Mahu bina ‘rumah’ sendiri, angkat martabat mufti

Mahu bina ‘rumah’ sendiri, angkat martabat mufti

MOHD. Na’im Mokhtar ketika ditemu bula wartawan Utusan Malaysia di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGGUBALAN Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam memartabatkan sistem perundangan dan kehakiman bagi undang-undang diri orang Islam, seterusnya menjamin hak-hak keadilan kepada umat Islam di Malaysia.

Secara mudahnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), DATUK DR. MOHD. NA’IM MOKHTAR, menjelaskan, Penggubalan RUU Mufti Wilayah Persekutuan tidak langsung menyentuh hal orang bukan Islam dan tidak terpakai di negeri lain.

Dalam pertemuan bersama wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM, AQILAH MIOR KAMARULBAID, HAFIZ SAIDINA, AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN serta dibantu jurufoto FAIZ ALIF ZUBIR dan juruvideo, NOORUL ERNI NADIA, beliau menjelaskan tujuan dan matlamat RUU ini diadakan, selain menyentuh tentang isu yang menjadi perbualan masyarakat seperti pensijilan halal dan status Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).


MATLMAT RUU MUFTI

Seperti mana RUU yang diperkenalkan di Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri (DUN), ia mesti ada objektif dan tujuan. Maknanya sesuatu RUU itu tidak dibuat sekadar pembentangan di Parlimen dan sebagainya. Dalam konteks RUU Mufti ini dibawa ke Parlimen, ia telah melalui satu proses yang agak panjang, bermula dari 2011.

Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) yang sudah lama digubal merangkumi tiga aspek hal ehwal Islam. Yang pertama berkaitan dengan pentadbiran Islam secara umum. Contohnya pentadbiran masjid, zakat, wakaf dan lain-lain.

Ini semua terletak di bawah kuasa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Majlis), yang diketuai oleh seorang pengerusi. Jadi pengerusi dan juga anggota Majlis berperanan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan semua perkara yang berkaitan dengan agama Islam di dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan kecuali perkara-perkara berkaitan hukum syarak dan yang berhubung dengan pentadbiran keadilan.

Jadi, maknanya kalau ada isu pentadbiran wakaf, zakat dan lain-lain, yang mana perkembangannya di Wilayah-Wilayah Persekutuan, Majlis akan menasihati Agong.

Aspek yang kedua berkaitan dengan hukum syarak. Dalam konteks ini, mufti bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan akan menasihati Agong.

Aspek ketiga berkaitan pentadbiran keadilan. Di sini ada ketua hakim syarie wilayah-wilayah Persekutuan.

Ini bermakna ada tiga aspek pentadbiran Islam di bawah bidang kuasa berbeza diperuntukkan dalam satu Akta yang sama iaitu Akta 505.

Jadi untuk memberikan kekuatan dan juga pembaharuan kepada tiga institusi, maka kita rasakan perlu ada satu akta khusus. Maknanya, ada ‘rumahnya’ sendiri, tidak berkongsi seperti sekarang.

Bila mana ada ‘rumahnya’ sendiri, akta tersendiri, kita akan nampak institusi tersebut akan diperkukuhkan, dipertingkatkan dan dihormati. Sebab kita mahu bina ‘rumahnya’ sendiri tanpa sebarang pertindihan antara Majlis, institusi mufti dan juga mahkamah syariah.

Dalam masa sama, bila tiga institusi ini di bawah akta yang sama, akan nampak seperti ada konflik apabila majlis, mahkamah syariah dan mufti ini semua ‘duduk’ dalam satu akta.

Jadi, bagi memperkukuhkan ketiga-tiga institusi ini dan dapat mengelakkan berlakunya sebarang konflik antara institusi ini, maka perlu ada satu akta khusus untuk setiap institusi.

Maka sebab itu datangnya idea sejak 2011 untuk mewujudkan satu Akta Mufti yang terpakai hanya di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Saya juga ingin tekankan, di bawah Perlembagaan Persekutuan, kuasa agama Islam itu terletak di bawah negeri. Bagi negeri-negeri yang tiada sultan seperti Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah-Wilayah Persekutuan, maknanya Ketua agama Islam adalah Agong. Manakala bagi negeri-negeri bersultan, maka sultan negeri itu yang akan menjadi ketua agama Islam di situ.

Jadi timbul hasrat untuk memperkukuhkan institusi dengan adanya satu akta khusus yang menyokong institusi tersebut. Dengan adanya RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) ini, ia sebagai satu refleksi gambaran bahawa ini hasrat kerajaan untuk memperkukuhkan institusi kefatwaan.

Bermula daripada bagaimana seorang mufti dilantik sehinggalah bagaimana sesuatu fatwa dikeluarkan. Bagaimana fatwa dikeluarkan? Diwujudkan dengan satu undang-undang yang lebih terperinci.
Ini bermakna kita lebih mudah membuat perincian berbanding dahulu. Contohnya boleh diperincikan macam mana proses sesuatu fatwa itu dibuat supaya ia akan nampak lebih kemas, lebih berkesan dan lebih meyakinkan masyarakat Islam.

Langkah seterusnya, kita akan bawa ‘keluar’ pula peruntukan yang berkaitan dengan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dengan mewujudkan RUU Mahkamah syariah Wilayah Persekutuan.

BIDANG KUASA MUFTI

Ada dakwaan yang mengatakan kuasa yang besar dan luas diberikan kepada mufti sekiranya diwujudkan satu akta. Seperti mana yang saya jelaskan, mufti berperanan untuk menasihati YDPA berkaitan dengan isu yang melibatkan hukum syarak.

Di bawah akta ini, akan ada satu proses yang agak terperinci. Bila mana isu hukum timbul, suatu kajian dan penyelidikan akan dibuat terlebih dahulu oleh mana-mana orang yang mempunyai kepakaran dalam isu atau persoalan hukum syarak yang dibangkitkan. Katalah berkaitan dengan isu pemindahan organ untuk mengetahui bagaimana hukumnya. Begitu juga dengan isu-isu lain, tidak semestinya perubatan, mungkin sosial, perbankan dan lain-lain. Sebenarnya banyak isu yang timbul memerlukan kepada satu ketetapan hukum syarak yang penting dalam masyarakat.

Apabila sesuatu isu timbul, maka kajian dan penyelidikan akan dibuat terlebih dahulu oleh mana-mana orang yang mempunyai kepakaran dalam isu atau persoalan hukum syarak yang dibangkitkan. Berdasarkan penyelidikan dan kajian yang terperinci itu, jika mufti mendapati suatu fatwa perlu dikeluarkan mengenai isu atau persoalan tersebut, maka suatu mesyuarat Jawatankuasa Fatwa akan dibuat. Jawatankuasa Fatwa ini dipengerusikan oleh mufti dan dianggotai oleh mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing untuk membincangkan sesuatu fatwa yang hendak dibuat. Jika fatwa yang dicadangkan itu dipersetujui oleh Jawatankuasa Fatwa, barulah Mufti membuat syor kepada YDPA untuk mendapatkan perkenannya bagi penyiaran fatwa itu dalam warta. Setelah Agong memberi perkenan barulah fatwa tersebut disiarkan dalam warta. Maknanya, mufti tidak membuat keputusan bersendirian.

Dakwaan yang mengatakan mufti ini sangat berkuasa kerana boleh membuat keputusan sendiri sebenarnya tidak benar, sebaliknya perlu melalui proses yang panjang dan ketat. Bila sesuatu isu sampai kepada Agong, untuk diperkenan atau tidak. Hanya sekiranya diperkenan, barulah ia akan diwartakan dan menjadi fatwa yang akan mengikat orang Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan. Bila mana mereka membuat kesalahan, maka mereka boleh dihukum.

Yang perlu difahami, fatwa ini tidak terpakai kepada mereka yang berada di luar wilayah-wilayah Persekutuan dan bukan kepada orang bukan Islam. Jadi, kekhuatiran yang kata orang bukan Islam juga akan terkesan, tidak betul.

BAGAIMANA DENGAN FATWA TERDAHULU?
Masih lagi berkuat kuasa sehinggalah dibatalkan dan ia akan ditambah baik kalau ada keperluan. Jika perlu disemak semula, kita akan lakukan.

Di bawah Perlembagaan Jadual Ke-9, Senarai II, sudah jelas mengatakan urusan agama Islam tidak ada kena mengena dengan orang bukan Islam. Perkara ini bukan khilaf sebaliknya yang asas.

Bila mana ada orang Islam sendiri yang menentang, mereka (bukan Islam) akan ikut, kita bagi ruang kepada orang lain (menentang sama). Ini menyebabkan hasrat murni untuk membuat akta ini langsung ‘ke laut’ kerana dicemari perkara-perkara yang cuba mahu mengelirukan.


KEMAMPUAN JAKIM LAKSANA PENSIJILAN HALAL

Isu berkaitan dengan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal ini telah selesai berdasarkan kenyataan media Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bertarikh 18 September lalu. Beliau mengumumkan keputusan Jemaah Menteri bersetuju mengekalkan status quo semasa, maknanya permohonan pensijilan halal ini adalah secara sukarela sejak ia mula dilaksanakan pada 1974 dan diperkukuhkan dengan Akta Perihal Dagangan 2011.

Jadi, ketika ini, usahawan-usahawan digalakkan untuk memohon kerana bila mana ada sijil halal, maka mereka memberikan keyakinan kepada pengguna. Melalui sijil halal yang diperoleh tersebut, akan memberi nilai tambah kepada pemegang sijil atas komitmen yang tinggi untuk sentiasa mematuhi standard dan piawaian persijilan halal.

Ini sangat penting, untuk memastikan tiada mana-mana pihak yang telah memiliki sijil halal tetapi tidak menjaga standard itu.

Kerana itu, ada masanya pasukan pemantauan dan penguatkuasaan sama ada di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau negeri-negeri menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan secara proaktif sama ada oleh kami sendiri atau secara bersepadu dengan autoriti lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya mereka benar-benar menghayati dan melaksanakannya.

PEMANTAUAN HALAL DI LUAR NEGARA

Mereka dikehendaki menyediakan laporan penuh pelaksanaan pengurusan pensijilan halal dan juga termasuklah aktiviti pengauditan, pemantauan yang dijalankan kepada Jakim secara berkala. Ini yang terbaik, dengan kapasiti yang Jakim ada pada masa ini.

Alhamdulillah, Perdana Menteri baru-baru ini umumkan penambahan 100 orang juruaudit yang akan dilantik. Ini akan memudahkan pihak Jakim kerana tambahan ini membolehkan lagi usaha pemantauan untuk mempercepatkan proses untuk mendapatkan sijil halal dilakukan.

Selain itu, Jakim akan melaksanakan audit susulan sebelum tamatnya tempoh pengiktirafan, iaitu dalam tempoh dua tahun. Ini bagi memastikan pelaksanaan dan penguatkuasaan pensijilan halal yang dijalankan oleh badan-badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf ini menepati prosedur pengiktirafan yang ditetapkan oleh Jakim.

SYARIKAT BUKAN ISLAM SERIUS MOHON SIJIL HALAL

Dalam rekod semasa, sebanyak 5,465 syarikat bukan bumiputera. Daripada Januari hingga Oktober 2024, Jakim menerima sebanyak 16,730 permohonan. Di sini, kita nampak bagaimana usaha syarikat-syarikat bukan bumiputera untuk mendapatkan sijil halal. Mereka tahu bagaimana pentingnya untuk memiliki sijil halal.

