Lahirnya pemimpin integriti daripada universiti

Lahirnya pemimpin integriti daripada universiti

UNIVERSITI harus menjadi teladan dalam mengamalkan integriti melalui pengukuhan peranan institusi pengajian tinggi sebagai model integriti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENTINGNYA konsep integriti terutama aspek kepimpinan dalam dunia yang semakin mencabar, kompleks dan global. Kepimpinan yang berasaskan integriti adalah asas kepada pembangunan masyarakat yang sejahtera, amanah dan makmur. 

Dalam konteks pembangunan insan, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), khususnya universiti, memainkan peranan penting dalam membentuk pemimpin masa depan yang memiliki nilai-nilai integriti.

Di peringat nasional, Institut Integriti Malaysia (IIM) memainkan peranan besar dalam menjalankan inisiatif-inisiatif yang mendekatkan umum kepada kepentingan mendukung dan memelihara integriti seterusnya memupuk rakyat Malaysia agar senantiasa berpegang teguh kepada konsep keterbukaan serta amanah dalam semua urusan terutamanya sebagai seorang pemimpin. 

November merupakan bulan Integriti Malaysia. Pelbagai aktiviti dan inisiatif penerapan nilai-nilai integriti digerakkan pelbagai organisasi terutamanya IIM. Sehubungan itu, pendekatan institusi itu berkolaborasi untuk menggerakkan pelbagai aktiviti ilmiah dan inisiatif kesedaran dengan IPT adalah satu pelan tindakan tepat yang harus didukung semua pihak.

Integriti merupakan salah satu teras kompetensi kepimpinan yang penting untuk seseorang individu berfungsi secara holistik. Seorang pemimpin yang berintegriti adalah individu yang berpegang teguh pada prinsip-prinsip etika dan moral yang kukuh serta sentiasa berusaha untuk mengekalkan kepercayaan yang diberikan masyarakat. Ini termasuk bersikap jujur, telus dan bertanggungjawab dalam semua aspek kehidupan peribadi serta  profesional. 

Pemimpin yang berintegriti juga sentiasa membuat keputusan yang adil dan mengutamakan kepentingan umum berbanding kepentingan peribadi ataupun hanya untuk segelintir pihak yang tertentu.

Dewasa ini, pelbagai lapisan masyarakat berdepan dengan pelbagai cabaran dalam urusan pentadbiran seperti rasuah, salah guna kuasa dan ketidakadilan. Untuk menangani permasalahan tersebut, kepimpinan berasaskan integriti adalah kunci bagi mewujudkan sistem yang adil dan saksama di segenap lapisan masyarakat.

Antara jalan penyelesaian atau sistem sokongan yang boleh menghasilkan modus operandi untuk kelestarian masyarakat yang amanah dan sejahtera adalah ’memanusiawikan’ bakal pemimpin. Sehubungan itu, universiti sebagai pusat pengajaran dan pembelajaran ilmu buat pembinaan modal insan harus menanamkan nilai-nilai ini dalam kalangan pelajar, kakitangan dan komuniti sekitarnya. 

Kaedah pembelajaran melalui kajian kes dan pembelajaran berasaskan pengalaman yang menerapkan perkongsian kes yang amat praktikal akan menyebarluaskan lagi pemahaman pelajar dan warga universiti dengan keadaan semasa dari aspek integriti.

PERANAN UNIVERSITI 

Universiti mempunyai peranan yang besar dalam membentuk pemimpin masa depan yang berintegriti. Sebagai institusi yang melahirkan cendekiawan dan profesional, universiti bukan sahaja bertanggungjawab menyediakan ilmu pengetahuan, tetapi juga bertindak sebagai ejen perubahan sosial yang menanamkan nilai-nilai murni. 

Antara peranan universiti dalam melestarikan integriti dan kesejahteraan komuniti termasuklah seperti menyemai budaya integriti dalam kurikulum akademik. Mata pelajaran yang berkaitan dengan etika, undang-undang dan tanggungjawab sosial perlu diberikan penekanan yang lebih.

Warga universiti perlu dididik tentang kepentingan integriti dalam semua aspek kehidupan, termasuk dalam membuat keputusan profesional dan peribadi. Universiti juga seharusnya mempromosikan kepimpinan berintegriti melalui Program Pembangunan Pelajar, selain melibatkan golongan akademik serta pentadbir. 

Program pembangunan insan yang menekankan kepimpinan berasaskan integriti perlu diadakan secara berkala. Bengkel, seminar dan program latihan yang berfokus pada etika kepimpinan serta tanggungjawab sosial perlu dilaksanakan dengan lebih giat. Program-program ini akan memberikan pendedahan kepada warga kampus dan sekitarnya tentang bagaimana menjadi pemimpin yang jujur lagi bertanggungjawab.

Universiti harus menjadi teladan dalam mengamalkan integriti melalui pengukuhan peranan institusi pengajian tinggi sebagai model integriti. Ini bermakna setiap lapisan dalam pengurusan universiti daripada pentadbiran tertinggi sehingga ke staf akademik, pentadbir dan pelajar, wajib mengamalkan nilai-nilai integriti dalam setiap tindakan mereka.

Universiti yang bertindak sebagai model integriti bukan sahaja akan meningkatkan reputasinya, tetapi juga akan memberikan impak positif kepada masyarakat di sekelilingnya.

Universiti juga berperanan penting dalam menghasilkan penyelidikan yang beretika dan bertanggungjawab. Penyelidikan yang dijalankan dengan integriti akan memastikan penemuan yang sahih dan boleh dipercayai, yang seterusnya akan menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

Penyebaran pengetahuan yang jujur dan telus akan menguatkan lagi kepercayaan masyarakat terhadap institusi pengajian tinggi. Bagi menyebarluas lagi peranan IPT kepada masyarakat umum, universiti juga perlu menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk industri dan komuniti untuk mempromosikan nilai-nilai kepimpinan integriti.

Melalui kerjasama ini, universiti dapat membantu membina ekosistem yang lebih telus dan bertanggungjawab dalam semua sektor masyarakat. Usaha ini akan membawa manfaat jangka panjang kepada kesejahteraan komuniti serta mengukuhkan kedudukan universiti sebagai institusi yang relevan dalam memacu perubahan positif.

 

KESEJAHTERAAN KOMUNITI

Pemimpin yang holistik mampu membawa perubahan yang signifikan kepada kesejahteraan komuniti. Mereka akan membuat keputusan berpandukan prinsip keadilan serta tanggungjawab, yang akhirnya akan membawa kepada pembangunan inklusif dan mampan. Kepimpinan berasaskan integriti akan mengutamakan kepentingan umum, mewujudkan persekitaran yang lebih amanah selain mengelakkan amalan-amalan negatif seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Sebagai contoh, dalam sektor pendidikan, pemimpin yang berintegriti akan memastikan akses kepada pendidikan yang berkualiti untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang sosioekonomi. Di samping itu, pemimpin yang berpegang teguh kepada integriti juga akan memastikan sumber-sumber pendidikan digunakan dengan cekap dan bertanggungjawab, tanpa sebarang pembaziran atau penyelewengan.

Pentadbir universiti juga akan memastikan kualiti perkhidmatan dan kecekapan dalam memimpin dan meneraju kepelbagaian fungsi serta menjaga segala tuntutan dalam mendidik serta menghasilkan graduan universiti yang berupaya mendepani pelbagai tanggungjawab dengan penuh amanah. Universiti memegang tanggungjawab besar dalam melahirkan pemimpin masa depan yang berintegriti dan berwibawa.-UTUSAN

 

DR. Zurina Abd. Ghani ialah Pengarah Pusat Kepimpinan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN