12 tahun wanita ini sediakan sarapan percuma setiap Jumaat

12 tahun wanita ini sediakan sarapan percuma setiap Jumaat

KUANTAN 13 DISEMBER 2024 - Orang ramai dari pelbagai latar belakang tidak melepaskan peluang mendapatkan sarapan percuma di Hentian Bas Pokok Buluh, Taman Kerang di sini hari ini. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang peniaga ti­dak pernah gagal menyediakan sarapan percuma di bawah projek Breakfast fo Free (BFF) yang dianjurkan pada setiap hari Jumaat sejak 12 tahun lalu di Hentian Bas Pokok Buluh, Taman Kerang, di sini.

Noordeyana Mohd. Rashdi, 41, berkata, bermula dengan hanya 20 bungkus makanan pada 12 tahun lalu, kini jumlah makanan diagihkan me­ningkat kepada 150 bungkus menerusi sumbangan pelbagai pihak.

“Saya bermula dengan 20 bungkus makanan. Walaupun saya sendiri dalam keadaan susah pada ketika itu, tapi saya percaya, dengan kita memberi ini (makan percuma), Allah SWT akan gandakan rezeki kita.

“Alhamdulillah, sekarang saya berkongsi dengan orang lain. Saya ajak rakan-rakan di media sosial untuk turut serta dan sekarang daripada 20 bungkus, sudah menjadi 150 bungkus,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Taman Kerang, semalam.

Noordeyana bertekad meneruskan projek berkenaan tanpa gagal pada setiap hari Jumaat bermula pukul 9.30 pagi mengenangkan sentiasa ada individu yang menantikan sarapan percuma berkenaan.

“Pernah ketika cuti Hari Raya Aidilfitri, hati sentiasa tertanya-tanya jika ada tertunggu-tunggu makanan percuma kami dan bila saya pergi tengok, hati rasa sayu melihat ada yang menunggu.

“Disebabkan semakin dikenali, jadi mereka ini sudah tahu, setiap Jumaat atau jika bulan puasa kita sediakan untuk iftar. Mereka tunggu untuk dapatkan makanan percuma ini,” kata ibu kepada empat orang anak berusia antara enam tahun hingga 15 tahun hingga itu.

Taman Kerang dipilih sebagai lokasi mengagihkan sarapan percuma kerana kawasan itu mempunyai pelbagai lapisan masyarakat dengan pelbagai latar belakang.

“Sekurang-kurangnya sarapan percuma ini dapat menjimatkan wang seseorang pada hari tersebut. Saya beri kepada semua tanpa mengira latar belakang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN