KUALA TERENGGANU: Sebanyak lapan lokasi di sepanjang 184 kilometer di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dikenal pasti berpotensi dinaiki air pada Monsum Timur Laut (MTL) kali ini.
Pengurus Wilayah LPT2, Mohamad Pazli Kasim berkata, tiga daripada lapan lokasi itu membabitkan di laluan lebuh raya iaitu di persimpangan bertingkat di Bukit Besi dan Kilometer (KM) 373 dari kedua-dua arah.
Dua lokasi lain ialah di laluan selepas Plaza Tol Chukai dan Bukit Besi dan tiga lokasi lagi bersebelahan hak sempadan lebuh raya.
“Pembinaan tembok penahan banjir dan pemasangan penanda aras banjir di lokasi tersebut sudah dibuat,” katanya ketika ditemui selepas Program Hari Komuniti MyPlus di Dataran Batu Putih, di sini, semalam.
Kira-kira 100 kakitangan Projek Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) dan pelajar Kolej Komuniti Marang menyertai gotong-royong membersih Dataran Batu Putih sempena program tersebut.
Mohamad Pazli memberitahu, LPT2 turut menyediakan pelan laluan alternatif sekiranya laluan di lokasi-lokasi tertentu dinaiki air sepanjang MTL kali ini.
Katanya, tindakan tersebut diambil dalam memastikan pengguna yang menggunakan lebuh raya itu dapat meneruskan perjalanan mereka walaupun berlaku banjir.
Tambahnya, LPT2 turut melakukan rondaan dalam tempoh 24 jam setiap hari di lokasi berisiko banjir dan tanah runtuh untuk memastikan keselamatan pengguna lebuh raya.
“Anggota pasukan tindakan kecemasan juga ditubuhkan untuk membantu kerja-kerja memantau cerun dan saliran di sepanjang LPT2,” ujarnya.









