MANCHESTER: Arsenal bakal menjadi ujian sebenar Ruben Amorim apabila Manchester United berdepan The Gunners dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi esok.
Tidak kalah dalam tiga perlawanan pertama di bawah bimbingan Amorim, pertembungan dengan Arsenal menjadi perlawanan yang ditunggu-tunggu peminat United untuk melihat magis pengendali dari Belanda itu.
Skuad kendalian Amorim melonjak ke tangga kesembilan EPL selepas melakar kemenangan 4-0 ke atas Everton di Old Trafford yang menjadi detik kebangkitan semula Red Devils.
Selepas hanya meledak 13 gol dalam 12 aksi liga sebelum ini, United akhirnya menemui ketajaman barisan depannya di bawah bimbingan Amorim.
Bagaimanapun, kunjungan ke Emirates bukan sesuatu yang mudah dan petembungan itu akan menguji kemampuan sebenar United untuk kembali bersaing dalam kelompok atasan liga.
Arsenal, yang kini di tangga kedua liga, menang ketiga-tiga perlawanan menentang United sebelum ini dan skarang kedua-dua pasukan hanya dibezakan enam mata.
“Ia pasukan terbaik yang akan kami temui setakat ini. Tetapi ujian adalah pada setiap perlawanan. Jika anda melihat perlawanan sebelum ini (menentang Everton), ia sangat sukar.
“Penting untuk kami tampil berani (bertemu Arsenal), berani bukan maksudnya sentiasa menyerang. Ia berbeza. Anda perlu memahami permainan. Kami perlu menguasai bola, itu paling penting.
“Kami perlu mendapatkan bola, mendominasi situasi penting permainan, kerana dalam perlawanan seperti ini sukar untuk mengawalnya. Kami perlu berani untuk bermain,” kata Amorim.
Dalam masa sama Amorim berkata, dia kurang selesa dengan nyanyian penyokong United terhadapnya.
“Saya tidak suka nyanyian untuk saya. Bukan malu, tetapi saya adalah jurulatih, mereka perlu menyanyi untuk pemain-pemain dan kelab.
“Ia bukan perkara yang bagus untuk saya. Saya faham hubungan dengan penyokong, tetapi saya mahu mereka menyokong pasukan dan pemain-pemain kerana mereka yang berada di atas padang, saya berada di luar padang.
“Saya terharu dengan sokongan itu dan merasai hubungan dengan penyokong, tetapi kami memerlukan keputusan untuk mengekalkannya,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










