Harimau Malaya wajib benam Laos

Harimau Malaya wajib benam Laos

Skuad Harimau Malaya menjalani latihan di Bangkok, Thailand, semalam menjelang perlawanan menentang Laos dalam aksi persahabatan hari ini. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harimau Malaya ‘wajib’ menang ke atas Laos dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium PAT, Bangkok malam ini bagi menjamin kedudukan ranking skuad negara selain mengembalikan kepercayaan peminat.

Bagaimanapun, pengendali skuad negara, Pau Marti Vicente tidak mahu anak-anak buahnya memandang mudah cabaran yang boleh diberikan pasukan yang berada di ranking ke-187 dunia itu kerana apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak.

Biarpun jurang ranking antara Malaysia dan Laos agak ketara, Pau Marti percaya skuad Million Elephants kendalian jurulatih dari Korea Selatan, Ha Hyeok-jun sejak Ogos mampu memberi kejutan sekiranya pasukan tidak berwaspada sepanjang 90 minit perlawanan nanti.

Menurut Pau Marti, ramuan terbaik sudah disiapkan oleh barisan kejurulatihan kerana Laos mempunyai corak permainan berbeza yang boleh dimanfaatkan barisan pemain sebelum mengharungi kejohanan lebih besar nanti.

“Saya rasa pemain perlu mempamerkan peningkatan, tetapi dalam masa sama kita perlu mencuba beberapa pendekatan baharu. Ini kerana perancangan taktikal bergantung kepada pasukan lawan, keadaan padang dan momentum.

“Namun, kita akan cuba untuk tidak membuat banyak perubahan dalam pendekatan kita untuk mengharungi perlawanan. Mungkin perubahannya lebih kepada ‘game plan’.

“Tidak mudah untuk melakukan perubahan dalam tempoh sebulan ataupun dua bulan, tetapi saya percaya aksi menentang Laos cukup penting sebelum mengharungi Piala ASEAN 2024 nanti,” katanya.

Selain Piala ASEAN 2024 yang akan berlangsung pada bulan depan, skuad negara kini dalam fasa persiapan untuk mengharungi aksi kelayakan Piala Asia 2027 yang akan berlangsung pada Mac depan.

Untuk rekod, kali terakhir skuad negara menentang Laos adalah pada saingan Piala ASEAN 2022 dengan Harimau Malaya melakar kemenangan besar 5-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Selepas menentang Laos skuad negara akan berkelana ke India untuk satu lagi aksi persahabatan pada Isnin ini manakala Laos akan bertemu Thailand pada Ahad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×