Jumlah pemandu kenderaan perdagangan guna syabu meningkat

Jumlah pemandu kenderaan perdagangan guna syabu meningkat

RUSLIN Jusoh (dua dari kanan) dan Aedy Fadly semasa Op Bersepadu Dadah di kawasan rehat dan rawat (RnR) Seremban, Lebuhraya Utara Selatan Arah Selatan, Seremban, Negeri Sembilan malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Trend penggunaan dadah jenis syabu melibatkan pemandu-pemandu kenderaan perdagangan di negara ini semakin meningkat dan ia dibuktikan hasil Op Bersepadu Dadah oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini semalam.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, hasil operasi itu mendapati syabu merupakan dadah paling banyak dikesan dalam kalangan pemandu yang disaring.

Katanya, sehingga pukul 6 petang semalam, seramai 244 orang pemandu telah menjalani saringan air kencing dengan 22 daripadanya didapati positif dadah.

“Daripada jumlah itu, 14 orang positif syabu, dua positif ganja dan enam lagi positif ketum. Kami mendapati syabu adalah dadah yang paling menjadi pilihan dalam kalangan pemandu, di samping ketum yang kini turut menjadi trend baharu.

“Mereka mengambil syabu kerana ia merupakan dadah perangsang yang membolehkan mereka bekerja lebih lama namun apabila kesannya mula berkurangan, mereka akan hilang kawalan dan keadaan itu boleh menjadi punca kemalangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran Op Bersepadu Dadah di kawasan rehat dan rawat (RnR) Seremban, Lebuhraya Utara Selatan Arah Selatan, di sini malam tadi.

Beliau berkata, peningkatan penyalahgunaan syabu dan ketum dalam kalangan pemandu tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan keselamatan pengguna jalan raya.

Menurutnya, berdasarkan data AADK, golongan berusia antara 19 hingga 39 tahun masih merekodkan kadar penagihan dadah tertinggi iaitu sekitar 70 peratus daripada keseluruhan kes.

“Kadar penagihan dadah sintetik seperti syabu, ketamin dan ekstasi kini sudah mencecah 80 peratus. Angka ini sangat tinggi. Dadah yang digunakan kebanyakannya ialah dadah sintetik, kecuali ketum yang berasal daripada daun,” katanya.

Beliau berkata, semua pemandu yang didapati positif dadah akan ditahan bagi siasatan lanjut sebelum dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman selama 14 hari.

“Dalam tempoh reman itu kami akan mendapatkan maklumat lengkap termasuk jenis dadah yang diambil, tempoh penagihan, tempoh bekerja dan majikan mereka sebelum tindakan rawatan atau pemulihan diputuskan oleh mahkamah.

“Bermula tahun ini juga, individu yang didapati menyalahgunakan ketum boleh dikenakan tindakan di bawah pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 termasuk menjalani rawatan di pusat pemulihan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, trend penyalahgunaan syabu dan ketum dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan didapati semakin meningkat sejak lima tahun kebelakangan ini.

Menurutnya, tindakan turut akan diambil terhadap syarikat pengendali yang menggaji pemandu terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

“Kesan pemanduan akibat penyalahgunaan dadah memang serius. Trend penggunaan syabu dan ketum dalam kalangan pemandu semakin meningkat sejak lima tahun kebelakangan ini.

“Selain tindakan terhadap pemandu, kami juga akan bekerjasama dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menggantung atau membatalkan permit syarikat pengendali yang gagal memastikan pemandu mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah,” katanya.

Beliau berkata, pengendali syarikat tidak boleh terlepas daripada tanggungjawab kerana mereka perlu memastikan pemandu yang digajikan mematuhi undang-undang serta tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Tambahnya, selaras pelaksanaan inisiatif sistem telematik yang dilancarkan Kementerian Pengangkutan baru-baru ini, semua syarikat pengangkutan akan dipantau termasuk dari segi corak dan tingkah laku pemanduan bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN