JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio menjangkakan anak buahnya berdepan tugas mencabar untuk membawa pulang tiga mata apabila berentap dengan Shandong Taishan FC pada aksi kumpulan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), malam ini.
Bidoglio mengakui kelab Liga Super China (CSL) itu merupakan lawan yang hebat kerana dibarisi pemain kebangsaan China pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026, baru-baru ini.
Katanya, faktor cuaca yang sejuk juga akan menjadi cabaran bagi skuad Harimau Selatan yang tiba lebih awal di China bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran sebelum aksi sebenar.
“Ini adalah satu cabaran getir bagi JDT apabila berdepan pasukan hebat di China, lebih-lebih lagi beraksi di halaman mereka, tambahan pula kita akan beraksi pada cuaca yang sangat sejuk.
“Prestasi JDT pada saingan ACLE setakat ini berada pada tahap memuaskan, namun kita tidak boleh bersikap berpuas hati kerana kedudukan dalam kumpulan berubah pada bila-bila masa.
“Pemain perlu kekal komited untuk mengekalkan momentum permainan ketika ini, seterusnya memburu tiga mata di tempat lawan bagi mengukuhkan kedudukan pasukan dalam kelompok lapan pasukan terbaik kumpulan Zon Timur,” katanya.
Rekod pertemuan JDT menentang Shandong Taishan yang dahulunya dikenali sebagai Shandong Luneng tampak seimbang dengan Harimau Selatan tewas 2-1 pada aksi 9 April 2019 dan menang tipis 1-0 di Stadium Larkin pada 24 April 2019.
Dalam pada itu, Bidoglio lega apabila tiada pemain dibelenggu kecederaan atau dikenakan tindakan penggantungan, namun mengingatkan Murilo Hendrique agar lebih berhati-hati dalam perlawanan itu sekiranya diturunkan beraksi.
“Hanya Murilo sahaja yang sudah mengumpul dua kad kuning dan dia perlu mengelak daripada dihukum lagi jika saya menyenaraikannya dalam kesebelasan utama, malah semua pemain berada pada tahap kecergasan terbaik.
“Peluang bagi kedua-dua pasukan untuk meraih kemenangan tampak seimbang, kita perlu bekerja lebih keras bagi memastikan pasukan tidak pulang dengan tangan kosong,” katanya. – UTUSAN










