OHIO: Seramai 16 kanak-kanak diselamatkan dari sebuah rumah usang di kawasan luar bandar Ohio selepas dipercayai dikurung dalam sebuah bilik kecil dalam keadaan amat menyedihkan sepanjang sebahagian besar tempoh empat tahun lalu, menurut pihak berkuasa.
Kesemua kanak-kanak itu, yang menurut pegawai berasal daripada keluarga sama dan hidup dalam keadaan daif dikelilingi sisa najis manusia, berusia antara satu setengah tahun hingga 18 tahun, terdiri daripada lelaki dan perempuan.
Sebahagian daripada mereka tidak mampu bertutur, manakala seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang mengalami ketidakupayaan perkembangan tidak mampu mengeja namanya sendiri.
Sheriff Daerah Vinton, Ryan Cain dalam sidang media berkata, keadaan di dalam rumah itu dipenuhi bakteria serta najis manusia.
“Kebanyakan haiwan ternakan kami dipelihara dalam keadaan yang lebih baik daripada kanak-kanak ini. Ia benar-benar menjijikkan,,” kata Sheriff Daerah Vinton, Ryan Cain dalam sidang media.
Pendakwa Raya Daerah Vinton, William Archer memaklumkan ibu bapa kanak-kanak terbabit serta datuk dan nenek mereka masing-masing didakwa atas 16 pertuduhan membahayakan kanak-kanak, iaitu kesalahan jenayah tahap kedua kerana menyebabkan kecederaan fizikal yang serius.
Beliau turut menegaskan kes itu bukan membabitkan pemerdagangan manusia, sebaliknya merupakan kes yang berlaku dalam lingkungan keluarga.
Menurut Peguam Ohio, Andy Wilson, pihak berkuasa menemui kanak-kanak berkenaan ketika melaksanakan waran geledah berkaitan satu siasatan lain yang tidak mempunyai kaitan dengan kes itu.
“Kami langsung tidak mengetahui terdapat 16 kanak-kanak di dalam rumah itu. Kanak-kanak ini akan mendapat pembelaan yang sewajarnya,” katanya.
Wilson menyifatkan keadaan yang ditemuinya di rumah berkenaan di perkampungan kecil Hamden, yang terletak di antara daerah termiskin di Ohio, sebagai ‘kejahatan yang nyata’.
Beliau berkata, keadaan mengerikan itu adalah yang paling buruk pernah disaksikannya sepanjang kerjayanya.
“Ia adalah sesuatu yang kami tidak biasa lihat di Amerika Syarikat (AS). Hampir 24 jam kemudian saya masih tidak dapat menghilangkan bau dari tubuh saya,” katanya.
Sheriff berkata, siasatan awal mendapati kebanyakan kanak-kanak itu menghabiskan masa mereka di dalam sebuah bilik berukuran kira-kira 3.7 meter persegi.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan bagaimana mereka dikurung di dalam rumah itu, namun mengesahkan tiada sangkar ditemui di premis berkenaan.
Tujuh daripada kanak-kanak itu dihantar ke hospital di Columbus untuk mendapatkan rawatan, manakala dua lagi diterbangkan dengan helikopter ke pusat trauma. Wilson berkata, seorang kanak-kanak berada dalam keadaan kritikal pada Selasa dan terpaksa dipasang tiub pernafasan.
“Mereka kelihatan hampir seperti haiwan liar. Keadaannya amat menyedihkan,” katanya.
Empat tertuduh, Gary Siders Jr., Gary Siders Sr., Christina Siders dan Elizabeth Siders, hadir di mahkamah pada Rabu.
Hakim merekodkan pengakuan tidak bersalah bagi pihak mereka dan menetapkan jaminan sebanyak AS$300,000 (RM1.2 juta) bagi setiap seorang.
Penyiasat berkata, keluarga itu berpindah-randah di selatan Ohio sepanjang dua dekad lalu dan dipercayai sengaja mengelakkan diri daripada didaftarkan dalam rekod perubatan serta agensi kerajaan. Kesemua kanak-kanak itu juga tidak pernah didaftarkan ke sekolah.
“Mereka sangat bijak menyembunyikan kanak-kanak ini daripada pengetahuan orang ramai dan pihak penyiasat,” kata Wilson sambil menambah tiada sesiapa di luar keluarga itu dipercayai mengetahui kewujudan mereka.
Penduduk Hamden, yang mempunyai kurang daripada 1,000 penduduk dan terletak kira-kira 129 kilometer di tenggara Columbus, turut terkejut apabila mengetahui terdapat kanak-kanak tinggal di rumah berkenaan.
Seorang jiran, Joseph Stewart, 60, mengakui langsung tidak pernah melihat kanak-kanak sejak keluarga itu berpindah ke kawasan berkenaan.
“Ia satu keadaan yang menyedihkan,” katanya sambil menyifatkan kawasan kejiranan itu sangat tenang sepanjang enam tahun beliau tinggal di situ.
Seorang lagi jiran, Petey Angels, 64, memberitahu Columbus Dispatch dia turut terkejut dengan dakwaan itu kerana tidak pernah melihat kanak-kanak berhampiran rumah berkenaan.
“Tiada apa-apa yang berlaku di sini. Ia sesuatu yang tidak dijangka berlaku di kampung ini,” katanya.
Kerajaan negeri dilaporkan sedang memohon hak penjagaan sementara ke atas semua kanak-kanak terbabit.









