AS akan bina kedutaan di Baitulmaqddis - Utusan Malaysia

AS akan bina kedutaan di Baitulmaqddis

GAMBAR fail Kedutaan AS di Tel Aviv. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) pada Rabu menandatangani perjanjian untuk membina kompleks baharu kedutaannya di Baitulmaqddis,dalam langkah yang menurut Israel mencerminkan pakatan yang tidak boleh dipisahkan antara kedua-dua negara.

Ketika penggal pertamanya sebagai presiden, Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqddis sebagai ibu negara Israel pada Disember 2017 dan mengarahkan pemindahan misi diplomatik Washington dari Tel Aviv.

Bagaimanapun, perkhidmatan kedutaan ketika itu beroperasi di beberapa lokasi di Baitulmaqddis sementara menunggu tapak tetap yang sesuai dikenal pasti.

Duta AS ke Israel, Mike Huckabee berkata, pada majlis menandatangani perjanjian di Kementerian Luar Israel bahawa Washington mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota yang kekal, asal dan selama-lamanya bagi bangsa Yahudi.”

“Kami akan mengibarkan bendera Amerika di bumi Baitulmaqddis menerusi pembinaan kompleks kedutaan baharu yang kekal, yang akan menjadi pusat utama semua aktiviti diplomatik kami di Israel,” katanya.

Kedutaan baharu itu akan dibina di kawasan Allenby di selatan Baitulmaqddis.

Keputusan Trump pada 2017 itu bercanggah dengan dasar AS yang diamalkan selama beberapa dekad, iaitu status muktamad Baitulmaqdis sepatutnya ditentukan menerusi rundingan antara Israel dan Palestin.

Baitulmaqddis sejak sekian lama menjadi antara bandar yang paling dipertikaikan dalam konflik Israel-Palestin.

Selepas Israel menawan Baitulmaqddis Timur dalam Perang Arab-Israel 1967, negara itu mengisytiharkan seluruh bandar berkenaan sebagai ibu negaranya yang tidak boleh dipisahkan. 

Namun, tuntutan itu tidak mendapat pengiktirafan meluas di peringkat antarabangsa.

Rakyat Palestin menuntut Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara bagi negara Palestin pada masa hadapan.

Disebabkan tuntutan yang saling bertindih itu, kebanyakan negara menempatkan kedutaan mereka di Tel Aviv dengan menegaskan bahawa status Baitulmaqdis perlu diselesaikan menerusi rundingan damai selaras dengan undang-undang antarabangsa serta resolusi berkaitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN