Dakwaan saya tidak berminat lagi berlakon tidak benar - Raja Afiq - Utusan Malaysia

Dakwaan saya tidak berminat lagi berlakon tidak benar – Raja Afiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Raja Afiq Raja Razali menafikan dakwaan kononnya dia sudah tidak berminat meneruskan kerjaya sebagai pelakon susulan tular satu hantaran di TikTok yang mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat.

Menurut Raja Afiq, 32, dakwaan tersebut bukan sahaja tidak benar, malah timbul ketika dia sedang giat merancang kemunculan semula dalam industri seni bersama pasukan pengurusan baharu.

Katanya, dia sebenarnya baru sahaja menamatkan penggambaran filem Black Ops: Operasi Serigala pada Mei lalu dan kini memberi tumpuan kepada persediaan fizikal sebelum menerima sebarang tawaran lakonan baharu.

“Ketika mula-mula saya ditanya peminat berkenaan isu ini yang tular di TikTok, saya agak kecewa kerana kenyataannya tidak begitu. Saya baru sahaja tamat penggambaran filem pada Mei lalu dan kini sibuk membuat persediaan dari segi fizikal untuk memastikan tubuh saya kelihatan baik di depan kamera. Maklumlah badan saya ini mudah turun naik, jadi saya mestilah mahu kelihatan elok di hadapan khalayak sebelum menerima apa-apa tawaran lakonan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Menurut pelakon yang pernah mencipta populariti menerusi drama Sayangku Kapten Mukhriz itu, ketiadaannya di kaca televisyen sejak kebelakangan ini tidak seharusnya disalah tafsir sebagai tanda dia sudah meninggalkan dunia lakonan.

“Tetapi apabila lama tidak keluar di kaca televisyen, ada pula yang menganggap saya tidak berminat lagi berlakon. Saya dan pengurusan baru sahaja mengadakan perbincangan untuk menyusun strategi serta jadual kerjaya, tiba-tiba timbul pula isu yang kurang tepat. Pengurusan saya juga sedang mengatur pertemuan dengan beberapa founder produk bagi menjalinkan kerjasama, jadi amat tidak patut cerita sebegini keluar pada saat saya sedang bersemangat untuk memantapkan kerjaya,” katanya.

Sebelum ini, Raja Afiq pernah mencuri perhatian menerusi beberapa drama popular termasuk Polis Peronda – Ranjau Jalanan, Gerak Khas Undercover, Cinta Non Grata, Tumpang Lalu Bang dan Seindah Tujuh Warna Pelangi.

Mengulas perkembangan kerjayanya, Raja Afiq berkata, dia tidak pernah menghilangkan diri daripada industri, sebaliknya memilih untuk memperlahankan langkah seketika bagi memberi ruang memperbaiki pelbagai aspek kehidupan termasuk kesihatan, kecergasan fizikal dan persediaan mental.

“Saya melihat perjalanan saya menghadapi liku-liku sebagai seorang selebriti ini satu proses pembelajaran. Saya belajar menjadi lebih berdisiplin, menjaga kesihatan dengan lebih serius dan memahami apa yang benar-benar saya mahukan dalam kerjaya.

“Alhamdulillah, saya kini berada dalam keadaan yang lebih bersedia, bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga mental untuk kembali memberikan komitmen sepenuhnya kepada dunia lakonan,” katanya.

Raja Afiq turut memberitahu, perubahan penampilannya yang kini dilihat lebih cergas bukan sekadar memenuhi tuntutan kerjaya, sebaliknya lahir daripada kesedaran bahawa kesihatan merupakan pelaburan jangka panjang.

“Saya mahu menjaga tubuh badan kerana itu adalah satu amanah. Apabila kita sihat, kita lebih fokus, lebih bersemangat dan mampu memberikan yang terbaik dalam apa sahaja yang dilakukan,” katanya.

Pelakon kelahiran Kuala Lumpur itu juga mengakui kini lebih selektif dalam memilih karya dan mengutamakan naskhah yang mempunyai jalan cerita kukuh serta watak yang mampu mencabar keupayaannya sebagai pelakon.

“Saya tidak kisah sama ada watak utama atau pembantu. Yang penting, karakter itu mempunyai jiwa dan memberi ruang untuk saya berkongsi sesuatu dengan penonton,” katanya.

Dalam masa sama, Raja Afiq yang kini bergerak di bawah pengurusan baharu turut membuka peluang kepada jenama tempatan dan antarabangsa untuk bekerjasama sebagai duta atau wajah kempen, khususnya membabitkan produk berkaitan kesihatan, kecergasan dan gaya hidup.

Mengakhiri perbualan, pelakon itu merakamkan penghargaan kepada peminat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan sepanjang tempoh kemunculannya di kaca televisyen berkurangan.

“Saya sangat menghargai setiap mesej, doa dan kata-kata semangat daripada peminat. Sokongan itu menjadi antara sebab saya mahu kembali berkarya.

“Insya-Allah, saya berharap kemunculan semula ini akan membuka lebih banyak peluang untuk saya terus berkembang dan menghiburkan penonton dengan karya yang lebih baik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN