Helikopter tentera AS terhempas di Laut Arab, seorang anak kapal hilang - Utusan Malaysia

Helikopter tentera AS terhempas di Laut Arab, seorang anak kapal hilang

SEBUAH helikopter milik Tentera Udara AS. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Tiga daripada empat anak kapal sebuah helikopter jenis MH-60S Sea Hawk milik tentera Amerika Syarikat (AS) berjaya diselamatkan selepas melakukan pendaratan cemas  di Laut Arab pada awal pagi Rabu.

Menurut Markas Pusat Angkatan Tentera Laut AS, usaha mencari dan menyelamat (SAR) kini sedang giat dijalankan bagi mengesan seorang lagi anak kapal yang masih hilang.

Pihak tentera dalam satu kenyataan menegaskan tiada sebarang petunjuk yang menunjukkan helikopter berkenaan ditembak jatuh oleh serangan musuh. 

Helikopter tersebut dilaporkan beroperasi di bawah kapal pengangkut pesawat USS George H.W. Bush.

“Tiga daripada empat anak kapal helikopter terbabit telah berjaya ditemukan dan kini berada dalam keadaan stabil di atas kapal USS George H.W. Bush.

“Aset-Aset Tentera Laut AS di rantau berkenaan sedang dikerahkan untuk mengesan seorang lagi anak kapal yang masih hilang,” jelas kenyataan Markas Pusat itu.

Insiden berkenaan dilaporkan berlaku kira-kira jam 11 pagi waktu tempatan.

Kapal USS George H.W. Bush telah ditempatkan di Asia Barat sejak akhir April lalu dan merupakan salah satu daripada dua kapal pengangkut pesawat AS yang masih kekal di rantau berkenaan. 

Meskipun AS telah menarik balik sekatan terhadap kapal-kapal yang keluar masuk melalui Selat Hormuz, negara kuasa besar itu masih mengekalkan kehadiran ketenteraan yang besar di kawasan tersebut.

Setakat pertengahan Mei lalu iaitu kali terakhir kemas kini dikemukakan kepada Kongres, AS dilaporkan telah kehilangan sebanyak 42 buah pesawat atau helikopter dalam Operasi Kemarahan Epik.

Jumlah tersebut bagaimanapun tidak termasuk insiden sebuah helikopter jenis Apache milik AS yang ditembak jatuh oleh dron Iran pada awal Jun lalu. 

Dalam kejadian itu, kedua-dua anak kapal berjaya diselamatkan, tetapi insiden berkenaan telah mendorong AS untuk melancarkan serangan mempertahankan diri terhadap Iran. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN