SEPANG: Pendahulu bagi kelas utama MotoGP, Jorge Martin mencerahkan peluang mencipta sejarah dalam kariernya untuk bergelar juara dunia selepas menjuarai perlumbaan pecut (sprint) manakala pesaing terdekatnya, Francesco Bagnaia terjatuh di selekoh sembilan pada Grand Prix Motosikal Malaysia Petronas di Litar Antarabangsa Sepang, semalam.
Pelumba Prima Pramac Racing itu mencatat 19 minit 49.230 saat (s) untuk menokok 12 mata lagi, sekali gus meningkat kepada 465 mata.
Penyandang juara dunia, Bagnaia atau lebih mesra dengan panggilan Pecco yang gagal mengutip sebarang mata keciciran 29 mata dan jika pelumba Ducati Lenovo Team itu berhajat mencipta hatrik dia perlu mencatat keputusan podium dalam perlumbaan, hari ini.
Bagi Martin, dia hanya perlu mengekalkan tunggangan terbaiknya di Sepang untuk menjuarai perlumbaan dan dalam masa sama mengharapkan Bagnaia menamatkan saingan di luar kelompok tiga terbaik.
“Perlumbaan, hari ini (semalam) sebenarnya agak sukar, sebaik saya menyaksikan Bagnaia terjatuh, saya berusaha sebaik mungkin untuk fokus kepada perlumbaan agar dapat menamatkan aksi dengan baik,” katanya.
Menurut pelumba berusia 26 tahun itu, dia perlu berhati-hati bagi mengelak sebarang kesilapan berlaku kerana menjangkakan tentangan sengit bakal diterimanya hari ini.
Jelasnya, walaupun perlumbaan itu amat penting tetapi dia enggan terlalu teruja kerana ada pihak lain yang sedang berduka di Valencia sambil berharap semua orang mendoakan kesejahteraan mereka.
“Saya akan terus mendoakan semua orang di tanah air saya khususnya di Valencia dan tiada apa untuk saya raikan hari ini,” ujarnya.
Sementara itu, pelumba Gresini, Marc Marquez melakukan kejutan apabila menamatkan perlumbaan tempat kedua, manakala, rakan sepasukan Bagnaia, Enea Bastianini menamatkan saingan di tempat ketiga. – UTUSAN










