PETALING JAYA: Selangor FC akan berwaspada dengan ancaman Jeonbuk Hyundai Motors FC dalam perlawanan pusingan kedua Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Piala Dunia Jeonju, esok.
Ini kerana tuan rumah pastinya menurunkan skuad terbaik bagi membalas dendam atas kekalahan 1-2 kepada Selangor dalam perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 23 Oktober lalu.
Pengurus Selangor FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, Gergasi Merah akan turun dengan misi untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata, namun kemenangan merupakan matlamat utama pasukan.
Katanya, pemain sudah diingatkan tentang kekuatan wakil Korea Selatan itu yang mempunyai kelebihan beraksi di lama sendiri selain bakal mempertaruhkan skuad terbaik bagi menebus maruah selepas tewas sebelum ini.
“Persiapan berjalan lancar dan kita akan buat yang terbaik, pemain juga sudah diingatkan supaya mereka lebih berdisiplin dalam taktikal. Berkenaan taktikal, kita serahkan kepada barisan kejurulatihan.
“Mereka ada perancangan tersendiri dan cara untuk hadapi Jeonbuk. Cuma semua pemain kena bersedia dengan keadaan cuaca sejuk di sana yang berada pada hujung musim luruh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai pemain yang bakal diturunkan, hanya Yohandry Orozco yang tidak dapat diturunkan selepas pemain import dari Venezuela itu mengutip kad merah dalam pertemuan di Stadium MBPJ.
“Semua pemain dalam kondisi terbaik kecuali Orozco yang tidak dapat diturunkan. Kita positif untuk mencuri mata di gelanggang lawan bagi memberi kelesaan dalam kedudukan kumpulan sebelum berdepan Muangthong United FC.
“Pemain juga tahu apa yang perlu mereka lakukan untuk kekalkan momentum pasukan dalam ACL2 dan pemain juga professional untuk berdepan situasi (pertukaran jurulatih) dalam pasukan,” katanya.
Ketika ini, Selangor yang dibimbing jurulatih sementara, Abdi Hassan memimpin Kumpulan H dengan tujuh mata, manakala Jeonbuk ditangga kedua dengan enam mata selepas tiga perlawanan. – UTUSAN










