MELAKA: Kementerian Pengangkutan melalui Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) melancarkan tiga dokumen penting berkaitan keselamatan kenderaan elektrik (EV) di negara ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, garis panduan itu ialah Garis Panduan Keselamatan Makmal Ujian Pelanggaran Kenderaan Elektrik.
Menurutnya, pelancaran dokumen dan pelaksanaan ujian pelanggaran, selaras dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022-2030 yang berhasrat mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya sekurang-kurangnya 50 peratus menjelang 2030.
“Pengurusan EV ini berlainan dengan kenderaan biasa jika berlakunya kemalangan, trak penunda kena berhati-hati disebabkan baterinya sangat sensitif. Kita takut apabila berlaku pelanggaran, bateri mungkin ada renjatan elektrik, mudah terbakar, meletup dan sebagainya.
“Sudah tentu ia memerlukan pengurusan baik dan lebih berhati-hati kerana itulah fungsi garis panduan ini diperkenalkan.
“Ia bukan sahaja boleh dipakai di Malaysia tetapi boleh dikongsi dengan rakan-rakan kita di ASEAN,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Garis Panduan Keselamatan EV di Akademi Pengangkutan Jalan, Ayer Molek di sini, semalam.
Tambah Anthony, garis panduan itu juga dapat membantu pengguna jalan raya bersedia sepenuhnya menghadapi situasi berlakunya sebarang kecemasan melibatkan EV.
Jelasnya, rangka kerja komprehensif akan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap EV, selain menggalakkan penggunaannya dengan tidak mengancam nyawa.









