua anak mereka, tetapi paling lewat mereka keluar hutan dari tarikh ditetapkan hanya sehari saja, tetapi kali ini agak membimbangkan kerana sudah memasuki hari ke empat tanpa makanan mencukupi.

“Keluarga anak saya sepatutnya keluar hutan pada Khamis lalu dan kemudian pulang ke Yong Peng kelmarin kerana dua cucu perlu bersekolah selepas cuti persekolahan berakhir semalam.

“Malangnya, sehingga kini, tiada berita mengenai mereka dengan kali terakhir menantu menghantar mesej pendek kepada isteri saya pada 1 September lalu memaklumkan mereka sekeluarga sihat dalam pendakian itu dan akan keluar di Kem Kemor di Perak dua hari selepas itu,” katanya.

Operasi SAR kini digerakkan dari darat, air dan udara di sekitar Pos Kemar.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, tiga bot bomba bersiap sedia di Jeti Temenggor untuk membawa lapan anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) serta lima anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung (MOSAR) ke Pos Kemar.

Wan Zairudin berkata, dia sendiri menghantar keluarga anaknya itu ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) untuk menaiki bas ke Gua Musang bagi memulakan pendakian pada 29 Ogos lalu manakala kereta mereka ditinggalkan di rumahnya.

Beliau berkata, mengikut jadual asal, keluarga anaknya akan pulang semula menaiki bas sama ada dari Gerik atau Kuala Kangsar ke Shah Alam pada Khamis lalu dan pulang ke Yong Peng kelmarin.

Katanya, anaknya memilih trek laluan Trans GBB yang tidak pernah dilalui bagi melengkapkan siri pendakiannya di negara ini, sebelum merancang membawa keluarga mendaki Gunung Kinabalu pada tahun depan.

“Saya bimbang ada yang cedera, mungkin kaki terseliuh hingga tidak boleh bergerak. Jika tiada bantuan luar, usaha mereka untuk keluar dari hutan itu adalah sukar.

“Kami faham Trans GBB ini antara laluan pendakian paling sukar. Hari ini, saya dan isteri datang ke Gerik yang dijadikan bilik gerakan operasi SAR untuk mendapat berita terkini mengenai keluarga saya ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×