Pulau Pinang berdepan cabaran gangguan bekalan air - Utusan Malaysia

Pulau Pinang berdepan cabaran gangguan bekalan air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Gangguan be­kalan air yang kerap merupakan antara cabaran perlu dihadapi Pulau Pinang dalam usaha menjadikan negeri itu sebagai Lembah Silikon Timur.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, selain itu, bekalan air terhad, terutamanya untuk kegunaan perindustrian sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan pelabur untuk me­labur di Pulau Pinang.

“Harga tanah perindustrian yang tinggi serta kekurangan tanah perindustrian yang bersaiz sekurang-kurangnya 80.93 hektar pada setiap masa menyebabkan pelabur mempunyai pilihan yang sangat terhad untuk memilih tapak projek.

“Peningkatan kos menja­lankan perniagaan seperti ke­naikan harga tanah, cukai taksiran, tenaga elektrik dan bekalan air menjadikan Pulau Pinang lokasi yang kurang menarik untuk para pelabur,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini semalam.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) menjawab soalan Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubuk) mengenai cabaran serta usaha dijalankan oleh kerajaan negeri dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai Lembah Silikon Timur.

Menurut Kon Yeow, kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak juga antara masalah utama dihadapi Pulau Pinang pada masa ini.

“Masalah kekurangan bakat dan banjir kilat di sesetengah kawasan utama seperti Bayan Lepas, Bayan Baru dan Sungai Ara turut menjadi cabaran utama di negeri ini,” katanya.

Tambah Kon Yeow, Pulau Pinang turut berdepan persaingan sengit untuk menarik pelaburan asing dari negara lain seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Selain itu, antara Penerba­ngan antarabangsa yang terhad di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang juga antara cabaran yang perlu ditangani di negeri ini.

Dalam pada itu, katanya, bagi sektor ekonomi digital, kekangan atau cabaran yang dihadapi termasuklah kekurangan pejabat gred A atau bangunan MSC Cybercenter yang mampu menampung permintaan pelabur yang tinggi pada masa kini, persaingan dalam penawaran insentif oleh negeri dan negara lain, serta kekurangan tenaga kerja mahir mencukupi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN