PETALING JAYA: Ketua jurulatih Perak FC, Yusry Che Lah enggan berasa selesa dengan bekalan gol yang dimiliki pasukannya menjelang aksi timbal balik pusingan 16 Piala Malaysia menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Majlis Perbandaran Manjung (MPM), esok.
Bekas pemain kebangsaan itu berkata, walaupun bekalan tersebut boleh dianggap selesa namun kedua-dua pasukan masih mempunyai baki 90 minit permainan yang perlu diharungi.
“Tiga gol dan memang diakui jumlahnya besar tetapi pemain perlu faham bahawa kami belum melayakkan diri secara merit jadi selagi wisel penamat untuk aksi kedua belum ditiupkan selagi itu kedua-dua pasukan ada peluang.
“Bagaimanapun, saya optimis pemain akan berikan yang terbaik menentang KDN FC nanti dan mereka perlu menggunakan peluang ini sebagai sesuatu yang bermakna,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Ketika ditanya sama ada Perak FC menerapkan corak permainan bertahan memandangkan mereka mempunyai bekalan gol yang selesa, Yusry enggan memberi sebarang ketetapan.
“Permainan harus dimainkan mengikutkan kesesuaian kerana ia tidak mempunyai unsur bertahan atau menyerang. Kami perlu menggunakan peluang yang ada untuk mencari gol dan menutup segala ruang yang ada kepada lawan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai pemainnya, Yusry berkata, dia tidak dapat menurunkan Luciano Guaycochea dan Luka Milunovic ekoran masalah kecederaan yang dihadapi.
“Bagaimanapun, Luiz Henrique Motta sudah boleh diturunkan selepas tiga bulan tidak beraksi akibat kecederaan. Saya berharap pemain dapat menggunakan peluang yang ada dengan sebaik mungkin,” katanya.
Dalam pertemuan sebelum ini, Perak mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Kelantan Darul Naim. – UTUSAN










