HULU LANGAT: Pelakon, Nabila Huda mengakui sudah mula bosan dengan imej rambut perang atau blonde yang digayakan bagi menjayakan wataknya dalam drama bersiri Cela.
Menurut Nabila, atau lebih mesra disapa Abil, meskipun ramai peminat menyukai penampilan terbaharunya itu, dia sendiri tidak sabar untuk mewarnakan semula rambutnya kepada warna hitam sebaik sahaja selesai menjalani penggambaran.
“Saya tahu ramai yang suka dengan penampilan ini, tetapi saya sendiri sudah tidak suka. Setiap kali tengok muka dalam cermin, saya rasa nak cepat-cepat warnakan semula rambut saya kepada warna hitam.
“Saya rasa pelik dengan penampilan ini. Mungkin sebab orang sudah lama tak tengok saya dengan warna rambut seperti ini, jadi mereka anggap ia satu perubahan yang besar.
“Tetapi sayangnya, saya memang tak boleh kekalkan rambut ini untuk mana-mana projek lain kerana ia hanya khas untuk watak ini,” katanya.
Nabila berkata demikian ketika ditemui pada lokasi penggambaran drama bersiri Viu Originals Cela di DSH Villa, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Nabila berkata, imej rambut perang itu dirancang khusus bagi menghidupkan watak Datuk Anees yang bakal ditampilkan dalam drama berkenaan yang dijadual menemui penonton pada Ogos depan.
“Saya mahukan kelainan untuk karakter Datuk Anees kerana sebelum ini kebanyakan watak saya berambut hitam. Saya mahu tampil berbeza, tetapi masih kelihatan sederhana dan tidak terlalu menonjol.
“Saya juga tidak mahu dia kelihatan terlalu stereotaip sebagai seorang Datuk. Jadi saya bermain dengan konsep rambut. Dalam bayangan saya, watak ini sudah berusia, mempunyai rambut yang banyak uban lalu mewarnakannya kepada warna perang.
“Dengan cara itu, dia masih nampak bergaya, moden dan muda walaupun usianya sudah meningkat. Penampilan ini memang saya rancang sendiri dengan persetujuan pengarah dan juga penerbit,” katanya.