Syarikat bumpitera juga amat digalakkan memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) kerana sijil halal ini bukan hanya setakat semakan terhadap bahan mentah yang digunakan semata-mata, tetapi aspek seperti kebersihan, keselamatan serta kawalan atau jaminan halal yang diimplementasi di premis. Sebab itu kita tekankan tentang halalan toyyiban. SPHM mengandungi kedua-dua perkara ini.

Saya tidak nafikan dalam kalangan orang Islam, bumiputera memang memiliki persepsi begitu (tidak perlu mohon sijil halal). Kerana itu, Jakim berusaha memperluaskan dan memperhebatkan dalam memberi penerangan, penjelasan di semua platform media sosial dan televisyen.

Kita ada tanggungjawab untuk menerangkan kepada masyarakat Islam bahawa sijil halal Jakim ini bukan hanya mengandungi aspek halal tetapi ia toyyib, ia juga baik dalam semua sudut untuk menjaga kesihatan.
Kita harap orang Islam juga memahami dan mengambil inisiatif untuk memohon sijil halal ini.


KENAPA BARU SEKARANG DIBINCANG DAN SAHKAN GISBH SESAT?

GISBH ini memang wujud sudah lama, kita tidak nafikan dan kebanyakan orang mengetahui tentang kumpulan ini dalam kaca mata atau perspektif yang baik, orang nampak perniagaannya bagus.

Dalam konteks Jakim, sudah tentu dipertanggungjawabkan untuk menjaga daripada aspek akidah orang Islam dan memastikan tidak wujud sebarang penyelewengan daripada sudut akidah.

Kalau kita lihat daripada konteks Polis Diraja Malaysia (PDRM), mungkin mereka lihat daripada sudut keselamatan, sejauh mana satu-satu syarikat ataupun individu itu boleh memberi ancaman kepada keamanan negara.

Tetapi jika melibatkan aspek kanak-kanak, ia di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Setiap agensi ini mempunyai tanggungjawab untuk menjaga portfolio masing-masing.

Jadi sebab itulah misalnya dalam konteks Jakim, kita ada tanggungjawab untuk memelihara akidah umat Islam. Jadi apa sahaja akidah yang bertentangan dengan ajaran ahli sunnah wal jamaah menjadi tanggungjawab kepada Jakim untuk pantau dan memberi peringatan kepada masyarakat Islam supaya mereka tidak terpengaruh dengan ajaran-ajaran seperti ini.

Isu berkaitan GISBH ini perlu melalui beberapa penelitian, pengumpulan bukti dan maklumat sahih bagi pembuktian sebarang kesalahan.

Ia bukannya soal kelewatan penguatkuasaan, tetapi ia memerlukan langkah-langkah komprehensif serta kukuh untuk memastikan tindakan yang diambil adalah adil dan berasas.

Gerak kerjasama juga perlu melibatkan pihak berkuasa agama di negeri, PDRM serta dapatan-dapatan penyelidik yang berkongsi maklumat bagi tujuan pandangan hukum. Kemudiannya dikemukakan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dihadiri para mufti dari 14 buah negeri.

Berdasarkan kepada dua fatwa sebelum ini yang pernah dikeluarkan pada 1994 (al-Arqam) dan 2006 (Syarikat Rufaqa Corporation Sdn. Bhd.), tindakan masih boleh dibuat ke atas mereka mengambil kira ciri-ciri penyelewengan yang disebutkan dalam fatwa tersebut menyamai amalan ahli GISBH.

Walau bagaimanapun fatwa dengan penambahbaikan sighah diperlukan berikutan terdapat beberapa elemen yang dikenal pasti hasil siasatan PDRM terutama mengenai aktiviti ekonomi yang masih berlaku.

Alhamdulillah berkat kerjasama dengan PDRM dan agensi-agensi lain dan saksi-saksi yang dipanggil, kita dapat bukti kukuh. Dengan bukti ini, ia dibentangkan ke Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI dan keputusannya disembah perkenan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-267. Dan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Datuk Dr. Nooh Gadut telah mengumumkan keputusan pandangan hukum tersebut.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN